Seminggu sebelum Pilihanraya Presiden Iran 12 Jun lalu, CNN memberikan liputan luar biasa pada pilihanraya ini dengan menumpukan perhatian memperkenalkan kepada dunia, calon penentang Ahmadinejad.
CNN saban waktu setiap hari membuat lintas langsung ke Tehran dengan fokus kepada Mir Hossein Mousavi dan isterinya dengan menumpukan kepada pandangan-pandangan luar biasa Musave terhadap dasar luar Iran dan disifatkannya dirosakkan oleh Ahmadinejad.
Musave merujuk Ahmadinejad sebagai orang yang bertanggungjawab memusnahkan ekonomi Iran berikutan sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap negara revolusi Islam itu dengan menyifatkan isu nuklear yang dipertahankan oleh Ahmadinejad menjadikan Iran terpulau dan dikenakan sekatan antarabangsa.
Ada unsur -unsur yang jelas dapat dilihat dalam paparan CNN, Mousavi adalah tokoh pembaharuan Iran yang mampu menyingkirkan Ahmadinejad yang dianggap degil terutama berhubung dasarnya untuk tidak berundur dari isu pengayaan Uranium bagi pembanggunan rektor nuklear untuk tujuan sumber tenaga.
Ahmadinejad popular dikalangan golongan muda Islam ketika beliau bertanding pada pillihanraya 2005 sebagai calon radikal yang ingin memastikan Iran bangkit menjadi kuasa vokal dalam menentang dan mengkritik dasar White House ketika bekas presiden George W.Bush begitu agresif dalam dasar luarnya terhadap Iran, Sudan, Iraq dan Afghanistan.
Berbalik kepada Mousavi, CNN memberikan gambaran bekas perdana menteri Iran itu sebagai seorang tokoh diplomatik yang moderat dan toleran, sekaligus akan membantu mengimbangi ketegangan di Asia Barat terutama sikap anti Israel yang jelas menjadi dasar utama Ahmadinejad sepanjang lima tahun mengetuai kepimpinan politik Iran.
Usaha CNN dengan laporan berat sebelahnya turut mengaitkan latar belakang Ahmadinejad sebagai penyokong keganasan dengan membangkitkan isu kenyataan kontroversial Presiden Iran itu yang menyifatkan Israel tidak layak wujud di muka bumi ini. CNN dengan terperinci mengupas pembabitan Iran dengan kebangkitan golongan radikal Syiah di Iraq serta sokongan Tehran terhadap Hamas di Palestin dan Hezbollah di Lubnan. Ahmadinejad diberi gambaran sebagai pemimpin yang diasingkan oleh masyarakat Arab kerana turut mempunyai hubungan militan dengan Syria berhubung isu Palestin dan Lubnan.
Sepanjang seminggu sebelum proses pembuangan undi, ciri-ciri keganasan dan sikap permusuhan Ahmadinejad menjadi liputan utama berselang seli dengan laporan yang menggambarkan imej saingannya, Mousavi sebagai tokoh pembaharuan yang dinanti-nantikan oleh dunia seperti ketika Obama bertanding merebut jawatan White House.
Mousavi mendapat publisiti meluas termasuk disifatkan sebagai calon yang moderat dengan menggunakan Facebook sebagai senjata kempen, seolah-olah calon saingan Ahmadinejad itu tidak mendapat ruang publisiti dari media massa Iran.
Mousavi memecah tradisi berkempen di Iran selepas 30 tahun negara itu melalui revolusi Islam yang menjatuhkan sistem beraja Shah Iran melalui perjuangan Ayotullah Khomini, dengan membawa isterinya untuk turut berucap di khalayak pengundi sebagai usaha meraih populariti dikalangan rakyat Iran terutama wanita.
Setelah suruhanjaya pilihanraya Iran mengumumkan Ahmadinejad meraih 62 peratus undi dari jumlah 90 peratus undi yang dikira, serangan CNN tidak juga berakhir. CNN dengan ghairah melaporkan pelbagai tuduhan penyelewengan pengiraaan undi yang didakwa Mousavi serta tunjuk perasaan golongan pelajar di Tehran serta pelajar dan warga Iran di Barat.
Saya melihat fenomena ini sebagai satu lagi titik yang amat penting dalam arus maklumat antarabangsa yang dikuasai oleh media barat terutama CNN dan BBC.
