Suleiman Akhlaken

June 14, 2009

Kejahatan CNN dan Agenda Politik Barat

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 12:50 pm

Seminggu sebelum Pilihanraya Presiden Iran 12 Jun lalu, CNN memberikan liputan luar biasa pada pilihanraya ini dengan menumpukan perhatian memperkenalkan kepada dunia, calon penentang Ahmadinejad.

CNN saban waktu setiap hari membuat lintas langsung ke Tehran dengan fokus kepada Mir Hossein Mousavi dan isterinya dengan menumpukan kepada pandangan-pandangan luar biasa Musave terhadap dasar luar Iran dan disifatkannya dirosakkan oleh Ahmadinejad.

Musave merujuk Ahmadinejad sebagai orang yang bertanggungjawab  memusnahkan ekonomi Iran berikutan sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap negara revolusi Islam itu dengan menyifatkan isu nuklear yang dipertahankan oleh Ahmadinejad menjadikan Iran terpulau dan dikenakan sekatan antarabangsa.

Ada unsur -unsur yang jelas dapat dilihat dalam paparan CNN, Mousavi adalah tokoh pembaharuan Iran yang mampu menyingkirkan Ahmadinejad yang dianggap degil terutama berhubung dasarnya untuk tidak berundur dari isu pengayaan Uranium bagi pembanggunan rektor nuklear untuk tujuan sumber tenaga.

Ahmadinejad popular dikalangan golongan muda Islam ketika beliau bertanding pada pillihanraya 2005 sebagai calon radikal yang ingin memastikan Iran bangkit menjadi kuasa vokal dalam menentang dan mengkritik dasar White House ketika bekas presiden George W.Bush begitu agresif dalam dasar luarnya terhadap Iran, Sudan, Iraq dan Afghanistan.

Berbalik kepada Mousavi, CNN memberikan gambaran bekas perdana menteri Iran itu sebagai seorang tokoh diplomatik yang moderat dan toleran, sekaligus akan membantu mengimbangi ketegangan di Asia Barat terutama sikap anti Israel yang jelas menjadi dasar utama Ahmadinejad sepanjang lima tahun mengetuai kepimpinan politik Iran.

Usaha CNN dengan laporan berat sebelahnya turut mengaitkan latar belakang Ahmadinejad sebagai penyokong keganasan dengan membangkitkan isu kenyataan kontroversial Presiden Iran itu yang menyifatkan Israel tidak layak wujud di muka bumi ini.  CNN dengan terperinci mengupas pembabitan Iran dengan kebangkitan golongan radikal Syiah di Iraq serta sokongan Tehran terhadap Hamas di Palestin dan Hezbollah di Lubnan. Ahmadinejad diberi gambaran sebagai pemimpin yang diasingkan oleh masyarakat Arab kerana turut mempunyai hubungan militan dengan Syria berhubung isu Palestin dan Lubnan.

Sepanjang seminggu sebelum proses pembuangan undi, ciri-ciri keganasan dan sikap permusuhan Ahmadinejad menjadi liputan utama berselang seli dengan laporan yang menggambarkan imej saingannya, Mousavi sebagai tokoh pembaharuan yang dinanti-nantikan oleh dunia seperti ketika Obama bertanding merebut jawatan White House.

Mousavi mendapat publisiti meluas termasuk disifatkan sebagai calon yang moderat dengan menggunakan Facebook sebagai senjata kempen, seolah-olah calon saingan Ahmadinejad itu tidak mendapat ruang publisiti dari media massa Iran.

Mousavi memecah tradisi berkempen di Iran selepas 30 tahun negara itu melalui revolusi Islam yang menjatuhkan sistem beraja Shah Iran melalui perjuangan Ayotullah Khomini, dengan membawa isterinya untuk turut berucap di khalayak pengundi sebagai usaha meraih populariti dikalangan rakyat Iran terutama wanita.

Setelah suruhanjaya pilihanraya Iran mengumumkan Ahmadinejad meraih 62 peratus undi dari jumlah 90 peratus undi yang dikira, serangan CNN tidak juga berakhir. CNN dengan ghairah melaporkan pelbagai tuduhan penyelewengan pengiraaan undi yang didakwa Mousavi serta tunjuk perasaan golongan pelajar di Tehran serta pelajar dan warga Iran di Barat.

Saya melihat fenomena ini sebagai satu lagi titik yang amat penting dalam arus maklumat antarabangsa yang dikuasai oleh media barat terutama CNN dan BBC.

Malaysia pernah melaluinya pada 1998 ketika kebangkitan penyokong Anuar Ibrahim mengadakan demontrasi berikutan pemecatan dan penangkapan bekas Timbalan Perdana Menteri itu atas tuduhan meliwat. CNN dengan agresif memaparkan aksi keganasan pihak polis membelasah penunjuk perasaan di sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman, Dataran Merdeka dan Masjid Negara.

Liputan CNN pada ketika itu memberikan gambaran bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir, sebagai diktator yang menggunakan polis untuk mengekalkan kuasanya dalam mengekang kebangkitan rakyat, hingga dimata dunia timbul kepercayaan bahawa Anwar Ibrahim mendapat sokongan seluruh rakyat Malaysia.

CNN yang berpusat di Atlanta, Amerika Syarikat, melalui rangkaian antarabangsanya sentiasa cuba mempromosikan saluran itu sebagai media dunia yang bebas dari kepentingan mana-mana parti politik mahupun pengaruh mana-mana kuasa dunia. Namun dalam isu pemecatan Anwar Ibrahim dan kemenangan Ahmadinejad, CNN jelas adalah media AS yang mempunyai kepentingan secara langsung dengan White House dan sekutunya.

Bukan sahaja Tun Mahathir dan Ahmadinejad menjadi mangsa, sebelum ini Presiden Venezuela, Chevez; Presiden Sudan, Omar Bashir dan Presiden Syria, Basha Al Assad serta pemimpin Hezbollah, Hasan Nasrullah  turut menjadi korban liputan berat sebelah CNN.

CNN pada 2 hingga 6 Jun turut menyerang Beijing dengan mengadakan siri laporan khas selama seminggu bagi mengingati 20 tahun berlalunya tragedi Medan Tiananmen yang mengorbankan 2700 pelajar dan penduduk Beijing yang mengadakan demonstrasi pro demokrasi.

Sepanjang seminggu CNN memaparkan impak kejadian itu sebagai satu trajedi yang amat kejam, memalukan dan seolah-olah mahu mengingatkan dunia negara kuasa besar China yang kini bangkit sebagai naga ekonomi antarabangsa adalah sebuah negara yang dikuasai oleh parti Komunis yang zalim.

Kita telah melihat begitu banyak mangsa CNN dan sekarang kita menanti perkembangan terakhir pilihanraya presiden Indonesia yang akan berlangsung Julai nanti. Indonesi sebagai negara Islam terbesar sudah tentu menjadi fokus CNN pada bulan depan, dan tentunya calon pilihan AS akan mendapat sokongan stesen berita antarabangsa itu manakala calon yang tidak disukai sekutu barat akan menjadi korban dari kelangsungan tradisi CNN untuk membunuh  populariti mana-mana pemimpin yang tidak disenangi White House.

Persoalannya sampai bila CNN akan terus menjadi media utama yang harus kita tonton untuk mendapatkan maklumat palsu ketika kita tidak mampu memiliki agensi atau saluran berita tempatan yang berkeupayaan memaparkan maklumat yang benar kepada rakyat Malaysia.

