Suleiman Akhlaken

June 12, 2009

Jurang Perkauman dan Tanggungjawab TV

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 11:22 am

Dalam industri global walaupun wujud begitu banyak rangkaian TV yang bertaraf antarabangsa dan tidak mendokong  sebarang agenda negara bangsa terutama saluran yang berorientasikan berita, namun beberapa isu yang berlaku dan paling drastik selepas peristiwa 11 September 2000,  identiti maklumat melalui program TV tidak lagi mampu mendokong dasar yang bebas dari pengaruh daripada mana-mana negara bangsa.

Kalau pun stesen  TV  cuba mengekalkan dasar yang bebas dalam laporannya namun persepsi terhadap sesuatu isu menyebabkan wujud prejudis dikalangan penonton terhadap mesej dipaparkan. CNN dan BBC umpamanya dianggap sebagai media blok barat dan setiap laporan yang berkaitan dengan krisis ketenteraan, politik dan ekonomi dengan mana-mana negara bangsa terutama Islam akan dilihat sebagai berselimutkan agenda barat.

TV yang pada satu masa dahulu dianggap sebagai rangkaian yang menghubungkan aliran maklumat globalisasi akhirnya dianggap sebagai senjata psikologi yang dimiliki oleh sebelah pihak untuk menyerang pihak yang lain. Malah stesen  yang bukan berorentasikan maklumat seperti National Geography , History Channel dan Discovery Channel turut menerima tempias dimana perisian dokumentari yang bersifat sejagat turut menerima persepsi yang negatif  daripada masyarakat Islam khasnya dan Timur amnya.

Justeru tidak hairanlah pada 6 Jun lalu, berikutan 20 tahun mengenang traged Medan Tiananmen saluran CNN dan BBC dipantau dan apa sahaja berita mengenai tragedi kebangkitan pelajar pro demokrasi di Beijing pada 1989 itu akan diputuskan salurannya.

Bagi China agenda CNN dan BBC dalam memaparkan peristiwa Tiananmen dalah satu agenda kuasa demokrasi yang didokong oleh Amerika Syarikat dan sekutunya Eropah untuk menjejaskan reputasi Parti Komunis di China dan secara tidak langsung melancarkan perang psikologi ke atas masyarakat dunia yang kini mula berpaling kepada China sebagai satu kuasa ekonomi dan politik yang sangat berpengaruh.

Kembali kepada institusi TV yang dianggap sebagai sebahagian daripada perniagaan komunikasi dan hiburan yang mempunyai aset pendapatan paling tinggi dalam industri hari ini, di Malaysia stesen TV  yang berorentasikan komersial secara konvensionalnya masih lagi mengekalkan orentasi untuk menguasai pasaran iklan melalui rating  dan pendapatan  manakala fokus perniagaannya pula hanya terarah kepada kumpulan sasaran mengikut stategi umur kelas pendapatan kawasan tontonan dan paling penting ialah menguasai masyarakat sebagai stesen utama.

TV  samada melalui saluran berita yang mungkin mewakili sekitar 10% perisiannya, manakala selebihnya program yang berunsur hiburan, kini meneruskan peperangan untuk menguasai rating penonton melalui kaedah penyebaran maklumat yang paling pantas tepat dan terperinci manakala program hiburannya pula akan terarah kepada perisian yang mampu menarik kuasa tontonan yang tinggi dikalangan penonton.

Saya tidak fikir mana-mana stesen TV  di negara ini menyediakan satu kaedah penyelidikan di dalam pelan perniagaan mereka berhubung persekitaran sosial terutama hubungan kaum. Ini kerana fokus perniagaan setiap saluran TV hanya melihat kepelbagaian kaum dikalangan penonton melalui kelas umur, pendapatan dan kawasan tontonan dalam erti kata yang lain analisa mengenai kepelbagaian kaum hanya dibuat di dalam skop bagi fokus penyusunan rancangan untuk mendapatkan rating penonton bagi mengaut keuntungan pengiklanan.

Pada saya, selepas pilihanraya ke- 12 yang lalu, wujud satu persekitaran yang sangat membimbangkan di negara ini terutama berhubung pola pengundian yang berteraskan kepada parti dan kaum. Pola yang mencetuskan jurang perkauman ini sudah pasti tidak dapat diletakkan dalam fokus perniagaan mana-mana stesen TV kerana isunya tidak berkaitan dengan rating dan pasaran iklan.

Ketika ini, sewaktu jurang perkauman semakin memuncak berikutan analisis pilihanraya yang menunjukkan bahawa wujud unsur perkauman dalam  pola pengundian dan ketidakstabilan, ini menjadi bertambah serius kerana sentimen pilihanraya  dua tahun lalu terus berlarutan hingga sekarang.