Malaysia pernah melaluinya pada 1998 ketika kebangkitan penyokong Anuar Ibrahim mengadakan demontrasi berikutan pemecatan dan penangkapan bekas Timbalan Perdana Menteri itu atas tuduhan meliwat. CNN dengan agresif memaparkan aksi keganasan pihak polis membelasah penunjuk perasaan di sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman, Dataran Merdeka dan Masjid Negara.
Liputan CNN pada ketika itu memberikan gambaran bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir, sebagai diktator yang menggunakan polis untuk mengekalkan kuasanya dalam mengekang kebangkitan rakyat, hingga dimata dunia timbul kepercayaan bahawa Anwar Ibrahim mendapat sokongan seluruh rakyat Malaysia.
CNN yang berpusat di Atlanta, Amerika Syarikat, melalui rangkaian antarabangsanya sentiasa cuba mempromosikan saluran itu sebagai media dunia yang bebas dari kepentingan mana-mana parti politik mahupun pengaruh mana-mana kuasa dunia. Namun dalam isu pemecatan Anwar Ibrahim dan kemenangan Ahmadinejad, CNN jelas adalah media AS yang mempunyai kepentingan secara langsung dengan White House dan sekutunya.
Bukan sahaja Tun Mahathir dan Ahmadinejad menjadi mangsa, sebelum ini Presiden Venezuela, Chevez; Presiden Sudan, Omar Bashir dan Presiden Syria, Basha Al Assad serta pemimpin Hezbollah, Hasan Nasrullah turut menjadi korban liputan berat sebelah CNN.
CNN pada 2 hingga 6 Jun turut menyerang Beijing dengan mengadakan siri laporan khas selama seminggu bagi mengingati 20 tahun berlalunya tragedi Medan Tiananmen yang mengorbankan 2700 pelajar dan penduduk Beijing yang mengadakan demonstrasi pro demokrasi.
Sepanjang seminggu CNN memaparkan impak kejadian itu sebagai satu trajedi yang amat kejam, memalukan dan seolah-olah mahu mengingatkan dunia negara kuasa besar China yang kini bangkit sebagai naga ekonomi antarabangsa adalah sebuah negara yang dikuasai oleh parti Komunis yang zalim.
Kita telah melihat begitu banyak mangsa CNN dan sekarang kita menanti perkembangan terakhir pilihanraya presiden Indonesia yang akan berlangsung Julai nanti. Indonesi sebagai negara Islam terbesar sudah tentu menjadi fokus CNN pada bulan depan, dan tentunya calon pilihan AS akan mendapat sokongan stesen berita antarabangsa itu manakala calon yang tidak disukai sekutu barat akan menjadi korban dari kelangsungan tradisi CNN untuk membunuh populariti mana-mana pemimpin yang tidak disenangi White House.
Persoalannya sampai bila CNN akan terus menjadi media utama yang harus kita tonton untuk mendapatkan maklumat palsu ketika kita tidak mampu memiliki agensi atau saluran berita tempatan yang berkeupayaan memaparkan maklumat yang benar kepada rakyat Malaysia.
Saya tertanya-tanya apakah agenda menjadikan Malaysia sebagai negara merdeka maklumat akan dapat dilaksanakan ketika kita begitu ghairah membangunkan pelbagai insfrastuktur komunikasi yang menelan belanja berbelas billion ringgit terutama dalam membangunkan rangkaian broadband yang dijangka akan mula dinikmati pada 2011 hingga 2015.
Saya bimbang pelaburan berbilion ringgit ini akhirnya menjadikan kita setakat wal asal balik hasil, dimana insfrastruktur yang dibanggunkan akan menjadi jalan pintas media barat akan terus meracuni fikiran rakyat dan menggunakan segala kemudahan itu untuk terus mengatur agenda mereka bagi kepentingan White House di dalam dan luar negara.
Persoalannya, mampukah kita melangkah pantas untuk memiliki media massa bertaraf antarabangsa, atau terus memikirkan kemungkinan menanggung kerugian operasi bagi mengwujudkan saluran berita antarabangsa tempatan tanpa memikirkan apa akan terjadi kepada pemikiran rakyat serta berbaloikah insfrastruktur digital yang bernilai berbilion ringgit itu digunakan media tempatan yang sedia ada untuk sekadar menaik taraf operasinya tetapi isinya tetap seperti era analog.
Tepuk dada tanya selera.