Suleiman Akhlaken

July 1, 2009

Jangan Sekali-kali Lupakan Sejarah

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 2:26 pm

Kata-kata Bung Karno yang popular ini bolehlah dirujuk kalau kita ingin bercakap tentang perpaduan Melayu. Bagi saya, kita belum berada dalam satu peringkat survival atau dipersimpangan jalan untuk menyifatkan persekitaran politik orang Melayu pada ketika ini sedang berada pada tahap kronik atau konflik.

Orang Melayu mengambil masa hampir 450 tahun untuk mengenal apa itu erti perpaduan; apa itu perjuangan; apa itu maruah dan kebebasan dan apa itu erti sebuah negara bangsa yang bertunjangkan kepimpinan Melayu.

Dari zaman jatuhnya Melaka ke tangan Portugis pada 1511, puluhan tahun sebelum itu, dipenghujung era Kesultanan Melaka, perpecahan telahpun wujud dikalangan masyarakat Melayu akibat permainan politik antara Tun Mutahir dan Tun Ali.

Melaka jatuh atas dua faktor. Kekucar-kaciran politik dalaman serta faktor kehadiran armada Portugis dengan senjata dan strategi peperangan yang lebih moden.

Dalam tempoh 450 tahun, orang Melayu dijajah dan digari oleh empat bangsa asing yakni Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan selepas perang dunia ke 2, pada tahun 1945, Inggeris kembali memerintah negara ini dan hanya 12 tahun kemudian, orang Melayu mampu menuntut kemerdekaan ketika India dan Indonesia lebih dulu berjaya mendapat pengiktirafan negara bangsa yang merdeka berikutan kelemahan Belanda dan Inggeris setelah berakhirnya perang dunia ke 2 di Eropah.

Dalam tempoh 450 tahun, orang Melayu berjuang menuntut kemerdekaan dengan kesedaran yang paling naif. Begitu ramai pejuang muncul namun pengikutnya hanyalah sedikit. Selama 450 tahun, orang Melayu seakan-akan menganggap hidup hanya menyesuaikan diri dengan apa yang terjadi dan apa yang ditakdirkan berlaku terhadap diri mereka.

Nama-nama pejuang seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Sagor, Dol Said, Abdul Rahman Limbung, Datuk Maharajalela, Raja Ali Haji, Rosli Dhobie dan Mat Salleh hanyalah sejumlah dari sekian banyak nama yang gugur ditangan penjajah ketika berjuang dengan sokongan keperwiraan yang sangat kecil.

Orang Melayu hanya mula sedar apabila wujud kongress 1946 di Johor yang membawa kepada penubuhan Umno. Itupun perpecahan berlaku dalam proses mencapai kemerdekaan apabila wujud dua falsafah yang berbeza dimana golongan kanan memilih jalan perundingan manakala golongan kiri (AWAS dan API) memilih gerakan bersenjata dalam menentang Inggeris.

Akhirnya, Rashid Maidin, Ahmad Sidi, Wahi Anwar dan Shamsiah Fakir antara pemimpin pada waktu itu memilih untuk masuk ke hutan dan bergabung dengan Parti Komunis Malaya, pimpinan Chin Peng dengan menubuhkan regimen khas PKM Melayu dengan nama Regimen 10 Zulhijah.

Selama 52 tahun kita merdeka dan 12 kali melalui pilihanraya, orang Melayu sudahpun berada dalam kancah perpecahan terutama dalam Umno dengan golongan yang menolak idealisme nasionalis menubuhkan parti baru dengan keluarnya Datuk Onn maka wujudlah Parti Negara.

Kemudian orang Melayu berpecah lagi apabila wujudnya golonga fundemental Islam dan tertubuhlah Parti Pas. 1987, orang Melayu berpecah lagi apabila Tengku Razaleigh dan senarai nama besar pemimpin-pemimpin Umno keluar dan menubuhkan parti Semangat 46. 11 tahun kemudian, orang Melayu berpecah lagi apabila Anwar Ibrahim yang disingkirkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno dipecat dan menubuhkan parti Keadilan.

Politik orang Melayu tidak pernah menjadi bongkah besi yang padu tapi sepanjang zaman ia sentiasa laksana pinggan yang retak. Orang Melayu masih belum faham mengenai nilai seorang pemimpin dan erti sebuah gerakan. Justeru, parti seperti Umno yang pernah menyatukan orang Melayu dalam kebangkitan menentang Malayan Union hari ini masih melalui kemelut perpecahan.

Ini kerana orang Melayu masih menganggap politik adalah siapa pemimpin. Maka itu, senang bagi mereka yang memimpin untuk mengambil kesempatan dari sikap ketaksuban orang Melayu terhadap pemimpin untuk dimanipulasikan.

Orang Melayu pernah menjadi komunis untuk survival politik. Orang Melayu pernah mempertikaikan antara nasionalis dan Islam dalam konteks politik tanpa memikirkan kedua-duanya adalah roh dan jasad bagi kewujudan bangsanya. Orang Melayu boleh meninggalkan Umno dengan menganggap parti nasionalis tidak berteraskan Islam dan kemudian menubuhkan parti Islam dan boleh pula duduk kemudiannya duduk semeja dengan parti bukan Melayu dan lebih aneh mempunyai pendapat yang sama terhadap Umno.

Ini yang aneh.

Gerakan Islam mengaggap gerakan nasionalis Melayu tidak lagi relevan lalu menwujudkan gerakan Islam dan kemudian bersatu dnegan parti bukan Melayu untuk menyerang dan memusnahkan identiti nasionalisme.

