Suleiman Akhlaken

May 30, 2009

Calon Pas dilarang Guna Harakah

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 7:31 pm

Banyak perkara yang menimbulkan persoalan menjelang muktamar Pas Jun ini. Selain krisis pertembungan golongan pro ulama dan puak ‘erdogan’ yang pro Anwar pemilihan kali ini turut menimbulkan isu hadiah, rasuah dan lebih penting lagi secara terbuka ahli-ahli Pas saling menunding jari berperang sesama sendiri.

 

Kesan daripada pendedahan isu hadiah yang boleh ditafsirkan sebagai rasuah, Ketua Dewan Ulama Pas, Daud Iraqi, barangkali terpaksa meletakkan jawatannya kerana tekanan yang dihadapi atas keberaniannya mendedahkan perkara yang mungkar dalam Pas.

 

Daud Iraqi menjadi korban pertama muktamar tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Mustapha Ali, hari ini mengumumkan tidak ada calon yang dibenarkan berkempen melalui akhbar Harakah.

 

Sungguh aneh apabila akhbar Harakah yang menjadi suara rasmi Pas kini mahu mematikan suara calon-calon yang berhasrat untuk bertanding merebut jawatan dalam parti itu. Alasan Mustapha Ali agak mengejutkan: kalau semua berkempen menggunakan Harakah, tak ada ruang untuk laporan lain.

 

Apapun, taktik ini sudah dapat dibaca. Menutup ruang akhbar Harakah daripada menjadi wadah kempen calon-calon yang bertanding sebenarnya hanyalah satu taktik untuk membunuh golongan pro Anwar daripada mendapat publisiti.

 

Ini jelas terlihat dalam Harakah edisi 29-31 Mei yang mengeluarkan sisipan Perkasakan Kepimpinan Ulama dan menyiarkan artikel-artikel yang mahu mengingatkan perwakilan Pas mengenai pengorbanan golongan ulama yang tidak wajar dilupakan.

 

Laman F2, F3 dan F4 jelas sekali dipenuhi dengan artikel-artikel besar membabitkan kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ghani Samsuddin, wawancara dengan Ahmad Subky Latiff dan rencana Idris Ahmad yang kesemuanya pro ulama dan secara tidak langsung akan memberi merit dalam konteks publisiti kepada calon-calon yang bertanding atas tiket ulama.

 

Gelaplah jalan bagi Husam Musa dan Muhamad Sabu yang bertanding jawatan nombor dua dalam parti itu kerana Harakah nyata memberi sokongan penuh kepada golongan ulama dan arahan yang dikeluarkan oleh Mustapha Ali bererti Husam dan Mohamad Sabu terpaksa mencari jalan lain sekiranya memerlukan media masa untuk menyatakan pandangan dan pemikiran mereka menjelang muktamar Jun ini.

 

Ini taktik golongan ulama dalam Pas yang ingin membunuh secara perlahan-lahan pengaruh puak erdogan, yang diangap sebagai orang suruhan Anwar Ibrahim, untuk bertapak di peringkat tinggi dalam parti sekaligus merobah agenda utama Pas mengenai negara Islam yang dianggap akan menjadi batu penghalang besar dalam usaha memperteguhkan lagi Pakatan Rakyat yang turut didokong oleh DAP yang anti negara Islam.

 

Ini bukan komplot pertama, sekiranya merujuk kepada kenyataan Husam dua minggu lalu, beliau turut mempertikaikan pengumuman jumlah pencalonan yang dibuat oleh Mustapha Ali.  Husam menyifatkan pengumuman yang memberikan kelebihan kepada Nasharuddin Mat Isa yang memperolehi lebih 60 peratus undi manakala dia dan Mohamad Sabu diumumkan hanya memperolehi sekitar 20 peratus undi, adalah satu dakyah Mustapha Ali untuk melemahkan semangat dan mempunyai unsur desakan supaya calon-calon selain Nasharuddin menarik diri dari bertanding.

 

Apa yang ditakutkan sangat dengan kebebasan bersuara dalam Harakah oleh calon-calon yang bertanding? Bukankah Harakah satu-satunya lidah rasmi Pas? Dan tidakkah Pas sedar peranan media masa amat penting bagi calon-calon yang bertanding untuk mempromosi gagasan dan wawasan mereka agar dapat difahami oleh perwakilan yang akan mengundi.

 

Anehnya, Pas menolak untuk memberi ruang kepada calon-calon yang bertanding tetapi pada masa yang sama, Harakah dipenuhi dengan laporan-laporan yang mencelah malah memburuk-burukkan Umno dan BN. Muka depannya secara terang-terangan digunakan untuk menuduh Umno dan BN secara sewenang-wenangnya memperalatkan pasukan keselamatan dan menguburkan demokrasi. Harakah turut menuduh Umno di Perak berlindung dibalik mahkamah dan Istana, dan takut kepada rakyat.

 

Saya fikir, laporan mukadepan ini cukup menggambarkan betapa Pas lebih sibuk mempergunakan Harakah untuk mencela lawan politik mereka hingga sanggup mengorbankan akhbar itu dari bersifat terbuka menjelang muktamar parti itu.

 

Pada masa yang sama, Harakah terang-terang menggunakan begitu banyak laman dengan menemubual tokoh-tokoh berpengaruh dalam parti itu dengan ulasan-ulasan pro ulama. Ini secara tidak langsung adalah satu perbuatan prejudis kepada golongan erdogan fraksi Anwar yang pada keluaran kali ini (29-31 Mei), langsung tidak mendapat tempat.

 

Malah ia bertentangan dengan kenyataan Mustapha Ali pada 26 Mei lalu yang menyebut muktamar kali ini sengit tetapi akan berjalan dalam suasana yang harmoni. Memanglah harmoni kerana hanya suara pro sebelah pihak sahaja disiarkan dihalaman Harakah manakala satu golongan lain menjadi mangsa konspirasi yang turut membabitkan Harakah dalam usaha untuk membunuh penyokong-penyokong kem Husam Musa terutamanya.

 

Selain  laporan mukadepan yang mencela pasukan Polis, mahkamah dan Istana Perak, Harakah dipenuhi dengan laporan memburuk-burukkan kepimpinan BN. Antaranya laman M4 yang menyebut, hubungan Mahathir dan Najib kini renggang. Apa besarnya berita ini kerana yang lebih relevan menjelang muktamar, tentulah Harakah sepatutnya memberi ruang kepada calon-calon yang bertanding untuk berkempen.

 

Laman M10 menyiarkan kenyataan Nik Aziz yang dirinya masih terasa pedih ditendang BN, laman koridor PR pula menyebut BN dan Umno berjiwa kecil manakala ruangan Hanipa Maidin, secaraterang-terangan menghentam penasihat Jabatan Agama Islam Johor, Noh Gadut dan Mufti Perak, Harussani Zakaria, berhubung kenyataan kedua-dua ulama yang menganggap kempen mogok lapar yang dilancarkan bagi membantah keputusan mahkamah rayuan bertentangan dengan Islam.

 

Harakah mempunyai begitu banyak ruang lagi keranda di laman F21, Harakah menyiarkan rencana sinis tulisan Din Sman dengan tajuk Agong Boleh Pecat Najib dan kemudian? Apa relevannya semua mukasurat ini kalau dibandingkan dengan ruang yang diperlukan oleh calon-calon yang bertanding kerana adalah mustahil calon-calon ini mengemis diakhbar lain untuk mendapatkan ruang.

 

Apakah Husam dan Mohamad Sabu harus pergi ke Nan Yiang Siang Pau, Siew Chew Jit Poh, Tamil Osai dan Tamil Namban untuk berkempen?

 

Suka saya katakan, larangan berkempen dalam Harakah hanyalah satu taktik dan konspirasi puak ulama untuk melenyapkan suara-suara golongan akademik, golongan pro Anwar dan segala lapisan dalam parti itu yang dianggap boleh memberikan ancaman kepada dominasi kepimpinan ulama.

 

Sekali lagi Husam pasti makan hati dengan perbuatan dan pengumuman Mustapha Ali.

 

Harakah mempunyai 40 laman dalam tiap keluarannya dan apakah menjelang muktamar ini, parti itu tidak sanggup memberikan lima hingga sepuluh laman kepada ahli-ahlinya untuk berkempen, terutama muka baru yang amat memerlukan publisiti untuk menarik sokongan perwakilan.

 

Harakah boleh pula mencela Umno, Mahkamah Rayuan, SPR, Polis , melaga-lagakan Tun Mahathir dan Datuk Seri Najib, tetspi pada masa yang sama memaklumkan tidak mempunyai ruang untuk kempen termasuk bagi peringkat kepimpinan tertinggi parti itu.

 

Seminggu menjelang muktamar, barulah saya faham kenapa sebulan lebih awal dulu, Husam menyebut mengenai beliau akan mengulas segala tuduhan dan tomah yang dilemparkannya melalui sebuah buku kecil – Husam lebih awal dapat membaca, Harakah akan memboikot  kumpulannya sebagai satu konspirasi untuk memastikan puak ulama terus berkuasa.

 

Agak pening apabila kita melewati persekitaran politik Pas; berwajah Islam tapi penuh dengan konspirasi, bertaraf ulama tapi membuang masa dengan mengeluarkan kenyataan menghina dan mencela orang lain.

 

Kolumnis yang berketayap dan berkopiah pulak menggunakan ruang mereka untuk menulis hal-hal murahan yang hanya mengaibkan orang lain. Paling sedih, keluaran 29-31 Mei ini, langsung tidak mempunyai gambar dan wajah Husam Musa dan Mohamad Sabu tetapi pada ketika yang sama, wajah Nasharuddin terpampang di M2.

 

Beginilah keadaannya apabila agama diseret dalam kekotoran politik; ia mengaburkan malah ada masanya memalukan agama itu sendiri.

 

Suka saya nasihatkan kepada Pas, kalau ingin dihormati mestilah bersikap sebagai orang yang berhemah dan mempunyai harga diri.

Chin Peng Hanya Umpan Bakar Sentimen Perkauman.

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 5:47 am

Rundingan Haadyai pada tahun 1989 bukan bererti sejarah kekejaman dan angkara yang dilakukan Parti Komunis Malaya (PKM) lesap dalam ingatan rakyat Malaysia.