Saya tertanya-tanya apakah agenda menjadikan Malaysia sebagai negara merdeka maklumat akan dapat dilaksanakan ketika kita begitu ghairah membangunkan pelbagai insfrastuktur komunikasi yang menelan belanja berbelas billion ringgit terutama dalam membangunkan rangkaian broadband yang dijangka akan mula dinikmati pada 2011 hingga 2015.

Saya bimbang pelaburan berbilion ringgit ini akhirnya menjadikan kita setakat wal asal balik hasil, dimana insfrastruktur yang dibanggunkan akan menjadi jalan pintas media barat akan terus meracuni fikiran rakyat dan menggunakan segala kemudahan itu untuk terus mengatur agenda mereka bagi kepentingan White House di dalam dan luar negara.

Persoalannya, mampukah kita melangkah pantas untuk memiliki media massa bertaraf antarabangsa, atau terus memikirkan kemungkinan menanggung kerugian operasi bagi mengwujudkan saluran berita antarabangsa tempatan tanpa memikirkan apa akan terjadi kepada pemikiran rakyat serta berbaloikah insfrastruktur digital yang bernilai berbilion ringgit itu digunakan media tempatan yang sedia ada untuk sekadar menaik taraf operasinya tetapi isinya tetap seperti era analog.

Tepuk dada tanya selera.

June 12, 2009

Jurang Perkauman dan Tanggungjawab TV

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 11:22 am

Dalam industri global walaupun wujud begitu banyak rangkaian TV yang bertaraf antarabangsa dan tidak mendokong  sebarang agenda negara bangsa terutama saluran yang berorientasikan berita, namun beberapa isu yang berlaku dan paling drastik selepas peristiwa 11 September 2000,  identiti maklumat melalui program TV tidak lagi mampu mendokong dasar yang bebas dari pengaruh daripada mana-mana negara bangsa.

Kalau pun stesen  TV  cuba mengekalkan dasar yang bebas dalam laporannya namun persepsi terhadap sesuatu isu menyebabkan wujud prejudis dikalangan penonton terhadap mesej dipaparkan. CNN dan BBC umpamanya dianggap sebagai media blok barat dan setiap laporan yang berkaitan dengan krisis ketenteraan, politik dan ekonomi dengan mana-mana negara bangsa terutama Islam akan dilihat sebagai berselimutkan agenda barat.

TV yang pada satu masa dahulu dianggap sebagai rangkaian yang menghubungkan aliran maklumat globalisasi akhirnya dianggap sebagai senjata psikologi yang dimiliki oleh sebelah pihak untuk menyerang pihak yang lain. Malah stesen  yang bukan berorentasikan maklumat seperti National Geography , History Channel dan Discovery Channel turut menerima tempias dimana perisian dokumentari yang bersifat sejagat turut menerima persepsi yang negatif  daripada masyarakat Islam khasnya dan Timur amnya.

Justeru tidak hairanlah pada 6 Jun lalu, berikutan 20 tahun mengenang traged Medan Tiananmen saluran CNN dan BBC dipantau dan apa sahaja berita mengenai tragedi kebangkitan pelajar pro demokrasi di Beijing pada 1989 itu akan diputuskan salurannya.

Bagi China agenda CNN dan BBC dalam memaparkan peristiwa Tiananmen dalah satu agenda kuasa demokrasi yang didokong oleh Amerika Syarikat dan sekutunya Eropah untuk menjejaskan reputasi Parti Komunis di China dan secara tidak langsung melancarkan perang psikologi ke atas masyarakat dunia yang kini mula berpaling kepada China sebagai satu kuasa ekonomi dan politik yang sangat berpengaruh.

Kembali kepada institusi TV yang dianggap sebagai sebahagian daripada perniagaan komunikasi dan hiburan yang mempunyai aset pendapatan paling tinggi dalam industri hari ini, di Malaysia stesen TV  yang berorentasikan komersial secara konvensionalnya masih lagi mengekalkan orentasi untuk menguasai pasaran iklan melalui rating  dan pendapatan  manakala fokus perniagaannya pula hanya terarah kepada kumpulan sasaran mengikut stategi umur kelas pendapatan kawasan tontonan dan paling penting ialah menguasai masyarakat sebagai stesen utama.

TV  samada melalui saluran berita yang mungkin mewakili sekitar 10% perisiannya, manakala selebihnya program yang berunsur hiburan, kini meneruskan peperangan untuk menguasai rating penonton melalui kaedah penyebaran maklumat yang paling pantas tepat dan terperinci manakala program hiburannya pula akan terarah kepada perisian yang mampu menarik kuasa tontonan yang tinggi dikalangan penonton.

Saya tidak fikir mana-mana stesen TV  di negara ini menyediakan satu kaedah penyelidikan di dalam pelan perniagaan mereka berhubung persekitaran sosial terutama hubungan kaum. Ini kerana fokus perniagaan setiap saluran TV hanya melihat kepelbagaian kaum dikalangan penonton melalui kelas umur, pendapatan dan kawasan tontonan dalam erti kata yang lain analisa mengenai kepelbagaian kaum hanya dibuat di dalam skop bagi fokus penyusunan rancangan untuk mendapatkan rating penonton bagi mengaut keuntungan pengiklanan.

Pada saya, selepas pilihanraya ke- 12 yang lalu, wujud satu persekitaran yang sangat membimbangkan di negara ini terutama berhubung pola pengundian yang berteraskan kepada parti dan kaum. Pola yang mencetuskan jurang perkauman ini sudah pasti tidak dapat diletakkan dalam fokus perniagaan mana-mana stesen TV kerana isunya tidak berkaitan dengan rating dan pasaran iklan.

Ketika ini, sewaktu jurang perkauman semakin memuncak berikutan analisis pilihanraya yang menunjukkan bahawa wujud unsur perkauman dalam  pola pengundian dan ketidakstabilan, ini menjadi bertambah serius kerana sentimen pilihanraya  dua tahun lalu terus berlarutan hingga sekarang.

Memandangkan kempen pilihanraya yang lalu, serta pembentukan kerajaan pembangkang serta kegagalan kerajaan menguasai dua pertiga majoriti Parlimen, membuatkan isu-isu pilihanraya terus bersemarak dan mencapai tahap yang serius berikutan kemelut politik di Perak.

Saya tidak fikir analisis ini bertujuan memperlekehkan peranan TV  yang kelihatannya langsung tidak memainkan peranan bagi memulihkan kesan jurang antara kaum yang berlaku sewaktu pilihanraya. Operasi TV terus berkisar dalam perlumbaan untuk menguasai berita-berita sensasi manakala produk hiburannya kini sedang berperang untuk menguasai rating tontonan dan penguasaaan SMS  melalui program realiti  TV, menguasai rating penonton melalui telenovela import serta mula mempersiapkan program tempatan untuk mengambil alih budaya telenovel yang sudah menampakkan kecenderungan bakal menguasai rating penonton di TV. Ini antara kesan yang menyebabkan usaha-usaha ke arah pemulihan hubungan kaum hampir tidak kelihatan menjadi agenda penting operasi TV.

TV dalam konteks ini berjaya memisahkan dirinya daripada terbabit dalam kemelut politik terutama soal perkauman. Alasannya mudah, operasi TV akan berusaha sejauh mungkin daripada membabitkan diri dalam isu ini kerana strategi fokus perniagaan mereka akan terjejas sekiranya stesen TV  tersilap langkah dan diangggap memihak kepada mana-mana kaum.

