Suleiman Akhlaken

May 30, 2009

Chin Peng Hanya Umpan Bakar Sentimen Perkauman.

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 5:47 am

Rundingan Haadyai pada tahun 1989 bukan bererti sejarah kekejaman dan angkara yang dilakukan Parti Komunis Malaya (PKM) lesap dalam ingatan rakyat Malaysia.

 

Kekejaman PKM terutama pada era darurat tidak akan dilupakan. Komunis bukan sahaja ditentang oleh polis atau tentera, tetapi turut dibangkang secara terbuka diperingkat Komonwel. Ditengah-tengah ancaman komunis, Tunku Abdul Rahman turut berusaha untuk mencapai kemerdekaan walaupun terpaksa membawa luka dari kejadian peristiwa Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

 

Dalam kekaburan imejnya sebelum itu, dimana kewujudan komunis adalah lanjutan dari perjuangan masyarakat Cina tempatan dalam melindungi diri mereka dari kezaliman tentera Jepun, yang menyimpan dendam, kerana sebelum itu Tokyo turut melancarkan perang terhadap Beijing.

 

Apapun, dimana titik mula sejarah PKM, tidak akan merubah sejarah kezaliman komunis terhadap pihak berkuasa dan rakyat tempatan di negara ini.

 

Secara dasarnya, isu komunis boleh dibincangkan secara terbuka untuk kita menganalisis satu segmen sejarah yang paling penting dan tragik mengenai kewujudan satu pakatan militan yang bermula dengan matlamat mempertahankan diri – dan akhirnya tumbuh menjadi gerakan militan yang penuh dengan pemberontakan dan keganasan.

 

Bukit Kepong misalnya mengorbankan 41 orang nyawa dimana 25 anggota dari balai polis Bukit Kepong, 15 anggota dari balai berdekatan dan 3 anggota polis bantuan. Selain dibunuh, balai polis ini dibakar.

 

Kejahatan komunis tidak pernah terhenti. Pada era perang dingin, PKM mendapat bantuan persenjataan yang mewah dan canggih kerana sokongan dari Parti Komunis China yang berpusat di Beijing.

 

Justeru, tidak hairanlah, walaupun darurat diisytiharkan tamat pada tahun 1960, ancaman komunis tetap menggila terutama di kawasan pedalaman.

 

Selain dari membunuh ribuan penduduk awam yang menentang mereka, dan juga membunuh pihak polis yang menganggap komunis sebagai gerakan subversif, akhirnya PKM mencaai zaman kemuncaknya apabila berjaya membunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada 7 Jun 1974 dan setahun kemudian pada 13 December 1975, Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong pula ditembak matik di Perak – negeri yang menjadi kubu kuat PKM.

 

Berdebat tentang isu komunis ini adakalanya sengaja dibangkitkan oleh golongan tertentu yang menggunakan isu komunis sebagai pembuka bicara bagi menyeret negara ini ke kancah debat yang berbau isu perkauman.

 

Walaupun komunis turut dianggotai oleh orang Melayu melalui pembentukan Regimen 10 Zulhijah PKM yang membabitkan nama seperti Rashid Maidin, Ahmad Boestaman, Abdullah Sidi, Shamsiah Fakir, Wahid Anuar dan beberapa lagi nama aktivis politik Melayu pada masa itu tetapi secara keseluruhannya, sentimen yang paling dibimbangi ialah perspektif majorit komunis adalah masyarakat Cina tempatan.

 

PKM mendapat sokongan dan bantuan penuh dari gerakan ideologi komunis di China manakalan pertempuran Tanah Melayu ketika itu membabitkan anggota tentera dari kalangan orang melayu yang menganggap menentang komunis bukan sahaja mempertahankan tanah air tetapi satu perang jihad terhadap ideologi yang menolak sebarang pegangan agama.

 

Apabila isu membawa balik Chin Peng ini dibangkitkan, saya nampak niat golongan tertentu untuk sekali lagi bermain dengan api perkauman dan sekaligus mengheret perpecahan berterusan diantara masyarakat Melayu dan Cina khasnya, terutama pakatan pembangkang yang berjaya meretakkan hubungan kaum itu pada Pilihanraya ke 12 yang lalu.

 

Chin Peng adalah symbol bagi segala kepedihan, penderitaan dan kemeranaan anggota keluarga, ibubapa, isteri, anak-anak, sahabat handai dan rakan taulan bagi mereka yang pernah kehilangan anggota tentera yang maut ketika melaksanakan tugas menentang komunis.