 

Kekejaman PKM terutama pada era darurat tidak akan dilupakan. Komunis bukan sahaja ditentang oleh polis atau tentera, tetapi turut dibangkang secara terbuka diperingkat Komonwel. Ditengah-tengah ancaman komunis, Tunku Abdul Rahman turut berusaha untuk mencapai kemerdekaan walaupun terpaksa membawa luka dari kejadian peristiwa Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

 

Dalam kekaburan imejnya sebelum itu, dimana kewujudan komunis adalah lanjutan dari perjuangan masyarakat Cina tempatan dalam melindungi diri mereka dari kezaliman tentera Jepun, yang menyimpan dendam, kerana sebelum itu Tokyo turut melancarkan perang terhadap Beijing.

 

Apapun, dimana titik mula sejarah PKM, tidak akan merubah sejarah kezaliman komunis terhadap pihak berkuasa dan rakyat tempatan di negara ini.

 

Secara dasarnya, isu komunis boleh dibincangkan secara terbuka untuk kita menganalisis satu segmen sejarah yang paling penting dan tragik mengenai kewujudan satu pakatan militan yang bermula dengan matlamat mempertahankan diri – dan akhirnya tumbuh menjadi gerakan militan yang penuh dengan pemberontakan dan keganasan.

 

Bukit Kepong misalnya mengorbankan 41 orang nyawa dimana 25 anggota dari balai polis Bukit Kepong, 15 anggota dari balai berdekatan dan 3 anggota polis bantuan. Selain dibunuh, balai polis ini dibakar.

 

Kejahatan komunis tidak pernah terhenti. Pada era perang dingin, PKM mendapat bantuan persenjataan yang mewah dan canggih kerana sokongan dari Parti Komunis China yang berpusat di Beijing.

 

Justeru, tidak hairanlah, walaupun darurat diisytiharkan tamat pada tahun 1960, ancaman komunis tetap menggila terutama di kawasan pedalaman.

 

Selain dari membunuh ribuan penduduk awam yang menentang mereka, dan juga membunuh pihak polis yang menganggap komunis sebagai gerakan subversif, akhirnya PKM mencaai zaman kemuncaknya apabila berjaya membunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada 7 Jun 1974 dan setahun kemudian pada 13 December 1975, Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong pula ditembak matik di Perak – negeri yang menjadi kubu kuat PKM.

 

Berdebat tentang isu komunis ini adakalanya sengaja dibangkitkan oleh golongan tertentu yang menggunakan isu komunis sebagai pembuka bicara bagi menyeret negara ini ke kancah debat yang berbau isu perkauman.

 

Walaupun komunis turut dianggotai oleh orang Melayu melalui pembentukan Regimen 10 Zulhijah PKM yang membabitkan nama seperti Rashid Maidin, Ahmad Boestaman, Abdullah Sidi, Shamsiah Fakir, Wahid Anuar dan beberapa lagi nama aktivis politik Melayu pada masa itu tetapi secara keseluruhannya, sentimen yang paling dibimbangi ialah perspektif majorit komunis adalah masyarakat Cina tempatan.

 

PKM mendapat sokongan dan bantuan penuh dari gerakan ideologi komunis di China manakalan pertempuran Tanah Melayu ketika itu membabitkan anggota tentera dari kalangan orang melayu yang menganggap menentang komunis bukan sahaja mempertahankan tanah air tetapi satu perang jihad terhadap ideologi yang menolak sebarang pegangan agama.

 

Apabila isu membawa balik Chin Peng ini dibangkitkan, saya nampak niat golongan tertentu untuk sekali lagi bermain dengan api perkauman dan sekaligus mengheret perpecahan berterusan diantara masyarakat Melayu dan Cina khasnya, terutama pakatan pembangkang yang berjaya meretakkan hubungan kaum itu pada Pilihanraya ke 12 yang lalu.

 

Chin Peng adalah symbol bagi segala kepedihan, penderitaan dan kemeranaan anggota keluarga, ibubapa, isteri, anak-anak, sahabat handai dan rakan taulan bagi mereka yang pernah kehilangan anggota tentera yang maut ketika melaksanakan tugas menentang komunis.

 

Chin Peng adalah wajah yang penuh dengan darah dan ditangannya tergenggam senarai ribuan nyawa yang pernah dibunuh oleh komunis yang dipimpinnya dan majoriti nyawa yang terkorban itu tentulah anggota pasukan keselamatan dan golongan Melayu.

 

DAP sedar, ini umpan mudah untuk mencetuskan kontroversi dan ketegangan kaum sebagai tindak balas atau perang saraf Pakatan Rakyat, untuk menjejaskan usaha pembinaan Satu Malaysia  yang kini giat diusahakan oleh Perdana Menteri, setelah melihat wujudnya satu jurang perkauman antara 3 bangsa utama di negara ini.

 

Bagi saya, harga yang harus dibayar dalam memperdebatkan isu Chin Peng ini, kalau tersalah tingkah amatlah mahal – namun bagi DAP, korban perkauman mungkin diperlukan untuk melaksanakan misi politik mereka.

 

Apatah lagi sikap melatah pemimpin Melayu dan mediamasa yang memberi liputan meluas terhadap isu ini tanpa menyedari Chin Peng hanyalah umpan DAP untuk membakar sentimen perkauman.

 

PKM dipergunakan oleh DAP terutama isu membawa balik Chin Peng sebagai sentimen untuk membuatkan orang Cina merasa ada diantara warga mereka ditolak dan dinafikan haknya untuk kembali ke tanah air bagi menghabiskan sisa hidup sebagai komunis.

 

Saya sarankan kepada pemimpin Melayu dalam kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan Melayu agar tidak melayan isu kepulangan Chin Peng ini secara keterlaluan kerana ia sebenarnya satu jerangkap samar yang dipasang bagi membunuh usaha-usaha yang sedang dipupuk oleh PM untuk membentuk Satu Malaysia.

 

Pembangkang mulai faham atau paling tidak sudah melihat tanda Satu Malaysia akan menjadi produk yang baik dan berkualiti dan seterusnya membawa hala tuju Pilihanraya ke 13, cenderung kepada sokongan rakyat terhadap pembentukan sebuah kerajaan demokratik, sederhana dan saling memahami apa itu Malaysia.

 

Di sini, DAP terpaksa menjadi ‘batu api’ – untuk kepentingan Pakatan Rakyat sesuai dengan latar belakangnya yang sering saja menggunakan isu kedudukan bangsa Cina VS Ketuanan Melayu sebagai tema asas untuk meraih undi.

 

Siapa Chin Peng hingga perlu diperdebatkan dimuka depan akhbar-akhbar arus perdana? Sama seperti Rashid Maidin dan rakan-rakan Regimen 10 PKM yang lain, kerajaan sudah menetapkan, meskipun berdamai pada tahun 1989, namun tiada jalan pulang untuk mereka kembali memijak bumi Malaysia.

 

Prosedur ini diguna pakai bukan sahaja dalam kes Chin Peng tetapi turut membabitkan perintah buang negara yang turut dikenakan terhadap Rashid Maidin dan semua anggota Regimen 10 PKM. Kebanyakan bekas komunis menghabiskan usia mereka di Perkampungan Betong yang menjadi sebahagian daripada persefahaman dan perjanjian 1989.

 

DAP tidak perlu bermain api kerana akhirnya perjudian parti itu untuk sekadar mendapatkan sokongan murahan dari masyarakat Cina boleh terbakar dan menghanguskan sebuah negara. Ini kerana, perkataan Chin Peng dan komunis serta pasukan bersenjata dan orang Melayu akan menjadi tema yang tidak boleh dikawal, malah dalam DAP sendiri dari dulu hingga sekarang, parti itu menanamkan sifat prejudis terhadap kepimpinan orang Melayu.

 

Saya telah melihat begitu banyak perang saudara yang membabitkan sensitiviti kaum dan agama berlaku diseluruh dunia.

 

Dua puluh tahun lalu, satu juta nyawa penduduk Rwanda lenyap begitu sahaja. Mereka dipancung, ditikam, dikelar, ditembak dan dibakar hidup-hidup dalam rusuhan kaum Hitu dan Tutsi.

 

Di Lubnan, belasan ribu nyawa terkorban apabila isu agama dijadikan sentimen. Dan paling dekat, eloklah pemimpin-pemimpin DAP generasi baru, yang barangkali masih buta sejarah, agar dapat membuka mata untuk melihat dan mempelajari sesuatu dari tragedi 13 Mei 1969 serta tragedi Tanjung Periuk di Indonesia sedekad yang lalu.

 

Percayalah, jangan kerana seorang yang bernama Chin Peng, DAP cuba bermain api dan meletakkan masa depan negara ini dalam keadaan sukar diramal.

 

Akibat kesalahan masa lalu, eloklah Chin Peng tidak pulang dan kekal di Beijing kerana kesan dari kepulangannya akan menyebabkan timbulnya rasa kurang enak di kalangan orang Melayu yang pernah merasa betapa pedihnya kehilangan ahli keluarga yang dibunuh oleh komunis.

 

Tragedi Gubir umpamanya, masih berbekam dihati rakyat Malaysia apabila kemaluan sembilan anggota tentera dipotong selepas di bunuh oleh pengganas komunis.

 

Hari ini, ribuan isteri dan anak-anak polis dan tentera hidup dengan melalui masa sukar akibat kehilangan kasih sayang seorang suami dan ayah.

 

Saya masih ingat seorang teman baik saya yang menjadi gila setelah terbabit dengan tujuh pertempuran dalam tempoh lima tahun perkhidmatannya dalam unit komando yang betugas di garisan perbatasan di sekitar Grik, Perak hinggalah ke kawasan perhutanan Nami, Gubir dan Pedu.

 

Sahabat saya ini menjadi tidak siuman selepas terpaksa mengusung jenazah rakan seperjuangannya selama seminggu untuk dibawa keluar dari hutan setelah ditembak komunis hingga separuh tengkorak kepalanya hancur ditempat kejadian.

