Oleh Suleiman Akhlaken
Sepanjang minggu ini, isu babi di Kedah mengambil tempat dalam ranking dan rating tertinggi media massa tanah air mengatasi isu selsema babi (H1N1) yang melanda hampir 100 negara di seluruh dunia.
Selepas era wabak JE sedekad yang lalu ketika ancaman Virus Nipah itu menyerang dari persekitaran kandang babi di Sg. Perlis hinggalah ke Kuala Lukut Port Dickson, babi tidak pernah mendapat publisiti yang hebat dan melalui zaman kemorosotan populariti.
Apa yang membawa babi kembali menjadi binatang paling popular di tanah air? Sudah tentu kerana percakaran antara DAP dan Pas di Kedah berikutan isu perobohan pusat penyebelihan babi di Kampung Berjaya Alor Setar.
Selain pengerusi DAP Kedah Perlis, Thomas Su berteriak menyelar rakan politiknya Azizan Abdul Razak yang juga Menteri Besar Kedah, kemarahan DAP turut membawa kepada penarikan diri Adun Kota Darul Aman, Guan Aik Mengistiharkan dirinya kini adalah wakil bebas di DUN Kedah.
Hingga hari ini, kontroversi babi terus menjadi isu utama di Kedah seakan-akan babi adalah hasil tani paling produktif di negeri jelapang padi yang menghasilkan hampir sepertiga bekalan beras di negara itu.
Kita tak pasti baju siapa yang berlumuran dengan najis babi sama ada baju dua pemimpin DAP ini atau baju Menteri Besar Kedah sendiri, tetapi yang nyata perangnya bolehlah disifatkan sebagai saling membaling najis babi ke muka satu sama lain.
Thomas menafikan babi adalah isu perkauman, barangkali kerana babi adalah binatang yang tidak berkaum manakala Azizan pula menuduh DAP sengaja memainkan isu itu untuk membangkitkan semangat perkauman sesuai dengan kedudukan parti itu yang selama ini beranggapan kerajaan BN yang memerintah selama ini terlalu bersifat ketuanan Melayu.
Pas di Kedah boleh bersikap “Bo layan” pada DAP kerana parti itu mempunyai kedudukan yang mantap untuk kekal sebagai parti memerintah kerana kerusi yang dimiliki DAP di DUN sekadar menumpang tuah untuk membina kerajaan negeri atas nama Pakatan Rakyat.
Pusat penyembelihan itu sudah dimusnahkan setelah empat tahun bertapak di kawasan yang berdekatan dengan pertempatan lebih 5 ribu pertempatan masyarakat Melayu Islam. Namun bagi DAP keputusan kerajaan negeri adalah satu tindakan yang menggambarkan kemuncak kepada hubungan dingin antara DAP dan Pas dalam kerajaan negeri.
Di Kelantan pula, tokoh Pas, Nik Aziz yang selama ini sangat mendokong janji dan persefahaman yang terjalin sebelum pilihanraya belum lagi membuat sebarang kenyataan. Barangkali berpuasa sebentar setelah mulutnya mencetuskan pelbagai ketegangan dengan Umno dan kepimpinan parti Pas sendiri berhubung isu cadangan Presiden Pas, Haji Hadi yang berhasrat menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Umno.
Selain mencela dan menuduh Umno adalah dalang di sebalik idea Haji Hadi, Nik Aziz turut mencela Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dengan mencabar orang nombor dua parti itu untuk meletakkan jawatan.
Setelah menyertai satu mesyuarat (anak beranak Pas), Nik Aziz meminta maaf kepada Nasharuddin dan isu perselisihan faham antara mursyidul Am Pas dianggap selesai.
Nik Aziz kini barangkali sibuk mengatur strategi menghadapi pilihanraya DUN Manik Urai Kelantan berikutan penamaan calon mengistiharkan pertandingan dua penjuru antara Pas dan Umno bagi merebut kerusi yang dimenangi calon Pas pada pilihanraya yang lalu.
Setakat ini di tengah-tengah ketegangan hubungan Pas, DAP di Kedah berhubung isu babi dan telahpun mendapat komen dan kritikan setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang yang turut menyelar keputusan kerajaan Kedah yang diterajui Pas, belum ada pemimpin tertinggi Pas di peringkat pusat membuat sebarang komen terhadap DAP.
Ini kerana Pas harus berdiam diri bagi menjamin kenyataan Nik Aziz bahawa perpaduan, kesempatan dan semangat muafakat parti itu dengan DAP dipertahankan sesuai dengan teori Nik Aziz bahawa hubungan Pas dalam PR jauh lebih baik daripada parti itu menyertai kerajaan perpaduan bersama Umno.
Saya fikir sekiranya Manik Urai mempunyai jumlah pengundi Cina yang tinggi, Nik Aziz atas semangat kemuafakatan PR mungkin akan menawarkan kepada masyarakat Cina untuk menjadikan Manik Urai dan Kelantan sebagai destinasi babi sesuai dengan semangat beliau dalam mempertahankan perpaduan dan keharmonian hubungan Pas dan DAP.
Nik Aziz mungkin akan menyelak beberapa kitab untuk mencari nas dan dalil bagi menghalalkan Kelantan sebagai negeri babi atas alasan Islam menggalakkan perpaduan serta sentiasa menyeru umatnya untuk berkompromi dengan orang kafir bagi membuktikan kepimpinanan islam adalah bersifat adil dan saksama.
Ini penting kerana orang di Pendang, Kedah, yakni satu lagi kubu kuat Pas yang pernah menjadi kampung kelahiran bekas presiden Pas, Allahyarham Fadhil Nor. Maka eloklah kalau penternak babi dari kalangan penyokong DAP terkapai-kapai untuk mencari tempat membiak dan menyembelih babi, Nik Aziz selaku Bapa Perpaduan dalam PR menawarkan kawasan dan negerinya sebagai penyelesaian bagi menjamin hubungan baik Pas dan DAP dapat dikekalkan demi kemantapan Pakatan Rakyat dalam usaha menjatuhkan kerajaan Umno yang disifatkannya sebagai komunis.
Kita nantikan ucapan itu, manalah tau Nik Aziz akan menawarkan pakej ini kepada DAP sekaligus menjadi industri baru bagi menjadi ekonomi negeri Kelantan.