 

Chin Peng adalah wajah yang penuh dengan darah dan ditangannya tergenggam senarai ribuan nyawa yang pernah dibunuh oleh komunis yang dipimpinnya dan majoriti nyawa yang terkorban itu tentulah anggota pasukan keselamatan dan golongan Melayu.

 

DAP sedar, ini umpan mudah untuk mencetuskan kontroversi dan ketegangan kaum sebagai tindak balas atau perang saraf Pakatan Rakyat, untuk menjejaskan usaha pembinaan Satu Malaysia  yang kini giat diusahakan oleh Perdana Menteri, setelah melihat wujudnya satu jurang perkauman antara 3 bangsa utama di negara ini.

 

Bagi saya, harga yang harus dibayar dalam memperdebatkan isu Chin Peng ini, kalau tersalah tingkah amatlah mahal – namun bagi DAP, korban perkauman mungkin diperlukan untuk melaksanakan misi politik mereka.

 

Apatah lagi sikap melatah pemimpin Melayu dan mediamasa yang memberi liputan meluas terhadap isu ini tanpa menyedari Chin Peng hanyalah umpan DAP untuk membakar sentimen perkauman.

 

PKM dipergunakan oleh DAP terutama isu membawa balik Chin Peng sebagai sentimen untuk membuatkan orang Cina merasa ada diantara warga mereka ditolak dan dinafikan haknya untuk kembali ke tanah air bagi menghabiskan sisa hidup sebagai komunis.

 

Saya sarankan kepada pemimpin Melayu dalam kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan Melayu agar tidak melayan isu kepulangan Chin Peng ini secara keterlaluan kerana ia sebenarnya satu jerangkap samar yang dipasang bagi membunuh usaha-usaha yang sedang dipupuk oleh PM untuk membentuk Satu Malaysia.

 

Pembangkang mulai faham atau paling tidak sudah melihat tanda Satu Malaysia akan menjadi produk yang baik dan berkualiti dan seterusnya membawa hala tuju Pilihanraya ke 13, cenderung kepada sokongan rakyat terhadap pembentukan sebuah kerajaan demokratik, sederhana dan saling memahami apa itu Malaysia.

 

Di sini, DAP terpaksa menjadi ‘batu api’ – untuk kepentingan Pakatan Rakyat sesuai dengan latar belakangnya yang sering saja menggunakan isu kedudukan bangsa Cina VS Ketuanan Melayu sebagai tema asas untuk meraih undi.

 

Siapa Chin Peng hingga perlu diperdebatkan dimuka depan akhbar-akhbar arus perdana? Sama seperti Rashid Maidin dan rakan-rakan Regimen 10 PKM yang lain, kerajaan sudah menetapkan, meskipun berdamai pada tahun 1989, namun tiada jalan pulang untuk mereka kembali memijak bumi Malaysia.

 

Prosedur ini diguna pakai bukan sahaja dalam kes Chin Peng tetapi turut membabitkan perintah buang negara yang turut dikenakan terhadap Rashid Maidin dan semua anggota Regimen 10 PKM. Kebanyakan bekas komunis menghabiskan usia mereka di Perkampungan Betong yang menjadi sebahagian daripada persefahaman dan perjanjian 1989.

 

DAP tidak perlu bermain api kerana akhirnya perjudian parti itu untuk sekadar mendapatkan sokongan murahan dari masyarakat Cina boleh terbakar dan menghanguskan sebuah negara. Ini kerana, perkataan Chin Peng dan komunis serta pasukan bersenjata dan orang Melayu akan menjadi tema yang tidak boleh dikawal, malah dalam DAP sendiri dari dulu hingga sekarang, parti itu menanamkan sifat prejudis terhadap kepimpinan orang Melayu.

 

Saya telah melihat begitu banyak perang saudara yang membabitkan sensitiviti kaum dan agama berlaku diseluruh dunia.

 

Dua puluh tahun lalu, satu juta nyawa penduduk Rwanda lenyap begitu sahaja. Mereka dipancung, ditikam, dikelar, ditembak dan dibakar hidup-hidup dalam rusuhan kaum Hitu dan Tutsi.