 

Peristiwa itu menyebabkan sahabat saya mengalami gangguan mental kerana sedih dan amat bedendam terhadap komunis tiap kali mengingati detik demi detik, saat demi saat – hinggalah satu minggu berlalu, mayat yang mula mereput berjaya dibawa keluar dari hutan melalu helikopter Nuri.

 

Setahun selepas kejadian itu, dia dimasukkan ke hospital jiwa dan akhirnya ditamatkan perkhidmatannya atas masalah gangguan mental.

 

Ini hanya satu dari puluhan ribu kisah yang dikongsi bersama oleh berjuta keluarga yang pernah kehilangan suami, anak, bapa atau abang, yang terbunuh ketika berjuang menentang komunis.

 

Bagi saya, Chin Peng berhak untuk terus kekal di China dan tidak kembali ke tanah air kerana dosa yang dilakukannya bukan kecil. Lebih membimbangkan, sekiranya sampai sahaja di KLIA, tangannya akan digari dan dibawa ke muka pengadilan atas pelbagai tuduhan jenayah perang dan seterusnya menjadikan keadaan lebih rumit.

 

Inilah matlamat DAP, setelah gagal di Perak, mereka akan menggunakan alasan sistem perundangan sedia ada sebagai sentimen perkauman yang ada kaitannya dengan ketuanan Melayu dan Raja-raja Melayu.

 

DAP tahu betapa tebalnya rasa berbekam yang terkumpul dihati orang Melayu,  jadi untuk menimbulkan rasa tidak selamat dikalangan masyarakat Cina , inilah strategi mereka berkempen.

 

Bagi DAP, Chin Peng dan PKM hanyalah umpan. Apa yang mereka cari sebenarnya hanyalah untuk mendapat sokongan solid dari masyarakat Cina dengan memainkan isu-isu bersifat perkauman.

 

Dalam kes ini, Chin Peng yang pernah mengetuai MPAJA (Malaya People Anti Japanese Army) dan pernah berjuang melindungi masyarakat Cina dari disembelih dan dibunuh hidup-hidup oleh Jepun, akan diwirakan oleh DAP bagi meraih sokongan masyarakat Cina untuk mendesak kerajaan membenarkan Chin Peng pulang sedangkan mereka tahu disatu tangan yang lain orang Melayu tidak akan melupakan PKM di bawah kepimpinan Chin Peng, seorang pengkhianat yang sudah membunuh bukan satu, dua atau seratus tetapi beribu-ribu nyawa.

 

Chin Peng bukanlah isunya. Isunya DAP mesti mencari jalan untuk menusnahkan kewujudan Satu Malaysia, kerana konsep yang diaspirasikan oleh PM itu mampu melenyapkan isu perkauman yang selama ini digunakan oleh pembangkang untuk menakut-nakutkan rakyat serta menimbulkan rasa prejudis antara kaum.

 

Sejarah kalau sudah penuh dengan darah, tak perlulah digelodak dan dipunggal-punggal hanya sekadar untuk menjadikan rakyat resah gelisah.

 

Kepada DAP, belajarlah melihat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang penduduknya berbilang kaum tetapi mempunyai kekuatan untuk bersatu dan sudahpun membuktikan kekuatan itu telah wujud dan kekal selama lebih setengah abad.

 

Apa yang ingin kita perkukuhkan ialah nilai tambah yang lebih terbuka dan jujur dalam hubungan rakyat pelbagai kaum supaya kita memiliki perkongsian masa depan yang mampu kita laksanakan atas kekuatan Satu Malaysia.

May 28, 2009

Surat Terbuka Untuk Aminah.

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 6:20 pm

Pilihanraya kecil DUN Penanti sebelum ini dianggap sebagai satu pilihanraya sandiwara bagi memenuhi agenda politik PKR yang merangka satu demi satu pilihanraya hinggalah menjelangnya pilihanraya umum ke 13 yang dijangka pada 2013.

 

PKR akan menggunakan rentak dan tempoh pilihanraya demi pilihanraya kecil, untuk menghidupkan apa yang mereka sifatkan sebagai kelangsungan strategi dengan menggunakan medium pilihanraya untuk menyerang kerajaan serta memilih kawasan-kawasan strategik yang selamat untuk parti itu, sebagai satu fenomena moral kononnya PKR sentiasa mendapat sokongan rakyat.

 

Ada masanya, menjadi terlalu strategik boleh meletakkan kita dalam keadaan tidak strategik. Maksud saya, PKR mungkin menganggap sekiranya Umno menyertai setiap pilihanraya, fokus mereka tentulah menggunakan tempoh kempen ini sebagai tempoh untuk membunuh Umno melalui proses meracun dan mengeksploitasi pemikiran rakyat dengan membangkitkan pelbagai isu – secara mudah saya sifatkan PKR menjadikan pilihanraya sebagai media masa terbuka untuk mempromosikan pakej fitnah dan tohmah parti itu terhadap kerajaan.

 

Dalam adat bermain keris, kita tidak diajar untuk menggunakan senjata itu agar mencederakan lawan. Langkah pertama dalam menguasai ilmu keris adalah mempelajari, bagaimana hendak mengendalikan senjata itu agar tidak mencederakan diri kita sendiri ketika bertarung.

 

Jadi PKR memang jenis Melayu mudah lupa – lupa kerana strategi yang mereka atur yang kononnya untuk memusnahkan Umno, kini ibarat ‘keris makan tuan’.

Apabila BN membuat keputusan untuk tidak menletakkan calon Umno di kawasan tersebut, harapan PKR punah ranah dan akhirnya terpaksa menanggung beban besar apabila munculnya calon bebas, Aminah Abdullah yang juga bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang.

 

Apa strategi untuk digunapakai, apabila PKR yang selama ini menganggap pilihanraya kecil disetiap kawasan diatur untuk menyerang Umno tetapi kali ini, tanpa diduga, saingan kuat mereka adalah bekas orang dalam yang cukup masak dengan tempoh dan taktik politik PKR.

 

Bagi saya, apabila Aminah Abdullah mendedahkan beliau ditawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 dan wang RM88,000 sekiranya menang dan menyertai PKR semula, perang mulut pun mula berlaku antara Aminah dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Zahrain Hashim.

 

Aminah mengambil langkah yang tepat apabila merakamkan perbualan dengan dua hamba Allah yang hina-dina yang mengunjunginya untuk memberi rasuah sekaligus, tanpa disedari, berpakat untk terjun ke dalam api neraka bersama-sama.

 

Aminah memilih untuk menolak dan mendedahkan konspirasi jahat PKR ini dan membangkitkan satu ingatan kepada Zahrain mengenai peristiwa disebuah hotel pada tahun 2007.

 

Inilah drama yang paling dinantikan oleh pengundi dan seluruh rakyat Malaysia. Kerana kata Aminah, peristiwa itu (tentulah salah laku) telah dilaporkan kepada Penasihat PKR, Anwar Ibrahim,  namun tiada tindakan diambil.

 

Pendedahan ini saya fikir tidak akan selesai sepanjang kempen pilihanraya DUN Penanti tetapi sekiranya Aminah menyebutnya sekarang, kerisnya mungkin tertusuk di perut Zahrain dan darah dari luka itu mungkin terpercik ke muka Anwar Ibrahim.

 

Justeru saya percaya, isu tawaran rasuah yang sedang hangat diperkatakan sekarang tidak akan berakhir begitu saja kerana saya yakin SPR dan SPRM sudah pasti menjalankan siasatan kerana dakwaan Aminah mempunyai asas dan bukti kukuh berdasarkan rakaman CD yang beliau kemukakan.

 

Kes ini secara teknikal mungkin diselesaikan di peringkat SPR tetapi secara perundangan mungkin akan dibawa SPRM ke mahkamah. Namun sekiranya Aminah mengambil langkah yang lebih berani untuk mendedahkan mengenai rahsia (Hotel Dijawi 2007) sudah tentu lebih banyak kemungkaran dan kejijikan dapat didedahkan untuk tatapan rakyat malah mungkin membantu pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan PKR yang selama ini didramakan oleh Anwar Ibrahim sebagai parti yang bersih.

 

Ramai yang tidak percaya bahawa Anwar Ibrahim adalah seorang pengotor dalam politik dan inilah peluang bagi Aminah yang sudah tahu siapa Anwar Ibrahim dan apa itu PKR, mendedahkan seluas-luasnya rahsia dalam kain, baik di depan mahupun di belakang kehidupan dalam PKR selama ini.

 

Aminah tidak perlu melakukan fitnah. Ceritalah yang benar, kerana kebenaran ini penting kepada orang Melayu agar tidak terus ditipu atau tertipu oleh begitu banyak unsur-unsur jahat yang tersimpan dan tertanam dalam PKR.

 

Ceritakanlah supaya PAS yang berkesedudukan dengan PKR dalam PR tahu apakah jenis maksiat  yang sedang berlaku dalam PKR, parti yang dipilih oleh Pas untuk diajak tidur dalam satu selimut.

 

DAP mungkin tidak memperdulikan semua ini kerana mereka punya agenda sendiri . Selagi banyak parti-parti yang didokong oleh orang Melayu berpecah, maka ia akan menguntungkan parti berasaskan perkauman seperti DAP.

 

Namun secara matang, saya maklumkan kepada Aminah, kebenaran tidak akan membuatkan orang Melayu berpecah belah. Kebenaranlah alat untuk menyatupadukan orang Melayu dan sekarang PKR yang menjadi punca perpecahan Melayu perlu membayar harga pengkhianatannya kepada bangsa Melayu sekiranya Aminah memilih untuk tidak melindungi bukti  dan pengetahuannya mengenai PKR memandangkan beliau orang lama yang pernah berada dalam kedudukan yang agak tinggi dalam kepimpinan parti itu.

 

Untuk Anwar Ibrahim, kiralah lok keris yang berada ditangannya kerana mungkin sekarang sudah tiba masanya –  kerana ketidakpandaiannya menguasai keris tersebut, mungkin keris itu akan merodok punggungnya sendiri.

May 27, 2009

Saya Cabar Nik Aziz Bagi Komen

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 5:26 pm

Memandangkan Nik Aziz secara peribadi, dihormati sebagai ulama besar di mata orang Islam, manakala di dalam politik beliau dianggap sebagai ulama paling kanan dalam Pas, sejajar dengan kedudukannya sebagai Mulsyidur Am, saya tujukan artikel ini khusus untuk beliau dan kepada yang lain-lain secara amnya.

