Suleiman Akhlaken

July 10, 2009

Guan Eng: Si taukey kilang kain

Filed under: 1 — zra1516 @ 10:13 am

Dengan kaca mata petak dan stail rambutnya yang disibak tepi, tersusun rapi barangkali menggunakan minyak rambut jenama Tan Cho, serta sejak berkuasa ini kegemaran Guan Eng menggunakan sut berwarna hitam, menampakkan dia seperti taukey kilang kain dalam drama bersiri Cina yang sering ditayangkan di RTM.

Cuma gaya taukey kilang kain yang popular dikalangan penonton kerana wajahnya yang kacak itu dan kebetulan mirip pula dengan Guan Eng maka siri itu walaupun kini diulang tayang masih mendapat rating yang tinggi.

Namun tinggi lagi rating Berita Perdana atau Buletin Utama sekiranya ada isu membabitkan kerajaan Pulau Pinang pimpinan Guan Eng.

Apa yang menjadikan Guan Eng popular?

Sudah tentu kerana kelicikannya dalam bermain politik terutama tabiat buruknya yang sering menyalahkan kerajaan sebelum kepimpinan beliau setiap kali berdepan dengan isu-isu tertunggak yang kini menjadi tanggungjawab beliau.

Guan Eng sepatutnya mengantungkan gambar Koh Tsu Koon, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang di dalam pejabatnya supaya rakyat faham bahawa di dalam banyak keadaan Koh Tsu Koon masih berkuasa dan memiliki tanggungjawap mentadbir Pulau Pinang terutama berhubung isu-isu sebelum beliau menduduki pejabat Ketua Menteri.

Kampung Buah Pala adalah isu terbaru, Guan Eng menyalahkan kepimpinan Tsu Koon dalam isu membabitkan nasib 21 keluarga yang menduduki tanah yang sudah mendapat perintah mahkamah untuk dimajukan pemiliknya.

Hairannya kenapa Guan Eng menyalahkan Tsu Koon sedangkan di dalam pilihanraya yang lalu beliau menggunakan isu kampung Buah Pala sebagai sentiment perkauman untuk mendapatkan sokongan masyarakat India Pulau Pinang dengan membangkitkan keputusan Tsu Koon untuk menyerahkan tanah itu kembali kepada pemaju sebagai satu gambaran kerajaan BN tidak bertanggungjawab terhadap nasib minoriti penduduk India.

Guan Eng yang kini menjadi taukey Pulau Pinang tidak boleh sentiasa menyeret sejarah kepimpinan lampau untuk survival politiknya yang sentiasa bergoncang berikutan pelbagai isu mengenai pembanggunan Pulau Pinang yang gagal beliau laksanakan walaupun sudah dijanjikan kepada rakyat ketika kempen pilihanraya ke – 12 yang lalu.

Hampir 18 bulan memerintah Guan Eng harus menjadi seorang yang pragmatis, futuristik dan peka pada tanggungjawabnya sebagai pemimpin masa kini.

Permainan politik Guan Eng  yang sering menyalahkan Tsu Koon, menjadi jenaka dikalangan teman-teman saya.

Kami sering berfikir, sekiranya Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman sentiasa menggunakan alasan penjajahan sebagai punca negara tidak dapat membangun selepas kemerdekaan 1957, maka terseretlah nama Inggeris sebagai punca dan Inggeris pula akan menjawab, kehadiran Jepun di dalam perang dunia ke-2 adalah penyebabnya serta kegagalan Belanda bersifat adil adalah antara sebab Inggeris tidak dapat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada Tanah Melayu. Akhir sekali Belanda pula akan berkata ini semua salah Portugis.

Tetapi Tunku Abdul Rahman di dalam pelbagai kemelut dan cabaran melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin perikatan melangkah kehadapan tanpa menyalahkan sejarah sebaliknya melihat matlamat masa depan sebagai satu cabaran yang harus dipenuhi tanpa perlu menyalahkan orang lain.

Tradisi Perikatan ini diteruskan oleh kepimpinan BN hinggalah ke era Datuk Seri Najib sekarang malah ketika UMNO mengambil alih Terengganu daripada PAS dalam pilihanraya ke -11, kepimpinan Datuk Idris Jusoh tidak pernah sekalipun membangkitkan beban pembanggunan negeri Terengganu dengan menyeret nama bekas Menteri Besar, Hadi Awang yang memimpin negeri itu setelah menguasai pilihanraya ke – 10.

Guan Eng adalah taukey kilang kain yang barangkali makan gaji buta kerana sentiasa merujuk segala masalah sebagai tanggungjawap Tsu Koon yang kini berada dalam kabinet Kerajaan Pusat .