Stesen  TV bimbang sekiranya ia terlihat memihak terhadap sesuatu kaum bererti ia akan kehilangan rating penonton daripada kaum yang lain. RTM masih meneruskan usahanya dalam isu perpaduan tetapi dengan gaya lama yang sangat didaktik sehingga program –program hubungan kaum  masih lagi berorentasikan gaya lama ala drama Empat Sekawan.

RTM sebagai media kerajaan kelihatan tidak berdaya mencari ruang yang lebih kreatif untuk melaksanakan tanggungjawab sosial bagi memulihkan jurang perkauman yang tercetus kesan daripada pilihanraya yang ke -12 dan impaknya, tiada kuasa yang mampu mengimbangi kesan perkauman ini daripada terus berleluasa ketika parti-parti politik pasca pilihanraya terus menjana isu perkauman bagi memastikan parti-parti yang berorentasikan kaum dapat  mengekalkan momentum sokongan hingga menjelangnya pilihanraya ke- 13 pada tahun 2012.

Jadi saya tidak hairan jika hingga pada hari ini usaha kerajaan untuk memulihkan semula jurang perkauman terlihat tidak mendapat sokongan saluran TV. Maka itu bukanlah suatu yang mustahil hingga hari ini masyarakat masih tertanya-tanya apa itu agenda Satu Malaysia yang sedang diusahakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saya merasa gusar apakah langkah pasif untuk tidak mempromosikan idelisme Satu Malaysia ini mempunyai kaitan dengan kebimbangan operator TV untuk tidak dianggap menyokong agenda Perdana Menteri ini seolah-olah menyokong kerajaan.

Apakah stesen TV bimbang dengan mempromosikan agenda ini mereka akan kehilangan penonton dari kalangan pengundi yang tidak menyokong kerajaan pada pilihanraya yang lalu. Saya juga tidak pasti apakah pihak TV faham bahawa matlamat Satu Malaysia tidak mempunyai kaitan dengan kepentingan dengan agenda politik partisan tetapi sebaliknya adalah satu agenda negara untuk mengukuhkan kembali saf masyarakat berbilang kaum dinegara ini yang sedikit terjejas pada pilihanraya yang lalu berikutan meningkatnya fenomena politik parti dan kaum dalam pola pengundianya.

Sekiranya stesen TV terus berdiam diri dan enggan membabitkan diri dengan agenda ini semata-mata bimbang dianggap memihak kepada kerajaan dan kehilangan penonton daripada kalangan penyokong pembangkang, ia satu tragedi yang amat memalukan di dalam sejarah mediamasa di negara ini.

Saya percaya sekiranya tiada tindakan drastik yang dilakukan oleh stesen TV tempatan dalam membantu mengukuhkan kembalikan hubungan kaum dinegara ini, maka akhirnya, Perdana Menteri terpaksalah bekerja bersendirian dari satu tempat ke satu tempat untuk menyampaikan matlamatnya, seolah-olah negara ini adalah sebuah negara yang tidak memiliki kuasa media penyiaran.

Nik Aziz: Peliharalah Lidah Laksana Ulama

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 10:02 am

Isu Kerajaan Perpaduan ternyata menjadi kemuncak dan sekaligus ujian yang cukup getir bagi Nik Aziz hingga akhirnya terpapar tindak tanduk yang sukar dipercayai, datang dari pelakuan seorang ulama.
Dalam kontek ini, saya menilai personaliti Nik Aziz dalam soal menterjemahkan kemarahan serta kebijaksaannya dalam mengendalikan lidah dan kata-kata ketika menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap isu dalaman parti.

“Boneka Umno!”

Adalah sesuatu yang tidak munasabah dan sangat keterlaluan apabila secara terbuka Nik Aziz mencela golongan dalam Pas yang menyokong idea Kerajaan Perpaduan sebagai boneka Umno.

Apakah Nik Aziz tidak sedar bahawa kata-katanya itu akan memberikan interpretasi, bahawa sebagai Musyidur Am Pas beliau secara terang-terangan melabelkan Hj Hadi dan Nasharudin Mat Isa serta sebilangan lagi pemimpin kanan Pas yang menyokong  idea ini, adalah golongan murahan yang kini diperkudakan oleh Umno sebagai boneka.

Saya hanya dapat berisytifar apabila mendengar komen ulama dan Menteri Besar Kelantan ini, yang nampaknya selepas berakhirnya muktamar Pas pada 6 Jun lalu, tidak lagi dapat membendung rasa marahnya terhadap idea Kerajaan Perpaduan yang secara tidak rasmi mendapat mandat perwakilan Pas untuk diserahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan tertinggi mengendalikan dialog tersebut sama ada dengan Umno mahupun BN.

Puluhan tahun Hj Hadi berjuang malah pada satu tahap, Presiden Pas ini pernah menyifatkan ahli Umno sebagai kafir, tetapi kematangan berpolitik mengajar Hj Hadi yang juga seorang ulama bahawa muhasabah dan perubahan masa harus mematangkan setiap pemimpin terutama isu yang berkait dengan keharmonian dan perpaduan negara.

Begitu zulmat hati Nik Aziz dan kata-katanya menjadikan lidah ulama tidak lebih daripada lidah orang jalanan yang sangat beremosi dan cetek fikiran dalam berpolitik.

Seperti dalam tulisan saya sebelum ini, saya menganggap tahap kematangan pemikiran Nik Aziz dalam politik tanah air hanyalah di peringkat negeri. Cara Nik Aziz mengendalikan isu-isu nasional jelas menampakkan pengetahuan dan persepsi beliau terhadap agenda kenegaraan amat sempit, sekaligus menjadikan imej Nik Aziz sebagai golongan yang jumud dalam menerima pembaharuan dan terlihat terlalu kolot untuk mengakui politik dan masa harus merubah sudut pandangan setiap pemimpin mengikut keperluan bagi memastikan kepimpinan mereka sentiasa relevan dengan tuntutan zaman.

Sejak bila Nik Aziz mempunyai pandangan yang begitu hina terhadap pemimpin dan ahli-ahli Pas sehingga beliau sanggup melabelkan golongan ini sebagai boneka. Tahukan Nik Aziz perkataan tersebut umpama meludah ke langit dan akhirnya jatuh ke mukanya sendiri?

Nik Aziz sepatutnya bersikap berani dan terbuka sebelum muktamar Pas yang lalu. Beliau pada ketika itu sudah mengetahui wujudnya kumpulan pro kerajaan perpaduan. Justeru, sekiranya Nik Aziz jujur dan ingin menentang idea itu beliau sepatutnya harus lantang dan berani menawarkan diri untuk bertandingan jawatan nombor satu bagi menyelamatkan Pas dari golongan yang disifatkannya sebagai boneka Umno.

Tidak mudah bagi orang seperti Hj Hadi untuk dicela hingga ke tahap boneka. Nik Aziz jangan lupa, ketika kepimpinan Hj Hadi, Pas berjaya menemui zaman kemuncaknya dalam sejarah politik tanah air berikutan mendadaknya sokongan rakyat pada parti itu pada pilihanraya yang lalu.

Majoriti besar yang diperolehi Pas di Kelantan adalah sebahagian daripada pengiktirafan rakyat terhadap Pas secara umum sekaligus memulihkan reputasi Pas yang hanya menang dengan majoriti tipis pada pilihanraya 2004.