Cabaran saya tidak besar, hanya mahu mendengar kata-kata yang benar seperti mana yang diamanatkan oleh Allah kepada seorang ulama dan dipertanggungjawabkan pula kepada ulama tersebut mengenai tanggungjawab itu apabila dia mati kelak.

Jadi soalan saya pada Nik Aziz dalam konteks ini janganlah diperlekehkan kerana ia mempunyai kepentingan dunia dan akhirat.

Nik Aziz ketika ditanya mengenai isu ‘hadiah’ yang mula menular dalam politik Pas dan dikaitkan dengan majlis makan dan pemberian pakaian seperti yang didedahkan oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Daud Iraqi, telah memberi komen, yang ayat terakhirnya saya anggap sebagai kenyataan paling penting, rumusan dari seorang ulama yang boleh digunapakai dalam takrifan sama ada berkaitan dengan isu hadiah maupun rasuah.

Kata Tok Guru: “ Kita tak perlukan orang macam ini”

Saya tidak mahu bercerita secara panjang komen-komen Nik Aziz selama 4 penggal menjadi Menteri Besar Kelantan yang seringkali pula menyampaikan pandangan dan kritikannya terhadap kerajaan dengan menggunakan pengaruhnya sebagai ulama, melampaui kedudukannya sebagai Menteri Besar. Saya mempunyai prejudis terhadap tiap kenyataan tersebut kerana sebagai ahli politik, kenyataan seorang ulama boleh saja tidak bersandar kepada kepentingan agama tetapi sebaliknya, agama boleh dipergunakan untuk strategi politik.

Soalan asal saya ialah berkaitan dengan pengakuan Pengarah Pilihanraya PKR DUN Penanti Saifuddin Nasution yang mengakui bahawa memang wujud tawaran berbentuk wang kepada calon bebas Aminah Abdullah.

Saifuddin yang juga bekas ahli Umno pada era kepimpinan Anwar Ibrahim dahulu dan kini mengikut jejak mastermind PKR menyifatkan tawaran itu tidak mempunyai kaitan dengan parti tetapi lebih kepada urusan peribadi antara dua ahli PKR yang dikaitkan dengan Aminah selaku calon pencabar utama kepada PKR.

Baiklah, kita terimalah alasan teknikal oleh Saifuddin bahawa PKR tidak terlibat dan barangkali dua orang hamba Allah yang hina dina itu mengeluarkan biaya sendiri untuk merasuah Aminah bagi membantu calon PKR, Mansor Othman untuk memenangi pilihanraya kecil ini melalui jalan mudah.

Untuk maklumat Nik Aziz, apakah logik sekiranya dua hamba Allah yang hina dina ini , yang dikatakan mengunjungi Aminah dengan niat memberi rasuah atas kapasiti peribadi dan tiada kaitan dengan PKR mampu menawarkan, selain wang tunai RM80,000 juga jawatan Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang sebagai ganjaran sekiranya Aminah menarik diri.

Wang rasuah mungkin boleh dicari dimana-mana, sama ada meminjam pada along, menggadai segala barang kemas anak bini atau jual tanah pusaka nenek moyang. Ini tidak menjadi isu kerana niat dua orang hamba Allah itu menjalankan kerja hina dina demi memenangkan calon mereka. Tetapi dua hamba Allah yang hina dina ini tidak mungkin mampu menawarkan jawatan YDP MPPP kecualilah mereka yang datang itu adalah wakil Ketua Menteri Pulau Pinang.

Dalam isu ini, saya tidak fikir Lim Guan Eng terlibat dan mungkin Lim Guan Eng sendiri tidak tahu menahu mengenai percaturan membeli Aminah melalui wang RM80,000 dan jawatan yang mungkin boleh disifatkan sebagai makan gaji buta.

Aminah bukan calang orang. Dia bekas Ketua Wanita PKR sejak awal pembinaan parti itu dan faham benar dengan segala macam taktik, kejahatan, kemunafikan dan perkara-perkara yang membuatkan neraka menganga menanti kehadiran si pelakunya.

Nik Aziz harus ingat,selain wang dan kedudukan dalam MPPP, Aminah turut ditawarkan menyertai PKR sekiranya memenangi kerusi DUN Penanti sebagai calon bebas.

Secara logik, dapatlah kita katakan, pengakuan Saifuddin walaupun ingin menyelamatkan parti tetapi telah membunuh dua nama yang dikaitkan dengan isu ini kerana pada pandangan saya, pakej yang ditawarkan yang membabitkan wang, pangkat dan jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang pasti mempunyai kaitan dengan PKR sebagai parti yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan negeri.

Nik Aziz tak boleh pilih bulu kecuali beliau sanggup menanggalkan segala ilmu pengetahuan dan amanat yang diberikan kepada Allah kepadanya untuk menyatakan yang hak dan yang batil.

Nik Aziz tidak boleh berdiam diri semata-mata untuk menjaga hubungan mesra dengan PKR hingga sanggup menjahit mulutnya dan mematikan dirinya sebagai ulama dalam isu rasuah yang membabitkan parti karib Pas dalam PR.

Kalau mengenai calon yang memberi rasuah didalam Pas, Nik Aziz mengeluarkan kenyataan supaya orang ini tidak dipilih, apakah beliau berani untuk berdiri sebagai ulama juga dan menyatakan kepada pengundi di Penanti bahawa parti yang menawarkan rasuah tidak patut dipilih.

Suka saya ingatkan kepada Nik Aziz , saya bukan orang yang memandang rendah atau biadap terhadap ulama.

Saya juga mempunyai tanggungjawab untuk meingatkan ulama mengenai amanah yang mereka pikul dan Nik Aziz sendiri pernah mengatakan dirinya rela ditegur tetapi mesti dengan fakta.

Kebiasaannya akhir zaman dilihat dari kaca mata ulama yang akan membangkitkan pelbagai tanda-tanda akhir zaman dan hari kiamat dengan merujuk kepada sikap jahil masyarakat awam dan umat Islam yang lalai, penuh rasuah, maksiat, kezaliman dan segala macam lagi petanda.

Namun ulama juga perlu diperingatkan bahawa tanda-tanda kiamat turut membabitkan wujudnya gologan orang yang mempunyai ilmu tetapi jahil dengan ilmunya.

Sebagai ahli politik sekaligus ulama, Nik Aziz tidak bolehlah bermain cara ‘selamat’ dalam isu ini dengan menjawab biarlah SPR dan SPRM menjalankan siasatan dan selagi tiada bukti Nik Aziz enggan memberi komen.

Seorang ulama harus meyelamatkan umat dari melakukan kesilapan. Saya percaya sebagai orang atas dalam Pas, Nik Aziz pasti mendapatkan rakaman CD dari dua hamba Allah yang hina dina itu dengan calon bebas Aminah bagi mendapatkan gambaran dan mengeluarkan kenyataan sebagai ulama kepada pengundi DUN Penanti sebelum hari pembuangan undi.

Melewatkan sebarang kenyataan atau memejamkan mata kerana ingin menjaga nama baik PKR selaku sekutu Pas akan menyebabkan sifat ulama Nik Aziz saya tafsirkan sebagai orang yang menzalimi dirinya sendiri.

Apa tidaknya, ketika dia mempunyai peluang malah berada pada satu tahap untuk menyatakan yang hak dan yang batil seterusnya menyelamatkan umat Islam dari memilih calon yang munafik, tetapi tidak melakukannya.

Selain Nik Aziz, saya juga menyeru dan mencabar pemimpin-pemimpin Pas termasuk Presidennya Haji Hadi, orang nombor dua, Nasharuddin Mat Isa, ulama dan intelektual Dr. Harun Din malah paling penting, ayam sabung PKR dalam Pas, Husam Musa untuk memberi komen.

Cabaran saya mudah kerana orang-orang ini mempunyai track record yang sangat bagus dalam mengkritik kerajaan dan musuh politik mereka setiap kali hal-hal yang bertentangan dengan Islam berlaku kepada parti lawan terutamanya Umno.

Kalaulah musuh kita sanggup tegur tak kan lah kawan sendiri hendak dibiarkan sesat.

Ini penting kerana sekiranya Pas memilih mengambil langkah untuk tidak memberikan reaksi terhadap isu rasuah ini, maka mudahlah bagi rakyat untuk mengukur sejauh mana nilai-nilai Islam dalam Pas.

Kita boleh menganggap sekiranya memberi risiko politik, Pas akan menyimpan kebenaran di bawah papan rehal. Tetapi andainya sesuatu peristiwa itu membawa keuntungan politik Pas akan membuka Quran, menyemak surah demi surah untuk didahlilkan kepada Umno sebagai golongan munafik malah ada sejarah, Haji Hadi menyifatkan orang Umno sebagai kafir.

Inilah iktibar awal yang dihadapi oleh PKR apabila dengan zalim telah menyembelih Mohd. Fairus  tanpa putus urat nyawanya hingga membuatkan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 dan ADUN Penanti terpaksa meletakkan jawatan dan menyambung pelajaran dalam keadaan lehernya yang terkulai.

Apabila kezaliman diamalkan, maka kezalimanlah juga balasannya.

Saya percaya isu rakaman siri yang akan diserahkan  oleh calon bebas Aminah kepada SPR dan SPRM akan membuka satu jendela yang luas untuk kita melihat rasuah dan segala macam kekotoran yang ada dalam PR.

Apatahlagi Aminah sudahpun memberi kenyataan tambahan sekiranya dicabar lagi beliau akan mendedahkan satu konspirasi yang lebih besar yang membabitkan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mohamed Zahrain Hashim.

Kalaulah Mohd. Fairus merasakan dirinya teraniaya dalam kes fitnah dan konspirasi jahat yang dilakukan secara halus oleh kepimpinan atasan PKR untuk mencampak dirinya keluar dari parti dalam keadaan yang mengaibkan, barangkali ada yang berdoa memohon petunjuk Allah supaya kezaliman ini dibalas terhadap mereka yang melakukannya.