Jadi tidak hairanlah, Umno pernah dianggap kafir dan sekarang dianggap komunis.

Pas sungguh aneh. Bagaimana mereka boleh mempunyai tolenransi yang luar biasa untuk bergabung dengan DAP yang mempunyai sejarah perkauman yang luar biasa semata-mata untuk menyerang Umno kerana bencikan idealisme nasionalis. Pas amat menghairankan, Umno boleh dianggap kafir dan komunis manakala DAP boleh dianggap sebagai rakan politik.

Pas boleh menemui pelbagai dalil dan nas untuk mencelah Umno dan pada masa yang sama boleh mencari dalil dan nas juga untuk menghalalkan kerjasamanya dengan DAP.

Al-Quran dimata Pas tidak lagi menjadi kitab Ad-din. Pas akan menyelak Al-Quran dan mencari hadis untuk menentang dan mencela gerakan nasionalisme Melayu.

Jadi tidak hairanlah idea kerajaan perpaduan gagal dilaksanakan apabila Pas akhirnya mengenepikan cadangan presidennya sendiri untuk mengwujudkan kerajaan perpaduan bersama Umno. Keputusan ini tidak dapat diukur sebagai kemahuan ahli atau kecenderungan pemimpin-pemimpin tertentu dalam Pas yang enggan menerima atau menyatukan semula identiti Melayu dengan memiliih Islam dan bangsa sebagai roh dan jasad.

Kerajaan Perpaduan sekiranya berjaya dicapai akan menjadi sejarah yang terbesar dalam legasi politik melayu selepas perjuangan menentang Malayan Union dan seterusnya peranan Umno dalam mengetuai perjuangan kemerdekaan.

Alasannya mudah. Penyatuan akan menyebabkan banyak pemimpin akan kehilangan kedudukan ataupun kedudukan mereka didalam Pas akan terancam sekiranya Pas duduk semeja dengan Umno dalam membentuk kerajaan perpaduan. Orang seperti Nik Aziz terlampau banyak membaca kitab tapi masalahnya ilmu yang dimiliki hanya sekadar mampu dihuraikan dalam konteks politik. Nik Aziz tidak melihat ilmu dan pengetahuannya lebih jauh selain daripada menilai ilmunya yang ada itu sebagai aset untuk mendapatkan pengaruh politik.

Oleh kerana orang Melayu taksub kepada pemimpin apatah lagi sebagai besar orang Melayu menganggap orang seperti Nik Aziz adalah pemimpin agama tetapi lupa untuk melihat bahawa Nik Aziz adalah ahli politik yang menggunakan pengetahuan agama sebagai senjata untuk mencari pengaruh.

Orang seperti Nik Aziz yang sentiasa menghunuskan senjata tidak akan pandai berdamai kerana ilmunya adalah alat untuk membunuh musuh. Dan kerana Nik Aziz telah melihat Umno sebagai musuh, beliau sanggup bersekongkol dengan siapa saja termasuk kumpulan anti Melayu dalam misinya untuk membunuh golongan nasionalis yang dibencinya.

Saya percaya, sekiranya Nik Aziz tidak berada dalam Pas atau ditakdirkan tidak lagi berada dalam politik, usaha menubuhkan kerajaan perpaduan mungkin sudah berada pada tahap perbincangan awam tetapi kerana Nik Aziz mengangkat Al-Quran ditangan kiri dan menjulan pedang ditangan kanan sambil melaungkan segala dalil dan nas sesuai dengan kedudukannya yang dianggap ulama, maka penentangan peribadinya terhadap kerajaan perpaduan dianggap sebagai satu hukum yang harus dipatuhi oleh ahli-ahli Pas.

Ulama seperti Haji Hadi dan Nasharuddin Mat Isa, walaupun menduduki dua jawatan tertinggi dalam parti terpaksa mendiamkan diri kerana perlu memelihara suasana harmoni dikalangan pemimpin-pemimpin bertaraf ulama didalam Pas semata-mata untuk tidak memburukkan lagi reputasi Pas dalam konteks politik. Maksudnya kerajaan perpaduan tidak dipertahankan meski dengan satu dalil atau nas oleh kedua-dua pemimpin tertinggi ini semata-mata untuk tidak memperlihatkan kepimpinan ulama dalam Pas sedanga menuju jalan perpecahan. Maka itu tidak hairanlah banyak kebenaran yang dalam idea kedua-dua pemimpin kanan Pas ini disenyapkan begitu saja apabila Nik Aziz terlalu garang dan berani menyuarakan pandangan-pandangan peribadinya.

Begitulah bagaimana Al-Quran dan kebenaran digunakan dalam Pas.

Bagi saya, ia tidak digunakan tapi dipergunakan dan diperkudakan oleh pemimpin-pemimpin Pas. Pada saya, rujuklah kembali kepada sejarah. Bagaimana kejatuhan Islam bermula? Ia berlaku apabila pemimpin-pemimpin yang mempunyai kepentingan menggunakan agama untuk mendapatkan pengaruh dan akhirnya empayar yang besar bermula dari Muawwiyah, Abbasiyah, Othmaniyah dan Andalusia jatuh dalam tempoh 400 tahun sedangkan ia boleh dipertahankan sekiranya golongan pemimpin tidak menggunakan kepentingan agama untuk membina empayar politik peribadi mereka.

Sesekali kita harus melihat sejarah dan jangan terlalu taksub pada kata-kata yang mungkin dipergunakan atau diperkudakan atas nama agama yang sebenarnya bermotifkan poiitik.

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Theme: Rubric. Blog at WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.