Saya fikir adalah tidak munasabah Nik Aziz menganggap kedudukan beliau di Kelantan adalah milik peribadi, kerana walaupun empat penggal memerintah undi orang Kelantan bukan bererti undi peribadi kepada beliau, tetapi undi untuk parti Pas yang diterajui oleh Hj Hadi.

Hari ini lidah Nik Aziz tidak ubah seperti lidah orang jalanan; sekaligus menghilangkan rasa hormat di kalangan orang Islam dalam membezakan mana satu tutur kata orang berilmu, dan mana satu pula kata-kata orang yang jahil.

Pada saya Nik Aziz kini diracuni rasa dendam dan marah yang tidak dapat dikendalikan dan sebagai ulama Nik Aziz harus maklum pada tahap ini apakah jenis nafsu yang sedang mempengaruhi dirinya.

Saya tidak terkejut dengan pelbagai kata-kata yang pernah dilemparkan oleh Nik Aziz sebelum ini terutama terhadap Umno, malah ketika Nik Aziz terlanjur mengatakan “Allah juga samseng.” Pada saya, saya melihat perkataan-perkataan tersebut harus ditafsir dalam bentuk konotatif untuk mencari logik di sebalik hujah kontroversal itu.

Namun apabila Nik Aziz menghina kepimpinan Pas yang pro Kerajaan Perpaduan sebagai boneka Umno, saya mengganggap sudah sampai masanya golongan ulama di dalam Pas mengunjungi Nik Aziz dan membuka selembar dua kitab yang berkaitan adab berkata-kata terutama cara menzahirkan kritikan terhadap rakan seperjuangan.

Kenapa Hj Hadi harus dimalukan melalui kenyataan terbuka yang Nik Aziz sebagai orang lama, sudah tahu implikasi bahawa pandangannya itu akan disiarkan oleh media massa sekaligus berbaur cemuhan kepada Hj Hadi.

Sudah lama dalam satu parti, takkanlah Nik Aziz tidak tahu cara mencari ruang yang terbaik untuk melahirkan pandangannya kepada Hj Hadi melalui saluran silaturrahim yang tentunya lama terbina di dalam Pas.

Kalaulah begini caranya seorang ulama menangani isu politik maka jangan hairanlah kalau esok atau lusa caci maki dan kata nista akan menjadi permainan biasa di kalanga ahli Pas apabila berdepan dengan krisis atau konflik ketidaksefahaman politik.

Bagi saya Nik Aziz sungguh memalukan dan untuk pertama kali sebagai insan biasa, saya berdoa agar Allah melindungi lidah Nik Aziz dari terus berkata-kata seperti seorang yang jahil kerana perbuatan tersebut akan merosakkan identiti ulama di mata umat Islam dan bukan Islam.

Untuk Nik Aziz saya berpesan berhati-hatilah sebagai orang yang berilmu janganlah bertindak mengikut nafsu.

June 11, 2009

Guan Eng Dah Patut Faham

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 2:23 pm

Apabila muktamar Pas, 6 Jun lalu memutuskan kemenangan kepada golongan ulama serta secara terus terang mengenepikan sama sekali kemunculan golongan pembaharuan atau puak erogan yang ditaja oleh Parti Keadilan Rakyat dalam usaha menghapuskan unsur-unsur fundamental dan konservatif dalam parti yang sudah berusia 55 tahun itu, DAP kelihatan sangat cemas.

Lim Guan Eng kelihatan terpinga-pinga dan agak sukar untuk menjawab soalan wartawan dalam sidang media di Pulau Pinang berhubung kenyataan presiden Pas Haji Hadi yang secara terbuka dan berani ketika menyampaikan ucapan penangguhan, menyatakan Pas bersikap terbuka untuk berdialog dan menjalinkan hubungan dengan mana-mana parti lain kerana Islam menggalakkan usaha-usaha persefahaman yang membawa kepada kebaikan masyarakat.

Tumbangnya usaha-usaha ayam tambatan Anwar Ibrahim yang diharap mampu menewaskan Nasharuddin Mat Isa, penyandang jawatan Timbalan Presiden Pas, bererti tiada lagi orang dalam PKR dan DAP yang mampu melakukan perubahan, terutama menghadkan suara lama dari terus mendominasi parti yang selama ini berpegang kepada gagasan Islam sebagai asas perjuangan.

Guan Eng seperti kanak-kanak kecil – menangis dan merayu-rayu mahukan gula-gula dengan bertanya kepada Haji Hadi apa yang dimaksudkan dengan kerajaan perpaduan, serta mahukan pemimpin No. 1 Pas itu memberi penjelasan kepada Majlis Tertinggi PR dalam mesyuarat akan datang.

Sebagai ahli politik, Guan Eng sepatutnya sudah faham setelah hampir 2 tahun PR ditubuhkan, kepimpinan Pas tentulah sudah membuat post-mortem mengenai kedudukan parti itu dalam Pakatan Rakyat.

Sekiranya sebelum ini, Pas melihat Pakatan Rakyat sebagai platfom untuk menentang Barisan Nasional namun, setelah 2 tahun berada besama DAP dan Keadilan, Pas tentunya menilai kembali apa yang diperolehi dalam tempoh 2 tahun ini, dan seterusnya mampukah perjuangan parti Islam itu terus bergantung kepada Pakatan Rakyat menjelang pilihanraya ke-13 nanti.

Apa yang Guan Eng sudah tahu tetapi masih ingin bertanya, seolah-olah ingin menjerat Pas untuk menyuarakan isi hati sebenar, adalah satu lakonan yang sangat menyedihkan. Guan Eng antara mastermind DAP dan mungkin menjadi tycoon DAP untuk bergabung dengan Anwar Ibrahim dalam memperkukuhkan Pakatan Rakyat pada pilihanraya ke-13 dan tycoon seperti Guan Eng seharusnya sudah faham bahawa Pas tidak begitu selesa berada dalam PR, terutama posisinya dalam kerajaan campuran di Selangor dan Pulau Pinang.

Di Pulau Pinang, Pas terpaksa menjadi sebahagian dari Pakatan Rakyat bagi membolehkan DAP mengambil alih pentadbiran negeri yang secara tradisinya diperintah oleh parti kaum Cina namun, Pas sedar apa yang mereka terima sebagai ganjaran sokongan tidak memadai. Malah, apa yang diperolehi oleh Umno ketika menjadi parti sokongan kepada gerakan di Pulau Pinang jauh lebih baik terutama perkara yang menyentuh mengenai kebajikan orang Melayu dan pembangunan Islam.
PR menjadi semakin tawar hati kerana PKR, sebagai parti multi-racial lebih cenderung untuk menjadi penyokong kepada keputusan-keputusan Lim Guan Eng sebagai “langkah terpaksa” untuk menjaga hati penyokong parti Keadilan yang merangkumi masyarakat Cina dan India. Maka, dah tentulah Pas terasa tanggungjawab total untuk membela nasib orang Melayu dan umat Islam di Pulau Pinang.

Tentulah selama 2 tahun, Pas sudah menganalisa sejauh mana DAP memberi ruang kepada parti itu untuk memperjuangkan agenda Melayu dan Islam, malah tentulah PR bimbang sekiranya pengundi Melayu menilai kembali serta membandingkan apa yang mereka perolehi ketika gandingan BN antara Gerakan dan UMNO, serta gandingan PR antara PAS dan DAP.

Guan Eng patut tahu dasar yang dilaksanakan di Pulau Pinang akan mengekalkan momentum sokongan orang Cina kepada DAP, tetapi sudah pasti akan merubah momentum sokongan orang Melayu terhadap Pas.