Mohd Fairus hanya dikatikan dengan isu kuari tetapi kemudiannya SPRM mengesahkan beliau bersih dan tiada kaitan dengan dakwaan yang dibuat oleh pemuda PKR Pulau Pinang.

Hari ini, rakyat dan pengundi DUN Penanti yang majoritinya Melayu mendapat rahmat Allah dari kezaliman PKR terhadap Mohd. Fairuz.

Saya berharap rakaman CD perbualan antara dua hamba Allah yang hina dina, yang datang menawarkan wang, pangkat dan jawatan dapat segera didedahkan bagi membolehkan pengundi DUN Penanti tau dan boleh membuat penilaian sendiri mengenai maruah  PKR sebagai parti yang menerajui Pakatan Rakyat.

Ini penting, kerana saya bimbang sekiranya isu rasuah ini menjadi kes untuk pendakwaan dan SPRM dan SPR pula mendapati laporan Aminah mempunyai asas dan bukti yang kukuh, kita takut satu lagi pilihanraya akan terpaksa dijalankan di DUN Penanti.

Selain Nik Aziz, saya anggap orang yang penting dalam isu ini adalah Aminah sendiri. Bukan sekadar sebagai calon, juga bukan sekadar sebagai bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, tapi atas dasar berpegang kepada prinsip Islam dan demi maruah orang Melayu, Aminah sudah boleh menggunakan platform rasuah menjelang pilihanraya kecil ini sebagai asas untuk beliau terus bersuara lantang dan mendedah serta mengemukakan segala bukti dan kejahatan yang wujud dalam PKR.

Paling tidak, berdasarkan pengalamannya melihat begitu banyak perilaku jahat, khianat, dendam dan hasad dengki yang berlaku dalam PKR, dan beliau meninggalkan parti itu, pendedahan Aminah akan menyelamatkan ramai lagi orang Melayu dari terus tertipu dengan imej Anwar Ibrahim yang sentiasa menggambarkan dirinya sebagai orang yang teraniaya.

Aminah juga wajar mendedahkan apa itu PKR supaya Pas juga tahu dengan siapa mereka berkongsi jubah dan paling tidak DAP dapat belajar serba sedikit mengenai Islam.

Sama ada DAP mula menghormati Islam yang sangat menentang rasuah atau DAP tertawa melihat orang Islam dalam PKR dan Pas pun turut terbabit dengan rasuah, itu adalah persoalan yang terkemudian. Ini isu politik saja.

Apa yang saya seru kepada Nik Aziz dan kepimpinan Pas terutama yang memakai jubah dan sarban ulama serta calon bebas Aminah adalah untuk menanggalkan sebentar semua kepentingan politik yang bersifat duniawi dan berdiri dengan pandangan yang tegas sebagai umat Islam yang patuh kepada kalam Allah untuk menyatakan pendirian menentang rasuah dan menyeru rakyat terutama pengundi di DUN Penanti untuk tidak memberi undi kepada calon atau parti yang terbabit dengan rasuah.

Rasuah kalau tidak diperangi akan meletakkan maruah bangsa kita di tepi longkang dan agama kita pula akan dilihat orang …

Wallahualam.

May 26, 2009

Akhirnya Husam Pilih Jadi Ayam Tambatan PKR

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 9:15 pm

Tahniah kepada Husam Musa kerana akhirnya telah berbuka puasa kelmarin dengan mengeluarkan kenyataan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas.

 

Husam akhirnya tanpa rasa takut masuk ke bong sebagai ayam sabung pro PKR yang sedia berdepan dengan Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden sedia ada, yang dianggapnya sebagai dalang yang mengadakan hubungan sulit dengan Umno.

 

Jadi nampaknya, muktamar kali ini akan melihat tiga ayam sabung akan mengasa taji termasuk Mohd. Sabu yang mewakili golongan revolusioner. Namun bagi ahli-ahli Pas yang turun ke muktamar Jun ini, tumpuan mereka tentulah untuk melihat dua ayam jantan yang berselisih pendapat mengenai siapa yang harus menjadi sahabat Pas dalam konteks masa depan.

 

Sebelum pergi lebih jauh, saya mengupas dulu dilema Pas yang sedang membelenggu parti itu ketika ini. Walaupun Pas secara praktikal hingga hari ini masih mengekalkan sokongan dan peranan yang konsisten dalam PR, namun sudah wujud kesedaran bahawa berada bersama PKR dan DAP dalam satu kombinasi politik tidak akan memberikan manfaat kepada perjuangan parti itu.

 

Apa yang diperolehi dalam pilihanraya ke 12 bagi Pas adalah manfaat kuasa. Namun kuasa itu terpaksa dikongsi dengan dua parti yang tidak sealiran dengan Pas yang berpegang pada prinsip kuasa adalah alat perjuangan parti untuk menegakkan matlamat dan perjuangan Pas berdasarkan sejarah penubuhannya.

 

Konsep kuasa ini mula Pas rasakan berbeza dengan apa yang diamalkan oleh PKR dan DAP. PKR didorong oleh sentimen dendam dan keazaman seorang ahli politik bernama Anwar Ibrahim untuk bangkit dan bertindak balas terhadap Umno dan musuh-musuh politiknya dalam parti itu berikutan kehancuran karier politiknya pada tahun 1998.

 

Manakala DAP hanya boleh dijadikan rakan bersekongkol untuk menumbangkan BN namun tidak boleh diharapkan langsung untuk membantu Pas memperjuangkan matlamat Islamnya kerana parti itu secara terus-terang dari mula pakatan PR dibentuk hinggalah sekarang, menolak sama sekali sebarang istilah pembentukan sebuah kerajaan yang berorientasikan Islam.

 

Nahsaruddin dan Presiden Pas, Haji Hadi, berada dalam satu konsep pemikiran yang dianalisis selepas pilihanraya ke 12 dimana rumusannya bolehlah dikatakan, apalah makna sekiranya PR berjaya membentuk kerajaan  dan tetapi kemudian parti itu menjadi sebahagian daripada pakatan pemerintah yang tidak akan dibenarkan mengeluarkan sebarang pandangan atau melaksanakan sebarang agenda yang berteraskan Islam.

 

Pas sedar, kerajaan campuran kalaupun dapat dibentuk dalam Pilihanraya ke 13, akan menjadikan parti itu bersendirian kerana momentum politik yang ada sekarang membuktikan PKR pimpinan Anwar Ibrahim lebih cenderung untuk berkompromi dengan DAP kerana mengharapkan undi solid masyarakat Cina dengan menggunakan DAP sebagai ayam tambatan untuk memainkan isu perkauman terutama menentang hak-hak istimewa orang Melayu, DEB, ketuanan Melayu, sistem kesultanan Melayu dan apa juga yang berbentuk Melayu sebagai tarikan untuk memesongkan sokongan masyarakat Cina daripada BN.

 

Berdasarkan  pola pengundian pilihanraya 2008 yang lalu, PKR tahu, undi Cina lah yang menjadikan pakatan itu berjaya menguasai Pulau Pinang, Perak (kini dikuasai BN) serta Selangor sekaligus membolehkan pakatan 3 serampang itu menguasai lebih 1/3 kerusi di parlimen.

 

Manakala undi Pas hanya relevan di Kedah dan Kelantan yang mana sokongan pengundi Melayu Islam boleh berubah pada pilihanraya umum akan datang sekiranya Umno dibawah kepimpinan Datuk Seri Najib mampu memulihkan kepercayaan orang Melayu dengan mengukuhkan semua peranan, fungsi, identiti dan jatidiri Umno.

 

Ini menyebabkan kepimpinan tertinggi Pas, Haji Hadi dan Nasharuddin tau, Pas hanyalah kaca dimata PKR. Manakala DAP adalah berlian.

 

Pas juga sedar, walaupun sokongan parti itu diberikan kepada DAP untuk menguasai Pulau Pinang dan PKR di Selangor dengan ganjaran jawatan Menteri Besar di Perak namun, ketika Ir. Nizar menjadi Menteri Besar, dominasi exco Perak oleh DAP membuatkan Nizar tidak berdaya langsung berfungsi sebagai pemimpin Pas yang berkuasa untuk menjalankan agenda parti itu.

 

Ir. Nizar dilantik hanya bagi memenuhi Akta Tubuh Negeri Perak yang menetapkan Menteri Besar negeri itu mestilah dari kalangan pemimpin Melayu Islam. Namun sebagai MB yang dikelilingi oleh exco DAP, Nizar terpaksa menjadi pak turut hingga sanggup menjadi pemimpin Melayu Islam yang pertama di Tanah Melayu yang dengan rela memberikan hak pertempatan perkampungan baru selama 999 tahun kepada masyarakat Cina.

 

Ini tidak pernah berlaku dalam mana-mana sejarah kepimpinan Melayu termasuk pada zaman Melaka. Malah ketika orang Cina datang merantau dan menjadi pelombong bijih di Perak, hubungan baik mereka dengan Orang Besar Larut, Long Jaafar, hanyalah mencapai tahap dimana pelombong cina dibenarkan melombong bijih tetapi harus membayar cukai kepada kerajaan Kesultanan Perak.

 

Pas tentunya tahu, 10 tahun dari sekarang, keputusan yang dibuat oleh Ir. Nizar akan dicela oleh orang Melayu dan Pas akan dianggap sebagai parti yang dibonekakan DAP.

 

Generasi Melayu Islam pada era akan datang tidak akan memaafkan Pas dan Ir. Nizam dalam isu pemberian hak 999 tahun ini dimana secara sejarahnya tidak ada seorang pun anak Melayu di Tanah Melayu pernah diberikan hak seistimewa itu.

 

Kejayaan PR sebenarnya adalah satu hikmah kepada Pas kerena sebelum pilihanraya, Pas lebih cenderung memikirkan bagaimana untuk menumbangkan musuhnya Umno terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu. Pas sedar kedudukan kawasan pilihanraya tidak memungkinkan parti itu mencapai kejayaan cemerlang di peringkat pusat kecuali kekal menjadi pesaing di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak.

 

Untuk menumpaskan Umno, Pas tahu ia juga perlu menewaskan BN.

