Suleiman Akhlaken

June 12, 2009

Nik Aziz: Peliharalah Lidah Laksana Ulama

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 10:02 am

Isu Kerajaan Perpaduan ternyata menjadi kemuncak dan sekaligus ujian yang cukup getir bagi Nik Aziz hingga akhirnya terpapar tindak tanduk yang sukar dipercayai, datang dari pelakuan seorang ulama.
Dalam kontek ini, saya menilai personaliti Nik Aziz dalam soal menterjemahkan kemarahan serta kebijaksaannya dalam mengendalikan lidah dan kata-kata ketika menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap isu dalaman parti.

“Boneka Umno!”

Adalah sesuatu yang tidak munasabah dan sangat keterlaluan apabila secara terbuka Nik Aziz mencela golongan dalam Pas yang menyokong idea Kerajaan Perpaduan sebagai boneka Umno.

Apakah Nik Aziz tidak sedar bahawa kata-katanya itu akan memberikan interpretasi, bahawa sebagai Musyidur Am Pas beliau secara terang-terangan melabelkan Hj Hadi dan Nasharudin Mat Isa serta sebilangan lagi pemimpin kanan Pas yang menyokong  idea ini, adalah golongan murahan yang kini diperkudakan oleh Umno sebagai boneka.

Saya hanya dapat berisytifar apabila mendengar komen ulama dan Menteri Besar Kelantan ini, yang nampaknya selepas berakhirnya muktamar Pas pada 6 Jun lalu, tidak lagi dapat membendung rasa marahnya terhadap idea Kerajaan Perpaduan yang secara tidak rasmi mendapat mandat perwakilan Pas untuk diserahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan tertinggi mengendalikan dialog tersebut sama ada dengan Umno mahupun BN.

Puluhan tahun Hj Hadi berjuang malah pada satu tahap, Presiden Pas ini pernah menyifatkan ahli Umno sebagai kafir, tetapi kematangan berpolitik mengajar Hj Hadi yang juga seorang ulama bahawa muhasabah dan perubahan masa harus mematangkan setiap pemimpin terutama isu yang berkait dengan keharmonian dan perpaduan negara.

Begitu zulmat hati Nik Aziz dan kata-katanya menjadikan lidah ulama tidak lebih daripada lidah orang jalanan yang sangat beremosi dan cetek fikiran dalam berpolitik.

Seperti dalam tulisan saya sebelum ini, saya menganggap tahap kematangan pemikiran Nik Aziz dalam politik tanah air hanyalah di peringkat negeri. Cara Nik Aziz mengendalikan isu-isu nasional jelas menampakkan pengetahuan dan persepsi beliau terhadap agenda kenegaraan amat sempit, sekaligus menjadikan imej Nik Aziz sebagai golongan yang jumud dalam menerima pembaharuan dan terlihat terlalu kolot untuk mengakui politik dan masa harus merubah sudut pandangan setiap pemimpin mengikut keperluan bagi memastikan kepimpinan mereka sentiasa relevan dengan tuntutan zaman.

Sejak bila Nik Aziz mempunyai pandangan yang begitu hina terhadap pemimpin dan ahli-ahli Pas sehingga beliau sanggup melabelkan golongan ini sebagai boneka. Tahukan Nik Aziz perkataan tersebut umpama meludah ke langit dan akhirnya jatuh ke mukanya sendiri?

Nik Aziz sepatutnya bersikap berani dan terbuka sebelum muktamar Pas yang lalu. Beliau pada ketika itu sudah mengetahui wujudnya kumpulan pro kerajaan perpaduan. Justeru, sekiranya Nik Aziz jujur dan ingin menentang idea itu beliau sepatutnya harus lantang dan berani menawarkan diri untuk bertandingan jawatan nombor satu bagi menyelamatkan Pas dari golongan yang disifatkannya sebagai boneka Umno.

Tidak mudah bagi orang seperti Hj Hadi untuk dicela hingga ke tahap boneka. Nik Aziz jangan lupa, ketika kepimpinan Hj Hadi, Pas berjaya menemui zaman kemuncaknya dalam sejarah politik tanah air berikutan mendadaknya sokongan rakyat pada parti itu pada pilihanraya yang lalu.

Majoriti besar yang diperolehi Pas di Kelantan adalah sebahagian daripada pengiktirafan rakyat terhadap Pas secara umum sekaligus memulihkan reputasi Pas yang hanya menang dengan majoriti tipis pada pilihanraya 2004.

Saya fikir adalah tidak munasabah Nik Aziz menganggap kedudukan beliau di Kelantan adalah milik peribadi, kerana walaupun empat penggal memerintah undi orang Kelantan bukan bererti undi peribadi kepada beliau, tetapi undi untuk parti Pas yang diterajui oleh Hj Hadi.

Hari ini lidah Nik Aziz tidak ubah seperti lidah orang jalanan; sekaligus menghilangkan rasa hormat di kalangan orang Islam dalam membezakan mana satu tutur kata orang berilmu, dan mana satu pula kata-kata orang yang jahil.

Pada saya Nik Aziz kini diracuni rasa dendam dan marah yang tidak dapat dikendalikan dan sebagai ulama Nik Aziz harus maklum pada tahap ini apakah jenis nafsu yang sedang mempengaruhi dirinya.

Saya tidak terkejut dengan pelbagai kata-kata yang pernah dilemparkan oleh Nik Aziz sebelum ini terutama terhadap Umno, malah ketika Nik Aziz terlanjur mengatakan “Allah juga samseng.” Pada saya, saya melihat perkataan-perkataan tersebut harus ditafsir dalam bentuk konotatif untuk mencari logik di sebalik hujah kontroversal itu.

Namun apabila Nik Aziz menghina kepimpinan Pas yang pro Kerajaan Perpaduan sebagai boneka Umno, saya mengganggap sudah sampai masanya golongan ulama di dalam Pas mengunjungi Nik Aziz dan membuka selembar dua kitab yang berkaitan adab berkata-kata terutama cara menzahirkan kritikan terhadap rakan seperjuangan.

Kenapa Hj Hadi harus dimalukan melalui kenyataan terbuka yang Nik Aziz sebagai orang lama, sudah tahu implikasi bahawa pandangannya itu akan disiarkan oleh media massa sekaligus berbaur cemuhan kepada Hj Hadi.

Sudah lama dalam satu parti, takkanlah Nik Aziz tidak tahu cara mencari ruang yang terbaik untuk melahirkan pandangannya kepada Hj Hadi melalui saluran silaturrahim yang tentunya lama terbina di dalam Pas.

Kalaulah begini caranya seorang ulama menangani isu politik maka jangan hairanlah kalau esok atau lusa caci maki dan kata nista akan menjadi permainan biasa di kalanga ahli Pas apabila berdepan dengan krisis atau konflik ketidaksefahaman politik.

Bagi saya Nik Aziz sungguh memalukan dan untuk pertama kali sebagai insan biasa, saya berdoa agar Allah melindungi lidah Nik Aziz dari terus berkata-kata seperti seorang yang jahil kerana perbuatan tersebut akan merosakkan identiti ulama di mata umat Islam dan bukan Islam.

Untuk Nik Aziz saya berpesan berhati-hatilah sebagai orang yang berilmu janganlah bertindak mengikut nafsu.

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Theme: Rubric. Blog at WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.