Hari ini, orang Melayu belum lagi mendemonstrasikan perasaan mereka terhadap ketidakpuasan parti mengenai cara DAP mentadbir Pulau Pinang. Pengundi Melayu terpaksa makan hati dan menebalkan muka untuk mengaku tersilap memilih kerajaan kerana sekiranya mereka memberontak sekarang, pastinya pengundi-pengundi Pas dan PKR dari golongan Melayu akan ditertawakan kerana campuran pembangkang sekarang adalah pilihan mereka pada pilihanraya yang lalu.

Pada hemat saya, Guan Eng tidak perlu bertanya kepada Haji Hadi tetapi sebaliknya, melihat polisi pentadbiran kerajaannya di Pulau Pinang, terutama sumbangan pembangunan, ekonomi dan pendidikan kepada orang Melayu yang memberikan undi kepada DAP dan PKR atas semangat Pakatan Rakyat.’

Di kawasan pengundi majoriti Cina, DAP berjaya merampas kerusi Gerakan dan MCA kerana memperolehi undi minoriti Melayu yang menyokong calon DAP atas semangat Keadilan dan Pas adalah sekutu parti itu.

Namun, selepas 2 tahun dan menjelang pilihanraya akan datang, period pemerintahan DAP sudah tentu dinilai oleh pengundi Melayu dan akhirnya apa yang dimahukan oleh mereka adalah pembelaan.

Ketika Ir Nizar menjadi Menteri Besar di Perak, walaupun Pas hanya memiliki 6 kerusi dan memerima sokongan padu dari 18 kerusi DAP & 8 kerusi PKR untuk membentuk kerajaan, Ir Nizar mengorbankan reputasi PasS pada tahun pertama perkhidmatannya sebagai Menteri Besar Perak dengan meluluskan tanah petempatan baru masyarakat Cina dengan rezab 999 tahun.

Apakah yang dibayar oleh DAP di Pulau Pinang kepada orang Melayu ketika Pas begitu murah hati menjaga masyarakat Cina di Perak?

Ucapan Haji Hadi serta sentimen pro diskusi antara Haji Hadi dan Nasharuddin dengan kepimpinan Umno, atas alasan mencari ruang terbaik untuk menjamin hak-hak orang Melayu dan agama Islam terus terpelihara, adalah satu jawapan atau basis yang cukup jelas untuk DAP dan PKR,  bahawa selepas 2 tahun Pas berada dalam Pakatan Rakyat, mereka melihat adalah tidak wajar hanya kerana memastikan parti pembangkang berkuasa, kepentingan orang Melayu dan Islam perlu dikompromi hingga ke tahap yang tidak pernah dilakukan oleh Umno bersama Gerakan atau MCA ketika Barisan Nasional berkuasa.

Pas juga memberi isyarat kepada PKR dengan kemenangan Haji Hadi dan Nasharuddin, dua tokoh ulama yang mendapat sokongan besar pada muktamar kali ini, bahawa parti itu bukanlah berada pada tahap sanggup bergayut dan melutut di kaki DAP dan PKR semata-mata untuk berkuasa. Pas, parti yang berteraskan Islam dan menerima mandat yang bermula sejak 1982 hingga pada tahun ini untuk mengekalkan kepimpinan ulama sudah tentu menghormati pengiktirafan ahli-ahlinya yang memilih kepimpinan ulama sebagai teraju parti itu.

Jadi, Guan Eng tak perlu “betul bendul” hingga Guan Eng dalam sidang akhbarnya, kelihatan seperti langsung tidak faham dan bingung dengan arus politik dalam Pas yang diterjemahkan pada muktamar yang lalu.

Dalam apa pun keadaan, Pas bukanlah parti politik yang berteraskan mabuk kuasa. Pas ditubuhkan kerana kebangkitan golongan Islam yang mahukan dasar-dasar Islam menjadi sebahagian daripada wajah Malaysia. Maka itu, sekiranya Pas gagal dalam usaha itu, maka adalah tidak mustahil parti itu akan meninggal PR dan berdikari pada pilihanraya akan datang, sekalipun sekiranya mereka membuat pilihan untuk tidak menyertai BN.

Sekiranya Pas berdikari sekarang pun, mereka sudah boleh menjalankan kerjasama dengan Umno di Kedah dan Kelantan, dimana parti itu tidak bergantung langsung pada kerusi DAP dan PKR untuk membentuk kerajaan negeri. Saya percaya, wajah Guan Eng yang terpinga-pinga pada sidang akhbar itu adalah gambaran rasa takut, sekiranya gelombang kerajaan perpaduan yang ditegaskan oleh Haji Hadi dilaksanakan oleh parti itu secara bersendiri tanpa sekutu Pakatan Rakyat.

Akhirnya Pas akan berfikir, walaupun mereka bercanggah dalam banyak hal dengan UMNO terutama konflik intepretasi nasionalis dan Islam namun percanggahan itu masih boleh mempertemukan kedua-dua parti dalam banyak kebersamaan untuk menguatkan kedudukan Melayu Islam dalam polisi pembangunan negara.

Persamaan yang sedikit jauh lebih baik daripada duduk semeja dengan DAP dan PKR tetapi secara natijahnya, tidak banyak persoalan Islam dapat dilaksanakan terutama di Perak dan Selangor.

Di Selangor pun kerajaan campuran Pakatan Rakyat lebih mendokong aspirasi DAP dan PKR, dimana Pas hanya parti eceran yang hanya bersuara lantang melalui Pesuruhjaya Pas Selangor, Hasan Ali, sedangkan agenda pembangunan Selangor ternyata sentiasa menyembunyikan prospek Islam dan Melayu untuk tidak memperlihatkan kepada pengundi Cina dan India, bahawa Pakatan Rakyat mengutamakan orang Melayu sedangkan kerajaan pembangkang negeri itu dibentuk atas sokongan masyarakat Cina dan India.

Jadi, untuk Guan Eng, saya tidak perlu mengeluarkan sempoa untuk mencaturkan aturkira politik mengapa PAS kelihatan sedang bermain kayu tiga dengan mengwar-warkan kebangkitan kerajaan agenda campuran kerana jawapannya cukup mudah: Pas mula mengambil kira nasib orang Melayu dan Islam yang kelihatan langsung tidak terbela dalam kerajaan campuran Pakatan Rakyat, terutama di Pulau Pinang dan Selangor.

Pas masih berada dalam Pakatan Rakyat sekarang hanyalah berteraskan kepada semangat pilihanraya ke-12 tetapi gelombang pada muktamar yang lalu sudah menampakkan Pas rela beralih arah kepada Umno terutama dalam isu-isu yang mempunyai kepentingan dengan kedudukan orang Melayu dan Islam.

Ada yang tak kena dengan Nik Aziz

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 8:02 am

 

Nik Aziz mungkin seorang yang sentimental, terlalu melankolik dan mungkin juga seorang yang memiliki sifat dendam dalam tahap bawah sedarnya. Saya rujuk kompleksiti personaliti begini, adalah berdasarkan sikap taksub Nik Aziz yang secara terang-terangan,  sebelum dan Pas untuk mengadakan dialog dengan Umno mengenai penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Umno telah memberi reaksi yang agak sederhana, berhati-hati – tetapi secara jelas, kepimpinan tertinggi parti itu sudah menghantar mesej, Umno bersikap terbuka untuk mengadakan dialog berhubung idea yang dikemukakan oleh Presiden Pas, Hadi Awang, yang sebelum ini turut mendapat sokongan Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa.