 

Inilah permasalahan yang dialami Pas apabila menghadapi kawasan-kawasan dan negeri-negeri yang pola pengundinya bercampur aduk dan tidak memungkinkan masyarakat bukan Islam menyokong parti itu.

 

Pas mungkin tidak akan berkerjasama dengan DAP seakrab pilihanraya ke 12 yang lalu kalau tidak dengan permainan politik Anwar.

Dalam keghairan membentuk pakatan pembangkang sebelum pilihanraya, minda pemimpin-pemimpin Pas dikuasai oleh perasaan ingin menumbangkan kerajaan. Secara strategik, Pas berharap diberikan kawasan majoriti pengundi Melayu dan sekaligus berpeluang berdepan satu lawan satu dengan Umno.

 

Itu cerita lama.

 

Sekalipun tidak seorang pun pemimpin Pas, sama ada daripada kem yang dikaitkan dengan pakatan sulit dengan Umno atau kem yang dikaitkan sebagai pro Anwar menyuarakan perpecahan dalam parti itu dalam konteks kesinambungan hala tuju Pas pada masa depan, namun fenomena yang berlaku kebelakangan ini jelas memberi gambaran, Pas berpecah dua.

 

Apabila Haji Hadi dan Nasharuddin dikaitkan mempunyai hubungan sulit dengan Umno, sudah tentu PKR terutama Anwar Ibrahim berada dalam keadaan sangat takut kerana sekiranya Pas beralih arah, kedudukan PR akan rebah satu demi satu umpama teori domino.

 

Justeru itu, Anwar ‘menangkap’ Husam Musa lebih awal sebagai sahabat akrabnya sekaligus mempromosikan potensi PR pada pilihanraya akan datang dan menganggap wujudnya pakatan sulit dengan Umno adalah sesuatu yang perlu ditentang dari dalam Pas sendiri.

 

Jadi, kenyataan Husam Musa kelmarin bererti ia menjadi ayam sabung Anwar Ibrahim yang akan masuk ke gelanggang menentang sahabat baiknya Nasharuddin bukan lagi diatas dasar siapa patut menjadi pemimpin tetapi lebih cenderung kumpulan mana yang patut menguasai Pas.

 

Cuma agak memalukan ialah cara Husam memilih jalan untuk bersaing merebut kerusi nombor dua melalui kempen pertamanya dengan menuduh pengiraan undi pencalonan dari 137 kawasan Pas yang selesai bersidang pada Mei lalu sebagai satu pembohongan.

 

Bagi Husam, pengumuman yang menyebut dia hanya menerima pencalonan 20% adalah satu konspirasi golongan penyokong kem Nasharuddin yang sengaja memperkecilkannya dengan mengumumkan undi itu sebagai cara atau tekanan untuk menghalang beliau bertanding.

 

Husam menyifatkan  beliau mendapat pencalonan lebih dari apa yang diumumkan. Berdasarkan dakwaannya dia mendapat sokongan dari  9 kawasan di Kelantan dan 15 kawasan di Johor.

 

Maka percaturannya, sekiranya dari 2 negeri itu beliau memperolehi 14 pencalonan, apakah trend pencalonan yang menunjukkan momentum perjuangannya disokong oleh perwakilan hanya setakat 20%?

 

Bagi saya, Husam memalukan Pas sendiri. Husam menjadi ayam jantan yang berkokok terlampau kuat hingga mencela dan memperlekehkan pengumuman yang dibuat oleh Jawatankuasa Pencalonan Pas.

 

Sebagai anak didik Nik Aziz, Husam harus mencontohi gurunya. Nik Aziz yang hanya menerima satu pencalonan, dianggap sangat mengejutkan kerana gagal memperolehi kuota dua undi untuk bertanding jawatan Presiden, secara berhemah menerima hakikat dirinya ditolak oleh perwakilan Pas untuk mengetuai parti itu.

 

Nik Aziz malahan mengatakan Haji Hadi adalah pemimpin yang layak mengetuai Pas berdasarkan pengalaman politiknya yang luas serta memiliki hubungan yang baik dengan pelbagai organisasi Islam di peringkat antarabangsa.

 

Tidakkah Husam sedar dia sedang meludah ke langit dan menggambarkan Pas adalah parti yang penuh dengan konspirasi jahat hingga budaya ‘cah keting’ wujud dalam parti itu.

 

Kenyataan Husam mengenai adanya pakatan untuk menjatuhkan beliau akan memberi gambaran, apa itu nilai Islam dalam Pas hingga wujud hasad dengki dan khianat dikalangan para pemimpin atasan parti itu untuk saling membunuh karier politik rakan seangkatan semata-mata kerana ketamakan kuasa.

 

Sekiranya apa yang didakwa oleh Husam benar, Pas adalah parti yang sangat memalukan. Bukankah pencalonan itu adalah amanah perwakilan kepada kepimpinan pusat? Dan andainya kepimpinan pusat menyeleweng fakta jumlah pencalonan, itu perbuatan orang yang mungkar dan dilakhnati oleh Allah kerana menjadi pemimpin yang tidak melaksanakan amanah pengikut.

 

Selepas berbuka puasa (puasa cakap isu parti), Husam seperti musafir kelaparan yang gelojoh dan menjamah makanan seakan-akan melantak, tanpa memperdulikan adab makan dan berbuka puasa.

 

Karektor Husam sekarang benar-benar seperti Anwar Ibrahim. Sanggup berbuat apa saja, sanggup mengatakan apa saja, semata-mata mencari ruang untuk meraih populariti politik.

 

Husam harus ingat, kata-katanya kalau benar, bererti dia wajar meninggalkan Pas. Apa guna seorang muslim yang baik berada dalam parti yang penuh dengan tohmah, pengkhianatan dan konspirasi jahat? Dan sekiranya kata-kata Husam itu melulu, maka dia juga adalah seorang pemfitnah. Mana satu pun yang benar, pengumuman Husam memberi gambaran Pas bukanlah satu parti yang patut dihormati.

 

Bagaimana rakyat boleh mengharapkan sebuah parti yang melaungkan slogan Islam sedangkan didalamnya penuh dengan unsur-unsur kemunafikan.

 

Saya nasihatkan Husam, jadilah ayam laga jantan yang bertanding kerana prinsip peribadi dan bukannya ayam tambatan yang masuk ke bong untuk melaksanakan kepentingan orang lain.

 

Husam harus sedar, dia bukan orang pertama, kedua, kesepuluh, keseratus, keseribu tetapi sebaliknya adalah mangsa yang sudah tidak dapat diangkakan yang menjadi mainan percaturan politik Anwar Ibrahim.

 

Husam harus membuktikan dirinya mempunyai kredibiliti, intergriti dan kalibar untuk memimpin Pas, bukan dengan mengatakan orang lain jahat dan dirinya baik sebagai jalan mudah meraih simpati dalam usahanya untuk menjadi pemimpin Pas.

Saya yakin, Husam tidak akan memenangi jawatan ini dan saya percaya kalau Husam tidak berpegang lagi pada tali Allah tetapi membiarkan dirinya bergayut pada tali politik tajaan PKR, akan wujud implikasi yang buruk selepas beliau tewas pada pemilihan Jun ini.

 

Husam sudah terlepas cakap dan telah memburukkan imej Pas. Kalaupun dakwaannya benar, Pas tidak akan menyimpan orang sepertinya dan jalan terakhir sebagai ayam tambatan Anwar Ibrahim, pilihan yang ada mungkin menyeberang jambatan berkhemah bersama PKR tetapi masih satu halaman dengan Pas dalam PR.

Ayam Sembelihan dan Kambing Hitam Dalam Politik Pakatan Rakyat.

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 10:50 am

Strategi Pakatan Rakyat (PR) yang tentunya didalangi oleh mastermind Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang, untuk mengadakan sebanyak mungkin pilihanraya kecil sebagai taktik untk mengekalkan momentum politik pilihanraya sehingga menjelangnya Pilihanraya 13, tidak mungkin dilaksanakan tanpa ada yang menjadi korban.

Bagi pilihanraya yang perlu diadakan sekiranya calon meninggal dunia, ia boleh dianggap sebagai satu perkara yang wajib dijalankan berasaskan kepada sistem demokrasi yang digunapakai di negara ini.

Strategi PR adalah untuk melancarkan pilihanraya kecil secara konsisten bagi membolehkan isu-isu politik yang menjadi strategi pembangkang dilobi secara meluas ketika berkempen. Walaupun tidak menyalahi undang-undang pilihanraya namun ia satu taktik kotor dan tidak bermoral.

Dalam kes ini, saya merujuk kepada pilihanraya kecil Penanti yang kini dalam proses kempen antara calon PKR dan tiga calon bebas yang bertanding setelah Umno memboikot pilihanraya tersebut kerana menyedari ia dilaksanakan bukan atas kehendak demokrasi tetapi sebagai sebahagian daripada kerangka politik PR yang dirancang oleh Anwar Ibrahim.

Saya percaya, sekiranya ADUN Kota Alam Shah,  M. Manoharan tidak dibebaskan dari ISA, isu penahanan beliau yang terbabit dengan perhimpunan haram Hindraf akan dijadikan alasan oleh PKR untuk mengadakan pilihanraya kecil selepas Penanti.

Apapun, walaupun PR berpeluang mengadakan pilihanraya kecil di Bukit Lanjan berikutan isu perletakan jawatan Elizabeth Wong namun implikasi moral berikutan tersebarnya foto-foto separuh bogel wakil rakyat tersebut membuatkan PKR menolak untuk menjadikan DUN Bukit Lanjan sebagai sebahagian daripada strategi momentum mereka.

Ini kerana foto-foto bogel tersebut serta bagaimana dan siapa yang merakamkannya serta persoalan apakah hubungan Elizabeth Wong dengan orang yang merakamkan foto itu dan kemungkinan terburainya lebih banyak lagi skandal moral ADUN tersebut, menyebabkan PKR terpaksa memujuk Elizabeth Wong menarik balik keputusannya.

Kini, nampaknya Elizabeth barangkali dengan bantuan Pas telahpun berjaya memperbaiki akhlaknya dengan muncul di internet dengan foto-foto baru yang lebih berakidah termasuk mengenakan tudung dan selendang ketika berucap.