 

Di Lubnan, belasan ribu nyawa terkorban apabila isu agama dijadikan sentimen. Dan paling dekat, eloklah pemimpin-pemimpin DAP generasi baru, yang barangkali masih buta sejarah, agar dapat membuka mata untuk melihat dan mempelajari sesuatu dari tragedi 13 Mei 1969 serta tragedi Tanjung Periuk di Indonesia sedekad yang lalu.

 

Percayalah, jangan kerana seorang yang bernama Chin Peng, DAP cuba bermain api dan meletakkan masa depan negara ini dalam keadaan sukar diramal.

 

Akibat kesalahan masa lalu, eloklah Chin Peng tidak pulang dan kekal di Beijing kerana kesan dari kepulangannya akan menyebabkan timbulnya rasa kurang enak di kalangan orang Melayu yang pernah merasa betapa pedihnya kehilangan ahli keluarga yang dibunuh oleh komunis.

 

Tragedi Gubir umpamanya, masih berbekam dihati rakyat Malaysia apabila kemaluan sembilan anggota tentera dipotong selepas di bunuh oleh pengganas komunis.

 

Hari ini, ribuan isteri dan anak-anak polis dan tentera hidup dengan melalui masa sukar akibat kehilangan kasih sayang seorang suami dan ayah.

 

Saya masih ingat seorang teman baik saya yang menjadi gila setelah terbabit dengan tujuh pertempuran dalam tempoh lima tahun perkhidmatannya dalam unit komando yang betugas di garisan perbatasan di sekitar Grik, Perak hinggalah ke kawasan perhutanan Nami, Gubir dan Pedu.

 

Sahabat saya ini menjadi tidak siuman selepas terpaksa mengusung jenazah rakan seperjuangannya selama seminggu untuk dibawa keluar dari hutan setelah ditembak komunis hingga separuh tengkorak kepalanya hancur ditempat kejadian.

 

Peristiwa itu menyebabkan sahabat saya mengalami gangguan mental kerana sedih dan amat bedendam terhadap komunis tiap kali mengingati detik demi detik, saat demi saat – hinggalah satu minggu berlalu, mayat yang mula mereput berjaya dibawa keluar dari hutan melalu helikopter Nuri.

 

Setahun selepas kejadian itu, dia dimasukkan ke hospital jiwa dan akhirnya ditamatkan perkhidmatannya atas masalah gangguan mental.

 

Ini hanya satu dari puluhan ribu kisah yang dikongsi bersama oleh berjuta keluarga yang pernah kehilangan suami, anak, bapa atau abang, yang terbunuh ketika berjuang menentang komunis.

 

Bagi saya, Chin Peng berhak untuk terus kekal di China dan tidak kembali ke tanah air kerana dosa yang dilakukannya bukan kecil. Lebih membimbangkan, sekiranya sampai sahaja di KLIA, tangannya akan digari dan dibawa ke muka pengadilan atas pelbagai tuduhan jenayah perang dan seterusnya menjadikan keadaan lebih rumit.

 

Inilah matlamat DAP, setelah gagal di Perak, mereka akan menggunakan alasan sistem perundangan sedia ada sebagai sentimen perkauman yang ada kaitannya dengan ketuanan Melayu dan Raja-raja Melayu.

 

DAP tahu betapa tebalnya rasa berbekam yang terkumpul dihati orang Melayu,  jadi untuk menimbulkan rasa tidak selamat dikalangan masyarakat Cina , inilah strategi mereka berkempen.

 

Bagi DAP, Chin Peng dan PKM hanyalah umpan. Apa yang mereka cari sebenarnya hanyalah untuk mendapat sokongan solid dari masyarakat Cina dengan memainkan isu-isu bersifat perkauman.

 

Dalam kes ini, Chin Peng yang pernah mengetuai MPAJA (Malaya People Anti Japanese Army) dan pernah berjuang melindungi masyarakat Cina dari disembelih dan dibunuh hidup-hidup oleh Jepun, akan diwirakan oleh DAP bagi meraih sokongan masyarakat Cina untuk mendesak kerajaan membenarkan Chin Peng pulang sedangkan mereka tahu disatu tangan yang lain orang Melayu tidak akan melupakan PKM di bawah kepimpinan Chin Peng, seorang pengkhianat yang sudah membunuh bukan satu, dua atau seratus tetapi beribu-ribu nyawa.

 

Chin Peng bukanlah isunya. Isunya DAP mesti mencari jalan untuk menusnahkan kewujudan Satu Malaysia, kerana konsep yang diaspirasikan oleh PM itu mampu melenyapkan isu perkauman yang selama ini digunakan oleh pembangkang untuk menakut-nakutkan rakyat serta menimbulkan rasa prejudis antara kaum.