Kerajaan Perpaduan bukanlah hantu yang perlu ditakuti; apatah lagi pada peringkat ini, ia hanyalah satu idea ke arah mencari jalan, bagaimana survival politik dapat dikawal daripada menjadi punca perpecahan di kalangan orang Melayu dan umat Islam di negara ini: golongan majoriti yang menjadi teras kepada pembinaan negara bangsa dalam sebuah negara berbilang kaum.

Ketika Timbalan Mursyidul Am Pas, Haron Din turut menyatakan langkah menyokong Haji Hadi sebagai ketua, ia adalah sesuatu yang perlu dihormati sesuai dengan ajaran Islam. Nik Aziz tetap berkeras dan seolah-olah menyindir Presidennya – untuk tidak menjadi diktator dalam isu ini.

Malah nada sinis itu juga seakan-akan memperlekeh dan berbau amaran kepada Hj Hadi, agar tidak melulu membangkitkan isu mengenai Kerajaan Perpaduan, selagi AJK Pas Pusat tidak bermesyuarat bagi memutuskan status isu ini.

Sebagai Mursyidul Am Pas dan Menteri Besar Kelantan yang sudah 4 penggal memerintah, Nik Aziz pada saya, hidup dalam dunia yang sempit dalam arena politik Kelantan, serta telah lali dengan budaya selesa berikutan penguasaan 4 penggal Pas di negeri Kelantan. Justeru, dimensi dan persepsi beliau dalam arena politik nasional amat sempit dan sering diterjemahkan oleh Nik Aziz dengan sikap dan pandangan yang naïf.

Apa relevannya mengungkit kisah Pas ditendang oleh UMNO dari BN puluhan tahun lalu? Isu perpecahan Pas dalam BN tidak wajar dijadikan alasan untuk beliau enggan bersemuka, berbincang dan berdiskusi dengan Umno.

Nik Aziz kenalah matang, cerah mata dan cerah jiwa. Paling tidak membuka ruang bagi Pas mengadakan dialog untuk melihat sejauh mana relevannya Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan oleh Haji Hadi. Butir-butir dialog kemudiannya dikaji, diteliti dan dilihat, apakah bermanfaat untuk dilaksanakan demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam.

Sekiranya Nik Aziz merestui kepimpinan terringgi Pas untuk mengadakan kerjasama dengan DAP dan PKR pada pilihanraya yang lalu, dan ternyata pula hasil daripada pakatan itu berjaya hingga membolehkan pembangkang menguasai 5 negeri serta memperolehi lebih sepertiga kerusi di parlimen, mengapa langkah berdialog dengan Umno dan BN dicurigai pada subuh-subuh buta?

DAP yang selama ini sangat menentang Pas dengan menakut-nakutkan rakyat mengenai hukum hudud dan qisas yang pernah dicadangkan oleh Nik Aziz, boleh pula diterima sebagai rakan pakatan tanpa sangsi dan curiga, walaupun bukan sedikit sejarah parti itu menyerang Pas sebelum ini.

Nik Aziz lupakah – bagaimana DAP berkempen dengan memberikan gambaran Islam adalah agama yang akan menjadikan ramai rakyat Malaysia kudung tangannya, disebat di tempat terbuka dan diadili dengan hukum Al-Quran hingga membuatkan rakyat bukan Islam menjadi panik dan memandang serong terhadap Islam.

Kemusykilan saya, mengapa Nik Aziz begitu berdendam dengan peristiwa penyingkiran Pas dari BN, tetapi pada masa yang sama boleh melupakan segala pertuduhan liar yang dibuat oleh pengerusi DAP, Karpal Singh, serta Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang – yang ternyata bukan saja menyerang Nik Aziz secara peribadi tetapi lebih dari itu, kedua-dua pemimpin DAP ini memberi gambaran hudud dan qisas yang dicadangkan oleh Nik Aziz sebagai sistem perundangan yang tidak bertamadun?

Tahukan Nik Aziz bahawa DAP adalah dalang yang selama 2 dekad menentang sistem perundangan Islam? Hingga kesannya membuatkan masyarakat bukan Islam menjadi trauma terhadap perkataan hudud dan qisas – sekaligus menjadi antara punca renggangnya hubungan antara umat Islam dan bukan Islam di negara ini?

Tidakkah Nik Aziz menjadi sentimental dan melankolik ketika mengingatkan serangan bertubi-tubi DAP terhadap beliau secara peribadi dan Pas amnya, ketika Pas melancarkan manifesto yang turut menguatkan agenda hukum hudud dalam pilihanraya 1990, dimana pada tahun itu PAS berjaya menakluk Kelantan.

Saya nasihatkan kepada Nik Aziz untuk tidak membiarkan hatinya terus dizulmatkan oleh perasaan benci, dendam, ego dan paling penting, menggunakan pengaruh ulamanya untuk menpengaruhi orang lain agar melihat negatif idea Kerajaan Perpaduan yang baru di peringkat cadangan.

Jangan terlalu ghairah mengungkit macam budak kecil, hingga rengekannya itu, menjadikan idea Haji Hadi sebagai sesuatu yang dibenci oleh ahil-ahli Pas, serta memungkinan wujudnya suasana pecah-belah bukan sahaja di kalangan umat Islam, tetapi juga rakyat amnya.

Fakta saya jelas, sekiranya Nik Aziz membangkitkan rasa curiga terhadap Kerajaan Perpaduan dengan melihat perkara itu tidak relevan untuk menyatu-padukan orang Melayu dan umat Islam, maka Nik Aziz secara tidak langsung menghantar isyarat kepada masyarakat bukan Melayu bahawa idea Kerajaan Perpaduan adalah bersifat racist, dimana ia khusus untuk kepentingan orang Melayu dan Islam sahaja.

Nik Aziz harus faham mengapa Haji Hadi tidak pernah menyebut idea Kerajaan Perpaduan.  Ini adalah khusus antara Pas dan Umno, tetapi sebaliknya, dalam setiap ucapan, Haji Hadi mengemukakan idea ini sebagai idea terbuka yang membabitkan semua parti politik di negara ini. Walaupun DAP dengan jelas menolak dan melahirkan rasa curiga dengan menganggap usaha Haji Hadi mengadakan pakatan sulit dengan Umno, tidak sekalipun Haji Hadi menyebut mengenai wujudnya unsur kepentingan racist (orang Melayu dalam gagasan kerajaan perpaduan ini).

Nik Aziz, bersabarlah… jangan tutup pintu sebelum menyambut salam tamu dan jangan sekali-kali enggan memberi salam ketika melintas di rumah jiran, semata-mata kerana dendam dan sakit hati akibat peristiwa lama.

Seorang ulama seperti Nik Aziz patut berjiwa besar dan tidak membawa perasaan peribadi yang tersinggung, untuk mempengaruhi parti agar sama-sama memusuhi orang lain dengan membangkitkan kisah-kisah lama yang tidak lagi wajar dianggap sebagai tragedi untuk parti. Kalaulah Nik Aziz merasa terluka dan pedih apabila mengingatkan sejarah Pas keluar dari Umno, jalan yang paling baik adalah merenung peristiwa tersebut sebagi satu hikmah dimana ia sebahagian daripada takdir Illahi, yang terkandung pengajaran untuk direnung dan diinsafi.