Sesuatu yang sangat paradoks dengan foto-foto sebelum ini yang ‘tudung-tudung wajib’ bagi semua wanita tak kira apa agama terburai dan menjadi tatapan percuma rakyat Malaysia dan seluruh dunia berikutan penyeberannya yang meluas di internet.

Mengenai ayam sembelihan dalam tajuk ini, saya amat bersimpati dengan nasib bekas Timbalan Ketua Menteri Satu Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, yang terdesak untuk meletakkan jawatan apabila pendedahan kepimpinan Pemuda PKR Pulau Pinang sendiri yang mendakwa bekas ADUN Penanti itu terbabit dengan rasuah berhubung dengan isu kuari haram di Pulau Pinang.

PKR mendesak Fairus untuk meletakkan jawatan walaupun siasatan SPRM pada waktu itu belum diumumkan.

Lebih menimbulkan persoalan, Fairus mendakwa dirinya dikhianati oleh golongan tertentu dalam PKR yang gilakan pangkat serta berniat untuk memusnahkan karier politiknya.

Fairus dalam surat perletakan jawatannya terpaksa memberi alasan yang sebenarnya hanya sesuai menjadi dialog bagi program Gelanggang Raja Lawak apabila memaklumkan beliau berundur kerana ingin melanjutkan pelajaran.

Suka saya ingatkan, ramai pemimpin didalam Umno melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat Doktor Falsafah ketika aktif dalam parti dan menjawat jawatan dalam kerajaan. Antaranya Datuk Dr. Rais Yatim dan Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Rakyat harus maklum, politik bukan sejahat itu hingga menjadi penghalang untuk seorang wakil rakyat atau anggota kerajaan dalam kabinet untuk melanjutkan pelajaran.

Malah, politik sepatutnya menjadi sumber aspirasi bagi wakil rakyat untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan mereka kerana akhirnya ilmu yang diperolehi bukan sahaja meningkatkan prestasi kerja mereka malah akan turut memberi manfaat kepada rakyat .

Ilmu yang diperolehi akan membolehkan ahli politik mempunyai pandangan yang lebih luas, kecekapan yang lebih maksimum dan akhir sekali menjadi contoh kepada rakyat bahawa tiada halangan untuk sesiapa saja di negara ini untuk memajukan dirinya dalam bidang pendidikan, tidak kiralah sesibuk atau seberat manapun tanggungjawab mereka.

Saya percaya, Fairus diperangkap dan dijadikan ayam sembelihan untuk memastikan agenda  momentum pilihanraya tajaan PKR ini diteruskan terutama di kawasan-kawasan yang menjadi kubu kuat PKR sebagai cara untuk membuktikan kepada umum bahawa PKR adalah parti yang terus mendapat sokongan pengundi dari masa ke masa hinggalah tarikh Pilihanraya ke 13 diumumkan.

Secara realistik, saya fikir sekiranya tiada perangkap yang dikenakan terhadap Fairus, beliau pasti mempunyai sebab untuk tidak meletak jawatan. Malah, beliau akan menggunakan alasan dikhianati oleh rakan parti sendiri sebagai faktor untuk keluar dari PKR tetapi mengekalkan dirinya sebagai ADUN Penanti sama ada menyertai BN atau berstatus bebas.

Persoalannya, apa yang menyebabkan Fairus terpaksa mengikut telunjuk dan tekanan dalaman parti hingga terlihat seperti berada dalam keadaan takut dan seterusnya seakan-akan beliau benar-benar melanjutkan pelajaran dan menggunakan alasan itu sebagai punca melepaskan DUN Penanti.

Dalam percaturan saya, Fairus yang masih mentah dalam politik pasti merasa terancam dengan pelbagai ugutan berhubung pertuduhan salah guna kuasa atau rasuah seperti dalam isu kuari yang didedahkan oleh Pemuda PKR Pulau Pinang sendiri.

Memandangkan Fairus orang baru dalam PKR, dan masih remaja dalam politik serta tidak mendapat sokongan dalaman dan oleh kerana agenda penyingkiran beliau dilancarkan oleh orang atasan PKR, menyebabkan keberanian dan kekuatan Fairus terbatas dan mudah terjejas.

Kalaulah Fairus orang lama dalam PKR seperti bekas Ketua Angkatan Muda Parti, Ezam Mohd. Noor, yang memiliki begitu banyak rahsia mengenai pelbagai skandal dalam PKR, tidak mungkin beliau dengan mudah disingkirkan dari kedudukannya seperti apa yang dialami oleh Fairus.

Ini kerana, senjata yang dimiliki oleh Ezam sebagai orang lama PKR akan dihalakan ke muka sesiapa sahaja yang cuba mengugutnya dengan menggunakan rasuah atau apa saja pertuduhan untuk menjahanamkan karier politiknya.

Apabila Ezam mengumumkan keluar dari PKR dan mula cenderung memihak kepada Umno dan menyerang PKR terutama Penasihatnya Anwar Ibrahim, tidak banyak cemuhan peribadi berani didedakan oleh PKR terhadap Ezam kerana mereka tahu seperti yang didakwa oleh Ezam sendiri, beliau memiliki begitu banyak dokumen dan rahsia yang pada bila- bila masa boleh didedahkannya, jika perlu.

Inilah kekuatan Ezam yang menjadikan PKR tidak berani bersikap keterlaluan dalam menyelar bekas orang kuat Anwar Ibrahim itu apabila beliau meninggalkan PKR dan berkempen menyokong BN pada Pilihanraya ke 12.

Fairus bukan kambing hitam tapi dia adalah ayam sembelihan yang disembelih hidup-hidup dan dibiarkan menggelupur.

Cara sembelihannya pula sangat kejam kerana urat pernafasannya tidak diputuskan.

Ini menjadikan Fairus terkujur dan menggulupur melihat darah membuak-buak keluar dari urat lehernya yang separuh luka dan darah itulah yang secara simbolik, menjadi persembahan kepada dewa-dewa PKR dan PR, dalam memenuhi agenda politik mereka untuk melaksanakan strategi pilihanraya kecil dengan strategi momentum mengikut masa hingga menjelangnya Pilihanraya ke 13.

Dan sekarang, selepas Penanti, yang menjadi kubu kuat PKR, kita menanti siapa pula yang bakal menerima nasib seperti Fairus bagi memenuhi agenda yang saya anggap satu krisis psikologi dalam mentaliti politik.

Justeru, saya mengingatkan calon-calon ADUN dan Ahli Parlimen PKR yang menang selesa dikawasan masing-masing agar mengambil iktibar dari nasib yang menimpa Fairus sebagai panduan untuk berjaga-jaga kerana seorang demi seorang dari mereka mungkin sudahpun disenaraikan secara diam dan kini ibarat kumpulan ayam yang sudahpun dicekup dalam bakul besar dan hanya menanti hari penyembelihan.

Siapa pula kambing hitam?

Bagi saya, yang menjadi kambing hitam adalah para pengundi di kawasan-kawasan yang telahpun disenaraikan sebagai lokasi strategik untuk Anwar Ibrahim melaksanakan agenda pilihanraya kecil secara berjadual ini.

Pengundi yang telahpun memberi amanat kepada calon-calon PKR pada Pilihanraya ke 12 terpaksa melihat calon yang dipilih disembelih hidup-hidup dan dibiarkan menggulupur tanpa mati.

Pada wakt yang sama calon baru dikemukakan dan pengundi terpaksa sekali lagi menghadapi pilihanraya yang sebenarnya dipergunakan bukan untuk memilih wakil rakyat tetapi sebaliknya dijadikan medan strategik untuk kelangsungan PKR yang menggunakan pentas kempen pilihanraya itu untuk melancarkan serangan-serangan politik secara konsisten dan berjadual terhadap BN dan Umno hinggalah menjelangnya Pilihanraya ke 13.

Umno memilih langkah yang bijak untuk tidak mengikut rentak pilihanraya yang berasaskan gangguan psikologi politik yang bukan sahaja mengelirukan rakyat tetap turut menjejaskan kestabilan negara, merugikan wang rakyat dalam membiayai kos pilihanraya dan turut secara moralnya melihat bagaimana penyembelihan manusia dilakukan seperti seekor ayam semata-mata kerana darahnya diperlukan bagi menjamu nafsu rakus dewa-dewa politik dalam PKR.

Untuk misi ini, PKR bersendirian kerana saya tidak fikir nilai sadism ini sanggup dikongsi oleh rakan pakatan PKR dalam PR terutama Pas yang tentunya tidak mahu imejnya tercemar dan tercalar dengan melakukan penyembelihan kejam.

Manakala DAP pula sebagai sebuah parti yang matang dan mempunyai pengaruh yang sangat luas apatah lagi wakil rakyatnya bukanlah remaja baru dalam politik yang boleh diperkotak-katik untuk dijadikan ayam sembelihan sajian dewa-dewa.

Jadi, kepada Fairus, saya sangat simpati dan amat berharap, dalam keadaan leher terkulai, saudara mampu menamatkan pengajian. Manakala kepada pengundi terutama penyokong PKR, suka saya katakan, kambing hitam bukan saja memberi gambaran bidalan orang yang dikorbankan untuk kepentingan tertentu tetapi sebaliknya ia juga hodoh untuk dilihat.

Sudahlah kambing sering dikaitkan dengan bau busuk, tak kan lah sanggup ditambah pula dengan gambaran bodoh dan mudah dipergunakan!

NASHARUDDIN MAT ISA PUN SATU HAL

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 10:48 am

Setelah memperolehi 60% pencalonan dari 139 kawasan Pas yang telah mengadakan mesyuarat baru-baru ini, saya fikir Nasharudin menerima isyarat kepimpinannya diberi sokongan dan diteruskan sebagai satu gambaran kepercayaan perwakilan Pas terhadap ulama muda bagi meneruskan tradisi kepimpinan tertinggi seperti yang diputuskan oleh Muktamar Pas pada 1982.

Pada masa yang sama, saya melihat, Nasharuddin seharusnya menumpukan perhatiannya kepada 3 perkara utama yang kini menjadi satu virus dan fungus yang mula menular dan sekiranya tidak diawasi, bukan sahaja akan memusnahkan Pas tetapi akan mencemarkan nilai Islam keseluruhannya yang digunapakai oleh Pas sebagai induk kepada nama parti itu (Parti Islam Se-Malaysia).