 

Sejarah kalau sudah penuh dengan darah, tak perlulah digelodak dan dipunggal-punggal hanya sekadar untuk menjadikan rakyat resah gelisah.

 

Kepada DAP, belajarlah melihat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang penduduknya berbilang kaum tetapi mempunyai kekuatan untuk bersatu dan sudahpun membuktikan kekuatan itu telah wujud dan kekal selama lebih setengah abad.

 

Apa yang ingin kita perkukuhkan ialah nilai tambah yang lebih terbuka dan jujur dalam hubungan rakyat pelbagai kaum supaya kita memiliki perkongsian masa depan yang mampu kita laksanakan atas kekuatan Satu Malaysia.

1 Comment »

  1. Salam…Ingatan kita terhadap kekejaman Chin Peng sekitar darurat dahulu masih segar dan terus terpatri dalam kotak bekas pegawai keselamatan yang berjuang menentang PKM. kini hampir 61 tahun tragedi itu berlalu.Saya sekadar melihat isu Chin Peng sekadar retorik bagi oposisi dan pemerintah bagi mencapai agenda masing-masing. di tangan oposisi, Chin Peng wajar diangkat sebagai pejuang.Setaraf dengan pejuang kemerdekaan yang lain. walaupun ideologinya kiri,Chin Peng tetap pejuang.Itu kata Oposisi. di pihak
    Pemerintah,Isu Chin Peng adalah peluang bagi mereka untuk kembali mengukuhkan cengkaman ke atas kuasa politik yang semakin terhakis akhir-akhir ini.Isu Chin Peng diperbesar-besarkan di media.Menuntut agar Melayu bersatu di bawah payung pemerintah.Kononnya menolak kekejaman dan ingatan hitam yang dilakukan oleh Chin Peng.

    1 Malaysia konsep yang dijanakan oleh kerajaan sewajarnya dijadikan petunjuk dalam mengadili kes Chin Peng.Bagaimana kita melihat Chin Peng daripada kemanusiaan.Chin Peng hanya ingin kembali menghabiskan hayatnya di tanah tumpah darahnya.Setelah 61 tahun terbuang.Kita punya undang-undang.Kita sanjung undang-undang.Chin Peng baru kemukan rayuan untuk kembali.Kenapa harus kecoh sekampung?

    Bagaimana kita menilai dosa Chin Peng?Allahyarham Rashid Maidin,Shamsiah Fakeh dan Abdullah CD,antara nama-nama besar dalam PKM sudah lama diberi pengampunan.Shamsiah Fakeh menghembuskan nafasnya di tanahairnya.Rashid Maidin sempat menunaikan haji atas ehsan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Tun Mahathir.Abdullah CD sempat makan malam dengan Sultan Azlan Shah di istana Bukit Chandan.Semua ini menunjukkan bahawa kita telah lama memaafkan kezaliman PKM.Tapi bagaimana halnya dengan Chin Peng?Adakah kerana ketiga-tiga mereka MELAYU dan ISLAM,maka mereka mendapat pengampunan.Chin Peng seorang Cina Setiawan dan pernah berlaku kejam ke atas masyarakat Tanah Melayu dahulu disisih dan dianaktiri.

    Soalnya Mengapa pihak Pemerintah tidak boleh memberi layanan sepertimana Rashid,Abdullah dan Shamsiah terima terhadap Ong Boon Hwa @Chin Peng?Kenapa perlu Double Standard?

    Saya tidak menyokong Chin Peng.Arwah Datuk Saya dahulu merupakan SC atau Special Cop.Terlibat sama menentang PKM.Beliau sering bercerita tentang kezaliman Komunis.Luka dan pedihnya amat terasa hingga kini.Cuma rasa terpanggil untuk menulis tentang Chin Peng.

    Satu sahaja yang ingin saya sebut di mana keadilan?Kalau Islam megatakan bahawa adil adalah meletakkan sesuatu kepada tempat sepatutnya..kita harus berfikir bagaimana dengan Chin Peng?Adakah kita sudah meletakkan keadilan itu dalam kes Chin Peng?

    Tepuk Dada tanya akal…

    Comment by Aman the researcher FM — June 3, 2009 @ 4:59 am | Reply


RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Theme: Rubric. Blog at WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.