Belum pun 48 jam muktamar Pas ke-55 memberi mandat kepada Haji Hadi dan Nasharuddin untuk terus mewakili golongan ulama menerajui parti itu, Nik Aziz dengan kedudukannya yang berpengaruh secara terang-terangan menunjukkan rasa tidak hormat terhadap keputusan deligasi yang hadir di muktamar dengan menentang idea utama Haji Hadi yang menjadi isu utama pada muktamar PAS kali ini.

Mesej perwakilan Pas jelas, walaupun Haji Hadi menang tanpa bertanding tetapi kesediaan ahli untuk merestui usaha memulakan perbincangan bagi membentuk kerajaan perpaduan nyata terlihat apabila Nasharuddin dipilih sebagai Timbalan Presiden. Pemilihan Nasharuddin yang merupakan penyokong kuat Haji Hadi dalam idea penubuhan kerajaan campuran adalah bukti bahawa perwakilan Pas memberi “lampu hijau” kepada kepimpinan tertinggi untuk memulakan sesuatu dengan sifat yang terbuka serta mencari kejernihan bagi memastikan dalam apa jua keadaan politik, terdapat mekanisma yang menjadi platform untuk memastikan perpaduan orang Melayu dan umat Islam sentiasa terpelihara.

Kerajaan perpaduan, saya fikir, tidak bersifat racist. Walaupun setakat ini hanya Umno dan Haji Hadi kelihatan positif untuk mengadakan dialog bagi membincangkan mengenai perkara ini namun, penilaian DAP dan sikap prejudis PKR terhadap usaha Haji Hadi menyebabkan wujudnya persepsi di kalangan masyarakat bukan Melayu Islam, seolah-olah kerajaan perpaduan adalah pakatan sulit Umno-Pas untuk menguasai negara, melalui satu kerjasama yang akhirnya menjadikan DAP dan PKR sebagai parti yang tersingkir.

Nik Aziz tidak perlu berfikir seperti Lim Guan Eng atau Anwar Ibrahim, yang bimbang sekiranya Pas di Perak dan Selangor memilih untuk menyokong Barisan Nasional maka robohlah kerajaan merger yang diketuai oleh pembangkang berdasarkan majoriti kerusi yang diperolehi hasil tiga parti. Nik Aziz boleh tidur sebantal dengan Guan Eng, tetapi saya berharap bukan berkongsi mimpi yang sama kerana idea kerajaan perpaduan bukanlah berfahaman perkauman tetapi secara meluas, Haji Hadi ingin merapatkan jurang antara kerajaan dan pembangkang.

Bagi Haji Hadi, sekiranya jurang politik ini dapat diatasi maka, hubungan rakyat yang kini terjejas berdasarkan parti dan kaum boleh diperbaiki dan paling tidak, usaha ini perlu untuk memastikan politik bukan penyebab kepada wujudnya gagasan parti dan kaum dalam arena politik negara.

Isu kerajaan perpaduan kononnya adalah pakatan sulit Umno dan Pas sebenarnya dilabel oleh golongan yang tidak senang terhadap Haji Hadi yang dilihat boleh melemahkan kedudukan pembangkang dalam usaha menguasai pilihanraya ke-13. Maka itu, wujudlah pandangan-pandangan dari pemimpin-pemimpin DAP dan PKR, bahawa idea kerajaan perpaduan adalah idea perkauman yang bersifat untuk mengukuhkan kedudukan orang Melayu melalui gabungan Pas dan Umno.

Dan salah seorang yang merosakkannya ialah Nik Aziz sendiri.

June 1, 2009

Apa Itu Program Perisian Islam? (Islamic Content)

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 3:48 pm

Terdahulu, saya mengucapkan terima kasih kepada Senator Major Datuk Jamil Khir Baharom, yang membangkitkan mengenai perisian program Islam dengan menggunakan perspektif ‘halal’ untuk ditonton, dan memberi cabaran kepada pemikir perisian TV untuk menanda aras satu standad dan justifikasi terhadap program Islam terutama dalam konteks menangani gejala program hiburan yang mendominasi perisian TV hari ini.

 

Pertama, harus dikenal pasti TV, radio, perisian mobile dan Web TV adalah antara infrastruktur baru yang bakal mengambil alih keseluruhan produk komunikasi dari bentuk konvensional kepada struktur yang paling moden dan canggih.

 

TV dan Radio maksud saya disini akan beralih bukan sahaja dari era analog ke digital tetapi pelaburan kerajaan untuk membangunkan infrastruktur broadband, akan membolehkan kesemua bentuk perisian audio visual ini sampai kepada masyarakat melalui pelbagai skala dan medium.

 

Hingga hari ini, kita masih tertanya-tanya apa itu Perisian Islam? Dan bagaimana sekiranya kita ingin melaburkan wang untuk memiliki kesemua platform ini (TV, Radio, Mobile, Web) dalam satu katalis dimana Islam dilihat sebagai perisian yang berdaya saing dan boleh menguasai persaingan industri terutama dalam demand 4R. Iaitu, rating (tontonan), revenue (pendapatan), reputation (reputasi) dan recovery (pemulihan modal).

 

Apakah sekiranya kita melaburkan RM250 juta hari ini, sebuah stesyen TV Islam boleh berdikari tanpa bergantung kepada subsidi kerajaan untuk survival tetapi sebaliknya boleh diandalkan sebagai produk yang mampu meraih jumlah tontonan yang tinggi, pendapatan iklan yang baik, mempunyai reputasi dan imej dikalangan komuniti industri dan mampu memulangkan keuntungan kepada pelabur dalam jangka masa yang ditetapkan oleh pelan perniagaan.

 

Ini cabaran kita – dimana sekiranya produk perisian Islam mampu berdiri sebagai sebuah stesyen TV dan pada masa yang sama memenuhi tuntutan pasaran malah menjana pendapatan yang baik, maka dari segi perniagaan, perisian ini dianggap berjaya.

 

Tentulah lebih hebat apabila stesyen dan perisian Islam tadi menjadi satu rujukan dalam katalis antarabangsa sebagai produk yang mempunyai reputasi yang baik dan kedua, mampu mendapatkan sokongan pelaburan kerana ia memenuhi perspektif komersial.

 

Masalah besar kita ialah, kita menyeret pelbagai pandangan yang jumud dan taksub dalam pengistilahan Islam hingga menjadikan perisian TV yang terkini dan paling canggih, akhirnya terlihat lapuk dan ketinggalan zaman dalam konteks ‘look & feel’ perisiannya. Malah jenama saluran itu turut terlihat sebagai perisian halal dan haram sahaja.

 

Harus diingat, membawa Islam ke medium ini memerlukan pemikiran kreatif dan terbuka, bagaimana kita boleh memasarkan produk yang dipenuhi dengan nilai-nilai Islam secara refleksif dan fleksibel tanpa dikongkong oleh batas-batas peraturan yang akan menghadkan daya kreatif serta kuasa promosi perisian Islam dalam pasaran industri.

 

Sudah tentu sebuah saluran TV Islam tidak hanya dipenuhi dengan talkshow mengenai halal dan haram, dosa dan pahala, yang terpuji dan yang tercela atau dikuasai oleh program-program yang muluk-muluk isinya semata-mata untuk mempromosikan nilai-nilai Islam tetapi dilihat tidak realistik dengan permintaan pasaran.