Memandangkan kempen pilihanraya yang lalu, serta pembentukan kerajaan pembangkang serta kegagalan kerajaan menguasai dua pertiga majoriti Parlimen, membuatkan isu-isu pilihanraya terus bersemarak dan mencapai tahap yang serius berikutan kemelut politik di Perak.

Saya tidak fikir analisis ini bertujuan memperlekehkan peranan TV  yang kelihatannya langsung tidak memainkan peranan bagi memulihkan kesan jurang antara kaum yang berlaku sewaktu pilihanraya. Operasi TV terus berkisar dalam perlumbaan untuk menguasai berita-berita sensasi manakala produk hiburannya kini sedang berperang untuk menguasai rating tontonan dan penguasaaan SMS  melalui program realiti  TV, menguasai rating penonton melalui telenovela import serta mula mempersiapkan program tempatan untuk mengambil alih budaya telenovel yang sudah menampakkan kecenderungan bakal menguasai rating penonton di TV. Ini antara kesan yang menyebabkan usaha-usaha ke arah pemulihan hubungan kaum hampir tidak kelihatan menjadi agenda penting operasi TV.

TV dalam konteks ini berjaya memisahkan dirinya daripada terbabit dalam kemelut politik terutama soal perkauman. Alasannya mudah, operasi TV akan berusaha sejauh mungkin daripada membabitkan diri dalam isu ini kerana strategi fokus perniagaan mereka akan terjejas sekiranya stesen TV  tersilap langkah dan diangggap memihak kepada mana-mana kaum.

Stesen  TV bimbang sekiranya ia terlihat memihak terhadap sesuatu kaum bererti ia akan kehilangan rating penonton daripada kaum yang lain. RTM masih meneruskan usahanya dalam isu perpaduan tetapi dengan gaya lama yang sangat didaktik sehingga program –program hubungan kaum  masih lagi berorentasikan gaya lama ala drama Empat Sekawan.

RTM sebagai media kerajaan kelihatan tidak berdaya mencari ruang yang lebih kreatif untuk melaksanakan tanggungjawab sosial bagi memulihkan jurang perkauman yang tercetus kesan daripada pilihanraya yang ke -12 dan impaknya, tiada kuasa yang mampu mengimbangi kesan perkauman ini daripada terus berleluasa ketika parti-parti politik pasca pilihanraya terus menjana isu perkauman bagi memastikan parti-parti yang berorentasikan kaum dapat  mengekalkan momentum sokongan hingga menjelangnya pilihanraya ke- 13 pada tahun 2012.

Jadi saya tidak hairan jika hingga pada hari ini usaha kerajaan untuk memulihkan semula jurang perkauman terlihat tidak mendapat sokongan saluran TV. Maka itu bukanlah suatu yang mustahil hingga hari ini masyarakat masih tertanya-tanya apa itu agenda Satu Malaysia yang sedang diusahakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saya merasa gusar apakah langkah pasif untuk tidak mempromosikan idelisme Satu Malaysia ini mempunyai kaitan dengan kebimbangan operator TV untuk tidak dianggap menyokong agenda Perdana Menteri ini seolah-olah menyokong kerajaan.

Apakah stesen TV bimbang dengan mempromosikan agenda ini mereka akan kehilangan penonton dari kalangan pengundi yang tidak menyokong kerajaan pada pilihanraya yang lalu. Saya juga tidak pasti apakah pihak TV faham bahawa matlamat Satu Malaysia tidak mempunyai kaitan dengan kepentingan dengan agenda politik partisan tetapi sebaliknya adalah satu agenda negara untuk mengukuhkan kembali saf masyarakat berbilang kaum dinegara ini yang sedikit terjejas pada pilihanraya yang lalu berikutan meningkatnya fenomena politik parti dan kaum dalam pola pengundianya.

Sekiranya stesen TV terus berdiam diri dan enggan membabitkan diri dengan agenda ini semata-mata bimbang dianggap memihak kepada kerajaan dan kehilangan penonton daripada kalangan penyokong pembangkang, ia satu tragedi yang amat memalukan di dalam sejarah mediamasa di negara ini.

Saya percaya sekiranya tiada tindakan drastik yang dilakukan oleh stesen TV tempatan dalam membantu mengukuhkan kembalikan hubungan kaum dinegara ini, maka akhirnya, Perdana Menteri terpaksalah bekerja bersendirian dari satu tempat ke satu tempat untuk menyampaikan matlamatnya, seolah-olah negara ini adalah sebuah negara yang tidak memiliki kuasa media penyiaran.

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Theme: Rubric. Blog at WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.