Kepada Guan Eng suka saya sarankan untuk lebih berjiwa besar kalau ingin menjadi pemimpin terutama pada satu kedudukan yang besar  kerana beliau kini mengepalai sebuah negeri antara yang termaju dan paling produktif di Malaysia.

Guan Eng boleh menjadi pengemis terhormat dengan sentiasa meminta kerajaan Pusat bertanggungjawab pada semua kes yang membabitkan keputusan kepimpinan era BN.

Lihatlah pada Barrack Obama yang mengambil alih kepimpinan Bush. Obama adalah presiden kedua dalam sejarah politk Amerika yang menduduki White House dengan beban ekonomi dan dasar luar yang sangat buruk.

Malah bagi sejarahwan politik, nasib Obama lebih buruk dari Presiden Roosevelt yang mengambil alih White House dari kepimpinan presiden Hoover, ketika era kemelesetan ekonomi yang paling buruk di dalam sejarah Amerika.

Roosevelt menduduki White House ketika kemeletan tahun 1933, dimana 5 ribu bank di Amerika diisytiharkan muflis, manakala kadar penggangguran berada dibawah 25 peratus dan 25 peratus lagi rakyat Amerika pada ketika itu bekerja dengan pendapatan separuh gaji.

Ketika Rooselvt mengambil alih 30 peratus rakyat Amerika tidak memiliki rumah dan hidup di khemah-khemah ditepi jalan dan kanak-kanak pula berada pada tahap kesihatan yang paling buruk di dalam tempoh 250 tahun kewujudan Amerika.

Amerika pada waktu itu tidak ubah seperti negara miskin di Afrika sekarang. Namun Roosevelt berjaya membangkitkan kembali semangat daya saing Amerika dan beliau menjadi ikon hingga kini dimana dari zaman kemelesetan itulah bermulanya titik tolak negara Uncle Sam itu bangun dan tanpa menoleh ke belakang terus mendominasi ekonomi dan politik dunia hinggalah semuanya tumbang akibat percaturan buruk Geogre Bush.

Hingga hari ini, pelbagai isu yang membabitkan Wall Street hinggalah kepada jatuhnya Golden Sach, AIG, Freedie Mae dan General Motor, Obama memilih untuk membentuk pasukan ekonomi terbaik, membetulkan semula hala tuju ekonomi Amerika  dan pada masa yang sama membaiki imej politik Amerika termasuk isu Gitmo, Iraq, Afghanistan serta meredakan sentimen dan ketegangan dengan Iran dan Korea Utara.

Guan Eng tidak boleh menjadi taukey kilang kain dengan imej seorang hero yang berambut rapi dengan gel Tan Cho, tetapi corak pemikirannya tidak ubah seperti pelakon tambahan yang apabila muncul dialognya hanya sama : “Semuanya salah kerajaan dahulu!”

Apabila Guan Eng enggan bertemu dengan penduduk Kampung Buah Pala bersama peguam dan penasihat kumpulan itu, jelas memperlihatkan sikap pengecut Guan Eng dan memang dia sebenarnya seorang pemimpin yang tarafnya hanya taukey kilang kain.

Bukankah budaya perundangan selama ini menjadi tradisi dinegara ini yang dibentuk oleh pembangkang. Bukalah fail Karpal Sigh dan anak-anaknya, dan lihatlah betapa banyak kes-kes rakyat yang mencabar kerajaan BN berada dalam tangan trio keluarga Karpal sejak dahulu hingga sekarang.

Rujuklah isu kerpan di Kedah, royalti minyak Terengganu pada era PAS, hak tanah penduduk yang terbabit dengan pembanggunan laluan minyak di Melaka, serta ratusan lagi kes-kes rakyat menuntut hak dari kerajaan BN, semuanya disokong pembangkang bukan sahaja melalui proses politik tetapi turut mendapat subsidi sokongan perundangan.

Jadi Guan Eng takut bertemu peguam nampaknya , dia takutkan undang-undang kerana bimbang sebarang salah cakapnya ketika berdepan dengan penduduk Kampung Pala akan digunakan sebagai subjek perundangan sekiranya penduduk Kampung Pala mengheret itu di mahkamah.

Tidak perlulah dipanjangkan cerita tetapi bagi saya melihat Guan Eng dan kepimpinan dan scenario politik Pulau Pinang samalah seperti menonton drama bersiri Cina mengenai kisah sebuah keluarga pemilik kilang kain di Shanghai, China.

Guan Eng bolehlah menghabiskan sedikit masa menonton RTM2 untuk belajar bagaimana meneruskan karaktor dan lakonannya supaya beliau dapat membantu Berita Perdana RTM1 dan Buletin Utama TV3 untuk terus mencapai rating yang tinggi melalui lakonannya sebagai taukey kilang kain di Pulau Pinang.

Theme: Rubric. Blog at WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.