 

Perisian Islam harus dilihat sebagai perisian untuk tontonan umum. Melangkaui batasan agama, kaum, geopolitk, geografi dan geosains, kerana Islam itu sendiri ada nilai-nilai perisian yang mampu diadaptasi dan diaplikasi kepada semua umat manusia sesuai dengan nilai-nilai Al-Quran dan falsafah Rasullulah yang menjadikan Islam sebagai ad-din (jalan hidup).

 

Pada hemat saya, pembikin perisian Islam, harus melangkau jauh untuk melihat bukan sahaja kuasa perniagaan dan pasaran tetapi juga potensi pemikiran Islam dalam mendidik masyarakat sejagat terutama tindak balas perisian itu dengan perkembangan semasa yang berada di sekitar demand penonton.

 

Di dunia Melayu sendiri, orang masih lagi heboh dengan persuratan Melayu tanpa melihat bahawa persuratan Islam sudah wujud dan berkembang pesat dalam bentuk teks sejak 800 tahun yang lampau.

Di Malaysia sendiri, kita gagal membezakan apa itu perisian Melayu dan apa itu perisian Islam dan sudah tentu ketidakpastian ini menjadi masalah utama, kenapa program-program perisian Islam tidak mendapat sambutan dan hanya berlegar disekitar program-program talkshow sahaja.

 

Khazanah Islam di nusantara sekiranya dibangunkan di dalam teknologi moden, mampu merubah beberapa bahagian sejarah dalam dunia Melayu sekaligus membuktikan, karya-karya yang terhasil oleh begitu banyak ulama besar di nusantara mempunyai asas yang kukuh untuk berada setanding dengan karya-karya ilmuan tersohor Islam pada abad yang ke 8 di empayar Andalus dan Ottoman yang dipinjam dan dikembangkan oleh dunia barat sebagai asas kepada revolusi industri pada abad ke 17.

 

Hingga kini, tidak hairanlah sekiranya ilmuan besar dari dunia Melayu masih merujuk kepada ratusan kitab dan hasil penulisan agung ilmuan Islam pada era Andalus dan Ottoman hingga terlupa begitu banyak karya yang setanding dengan Ibnu Sina, Ibnu Hayyam, Ibnu Khaldun, Ibnu Batutta, Al-Khurezmi, Al-Gebra dan senarai panjang lagi nama-nama besar, tokoh pemikir perubatan, falsafah, perundangan, kimia, matematik, fizik dan astronomi.

 

Sebuah stesyen TV yang perisiannya mampu berganding dengan perisian mobile, radio dan web, haruslah tidak disempitkan oleh tafsiran yang rigid tentang Islam hingga produk yang dihasilkan terikat kedua-dua tangannya untuk lari atau datang dengan wajah baru selaras dengan tuntutan zaman dan persaingan perisian-perisian lain yang akan turut mewarnai infrastruktur dan medium kontemporari.

 

Halal dalam tafsiran Jamil Khir adalah produk yang tidak saja dipenuhi dengan hiburan-hiburan yang melalaikan tetapi harus mempunyai kuasa dorongan pada masyarakat dan penonton malah mampu berada dalam persaingan antrarabangsa sekiranya program-program Islam mampu menjadi teladan dan menyediakan jawapan bagi pelbagai komplikasi sosial, politik dan ekonomi yang sentiasa berkembang dengan pantas dan cepat.

 

Perisian Islam bukan lagi program skeptism atau program realiti yang hanya sekadar memenuhi mimpi penontonnya. Tetapi untuk menjadikannya satu jenama yang mempunyai tagline pilihan terbaik, aspek kreativiti dan kebebasan kepada pembikin perisian untuk keluar dari kongkongan nilai lama dan memberikan aspirasi baru terhadap program-program Islam, haruslah wujud sebagai sebahagian daripada domain untuk menjadikan perisian Islam bukan sahaja produk untuk masyarakat Islam tapi mampu mengisi ruang lompong program-program ICT yang pada masa ini hanya terarah kepada rating dan revenue sahaja.

 

Saya percaya, Malaysia mampu meletakkan dirinya dalam spot dunia sebagai hub produk perisian Islam sekiranya usaha untuk memberi ruang kepada tenaga kreatif menghasilkan pemikiran produk Islam tanpa dikongkong, disekat atau dirigidkan garis panduannya dengan nilai-nilai lama yang bermain dengan perisian yang selamat dan mudah.

 

Perisian Islam harus memasuki era permainan digital yang kritikal dan sekiranya kita ingin menjadi pembekal kepada demand antarabangsa, produk Islam haruslah turut berjaya menjadi module, penyelesaian kepada permasalahan sejagat melalui unsur-unsur Islam yang boleh menjawab bagaimana manusia harus mendepani cabaran-cabaran sedia ada tanpa perlu mengabaikan nilai-nilai yang mulia dan murni dalam hidup.

 

Sebuah program Islam yang moden adalah perisian yang mengislahkan tuntutan Al-Quran dan Sunnah dengan secara bijak diadunkan dalam dunia audio visual ICT yang sangat kompleks.

 

Dari sini, program kanak-kanak, program wanita, program tontonan remaja, program hiburan, drama bersiri, telefilem, muzik dan siri realiti yang kini memenuhi genre TV, perisian Islam haruslah menggunakan elemen-elemen yang sedia ada dengan secara kreatif menerapkan nilai-nilai dari Al-Quran dan Sunnah sebagai pandu-pakai dan kemudian diaplikasikan dengan tagline Pilihan Terbaik Setiap Masa.

 

Ini termasuk program berita, ehwal semasa dan majalah TV, yang turut menjadi sebahagian dari perisian utama TV dimana siarannya tidaklah harus sekitar memperkatakan mengenai hal-ehwal Islam tetapi sebaliknya bagaimana Islam menyediakan jawapan bagi krisis semasa dan dapat diterima oleh penonton sejagat sebagai sebahagian daripada sudut pandangan dalam menyelesaikan atau membantu mereka memahami cara penyelesaian krisis semasa.

 

Ini demi memastikan, produk-produk ini tidak semata-mata berbinkan Islam tetapi mempunyai kualiti untuk diguna-pakai sebagai jawaban yang relevan untuk enam billion manusia sebagai sasaran tontonan dan perisiannya.

 

Sudah tentu, sekiranya sebuah stesyen TV Islam wujud orang akan bertanya : dimana Islamnya? Apakah pada wajah pengacara yang bertudung dan berkopiah? Apakah pada siaran azan dan siri ceramah? Apakah kepada kapsul-kapsul pendek sedutan ayat-ayat Al-Quran dan terjemahannya dan sebagainya?

 

Pada perspektif saya bukan persoalan dimana Islamnya yang penting tetapi jenama ini harus bertitik tolak kepada – kemana Islam itu sebenarnya. Sudah tentu perisiannya tidak lagi boleh dikongkong oleh nilai-nilai lama dan untuk membolehkan produk Islam bersaing bukan sahaja untuk menguasai lingkungan penonton perisian Islam tetapi sebaliknya turut mampu berdiri menyayingi produk-produk sekular yang sedia ada.

 

Justeru, perisian Islam yang halal mengikut tafsiran saya adalah yang mempunyai matlamat untuk menyediakan kaedah Islam sebagai ad-din dalam setiap programnya dan berpandukan kepada falsafah saluran tersebut, kemana itu Islam sebenarnya. Dalam konteks ini, sudah tentulah saya akan memilih kreativiti yang boleh membentuk satu produk yang taglinenya Islam Untuk Semua.

 

ZRA.

Theme: Rubric. Blog at WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.