Pertama: Virus Rasuah.

Nasharuddin boleh bermain politik dengan mengambil sikap yang sama seperti Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahmad Awang, yang dengan lantang mendabik dada mengatakan Pas bersih dari sebarang unsur rasuah atau hadiah. Menafikan sama sekali apa  yang didedahkan oleh Ketua Dewan Ulama Parti itu, Daud Iraqi. Sebagai pemimpin yang masih memegang mandat orang nombor dua Pas, isu ini adalah satu tanggungjawab Nasharuddin untuk memberi reaksi yang lebih terbuka, toleran, fleksibel dan paling penting sebagai ulama, Nasharuddin harus mengendalikan isu ini berdasarkan yang hak dan yang batil.

Membiarkan kenyataan Ahmad Awang yang menafikan isu ini tanpa bukti, sedangkan kejujuran Daud Iraqi mendedahkan wujudnya majlis makan malam, dimana ahli Pas yang hadir pada majlis itu dihadiahkan dengan pakaian, adalah satu bukti serius .

Daud Iraqi bukan sebarang orang dalam Pas. Mandatnya sebagai Ketua Dewan Ulama cukup tinggi dan saya kira beliau cukup waras dan berpegang kepada prinsip-prinsip Islam dimana kebenaran tidak boleh disembunyikan semata-mata kerana keinginan sesuatu pihak yang ingin melindungi dan  memperolehi atau mengekalkan populariti parti.

Persoalan Daud Iraqi tidak mededahkan nama perasuah atau pemberi hadiah itu bukan isu; kerana kebenaran tidak wajar ditafsirkan sebagai benar hanya apabila nama perasuah atau pemberi hadiah didedahkan.

Tidak wajar bagi Pas mengabaikan pendedahah Daud Iraqi dan menganggap keengganan Daud Iraqi menyebut dalang disebalik isu hadiah ini sebagai alasan untuk menolak dakwaan bahawa satu kejadian hitam dalam Pas telah terjadi. Persoalan kewujudan majlis itu serta unsur baju sebagai hadiah sepatutnya dilihat oleh Pas sebagai perkara yang serius.

Kepimpinan tertinggi Pas seperti Nasharuddin tidak turut terpengaruh dengan pandangan Ahmad Awang yang menyifatkan, tanpa disebut nama perasuah yang terbabit, bererti kenyataan Daud Iraqi tidak berasas.

Nasharuddin perlu faham, pada satu peringkat, Daud Iraqi berpegang kepada prinsip untuk tidak mengaibkan seseorang, justeru pendedahannya terbatas, tetapi dengan bukti yang kukuh berdasarkan kepada peristiwa majlis jamuan makan dan baju yang diberikan sepatutnya sudah memadai untuk kepimpinan tertinggi Pas menyiasat isu ini secara serius dan terperinci.

Tindakan ini  bagi meyakinkan masyarakat, bahawa Pas bukannya parti yang hanya menjaga nama baik dan imejnya semata-mata, hingga sanggup membelakangkan soal akidah kerana dalam Islam, hal-hal yang berbentuk hadiah, boleh menjurus kepada rasuah. Perbuatan ini satu perkara besar yang bukan hanya patut dicegah tetapi wajib diperangi.

Bukankah Pas selama ini begitu garang, begitu berakhlak, begitu berani dan tegar mendedahkan segala macam kes rasuah yang berkait dengan kerajaan tanpa henti-henti, namun apabila rasuah mula menular dalam parti sendiri, orang yang bertaraf ulama dan pemimpin ke dua tertinggi dalam parti memilih untuk membisu dan menganggap perkara ini bukan tanggungjawab besar untuk dilaksanakan segera.

Saya tidak peduli sekirannya Pas dihancurkan oleh rasuah kerana saya tahu wajah sebenar Pas yang menggunakan agama sebagai topeng. Namun, harus diingat, apabila Pas mengguna pakai nama Islam, bererti parti itu bertanggungjawab untuk memelihara kemurnian nilai-nilai Islam agar ia tidak memalukan Islam, bukan sahaja dimata maysarakat Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

Kedua: Virus Pro-Anwar.

Pas berulang kali menekankan bahawa pakatan parti itu dengan PKR dan DAP tidak sama sekali menyeret parti itu untuk menggadai, menjaja dan menebus nilai Islam semata-mata untuk menumbangkan Umno dan BN.

Pas harus sedar, UMNO dan BN bukanlah musuh Islam. Musuh Islam adalah perkara-perkara yang berkait dengan kemungkaran yang harus ditentang oleh Pas, tidak kira dimana jua, sekalipun di dalam rumahtangga sendiri.

PKR tidak mendokong Islam sebagai cita-citanya. Adalah satu rahsia terbuka bahawa PKR ditubuhkan diatas sentimen peribadi seorang lelaki bernama Anwar Ibrahim yang bangkit untuk membalas dendam berikutan kehancuran karier politiknya pada tahun 1998, dan status banduan yang terpaksa ditanggungnya akibat didapati bersalah dalam satu pertuduhan di mahkamah.

Sebagai golongan ulama yang mendokong kepimpinan Pas, sekaligus berpegang kepada amanat Muktamar 1982, Nasharuddin tidak patut bermuka-muka.

Walaupun Husam hanya mendapat 20% pencalonan, ini memberi isyarat, kalaupun tidak virus, tetapi fungus kewujudan golongan pro Anwar dalam parti itu sudah mula wujud dan kalau ulama seperti Nasharuddin tidak menanganinya dengan betul, pada satu ketika, Pas akan menjadi parti carca-merba yang mencampur-adukkan Islam dengan aspirasi PKR yang berasaskan ketamakkan kuasa dan DAP yang berorientasikan perkauman dan anti negara Islam.

Ketiga: Politik Pro Aktif

Walaupun berada di barisan pembangkang dan dengan rela memilih untuk tidur satu kelambu yang sama dengan PKR dan DAP semata-mata untuk menguasai pilihanraya ke 12.

Kini PR berjaya memiliki lebih 1/3 kerusi di Parlimen, maka Nasharuddin perlu ingat, sebagai orang nombor dua dalam Pas, fokusnya tidak perlu sempit dengan mengecamukkan fikirannya dengan isu-isu remeh-temeh bersifat setempat, sedangkan pengaruh dan kedudukan beliau mampu digunapakai untuk membantu kerajaan dalam konteks meneruskan pembelaan terhadap negara-negara Islam yang terus ditindas dengan kewajaran isu-isu Islam boleh menjadikan Umno dan Pas berada dalam posisi yang sama, dalam menyatakan pendirian mereka di peringkat antarabangsa.

Saya merujuk kepada posisi terkini Pas, terutama pada era kepimpinan baru White House yang diketuai oleh Barrack Obama.

Ini tiga perkara asas yang saya dedahkan dan seterusnya saya ingin mengaitkan dengan tiga perkara ini dengan kenyataan yang saya anggap “agak bodoh” untuk dikeluarkan oleh pemimpin nombor dua Pas yang tersiar dalam akhbar Harakah terbitan 19 Mei lalu.

Sebagai orang nombor dua, takkan lah isu paling cerdik untuk Nasharuddin, hanyalah mempertikaikan persoalan ketakutan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengadakan lawatan keluar negara dengan alasan, PM takut menghadapi media antarabangsa dalam isu Altantuya Sharibuu.

Apa hal Nasharuddin dengan cetek fikiran mengatakan isu yang dibangkitkan oleh 11 media antarabangsa yang mengaitkan Najib dengan kes Altantuya sebagai punca Najib tidak berani melawat keluar negara sebagai PM?

Apakah Nasharuddin berada dalam keadaan bingung sehingga tidak dapat membezakan keadaan semasa di negara ini yang sedang bergelut dengan kemelut ekonomi membuatkan Najib selaku PM dan Menteri Kewangan terpaksa memfokuskan tanggungjawab menguruskan ekonomi negara sebagai prioriti dan seterusnya tidak mengamalkan kelaziman yang dilakukan oleh PM terdahulu yang mengadakan lawatan ke luar negara sebaik sahaja dilantik mengetuai negara.

Nasharuddin harus ingat, Barrack Obama dalam 100 hari pertamanya berada di White House – secara konsisten menumpukan 100% tenaga, pemikiran, masa untuk penyusunan strategi kepimpinannya bagi menangani krisis Wallstreet serta pelbagai ketidaktelusan yang berlaku dalam institusi kewangan serta penyalahgunaan kuasa dalam pelbagai syarikat besar yang mempunyai pengaruh  terhadap krisis sub-prima di negara itu.

Obama mengambil alih White House ketika AS sedang berdepan dengan tekanan yang besar kesan peninggalan rejim Bush dalam isu Iraq, Afghanistan, Palestin dan beberapa tindakan kontroversi berkaitan dengan tahanan di Teluk Guatanamo serta bantahan Pakistan terhadap pelancaran peluru berpandu dan pencerobohan kapal terbang pengesan tentera AS dalam wilayah Pakistan.

Apakah Nasharuddin tidak menulis surat atau bertanya kepada Obama, kenapa Presiden itu tidak ke Moscow terlebih dahulu untuk menyelesaikan ketegangan White House dan Kremlin berhubung isu pertempatan peluru berpandu penangkis di Eropah Timur yang menimbulkan kontroversial hingga menyebabkan tentera Rusia menceroboh ke Georgia?

Tidakkah Nasharuddin ingin bertanya, apakah pendirian Obama dalam isu waran tangkap oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa terhadap Presiden Sudan, Omar Bashir, serta sejauh mana kejujuran Obama yang berjanji akan mengundurkan tenteranya dari Iraq sekiranya beliau terpilih sebagai Presiden AS?

Apakah Nasharuddin akan menyatakan, Obama juga takut menghadapi media antarabangsa maka dengan itu sengaja memerapkan dirinya di White House dan membelakangkan tanggungjawabnya untuk melawat:

(1) Tehran – bagi menyelesaikan ketegangan berhubung isu pengayaan uranium di Iran yang menyebabkan kerajaan pimpinan Presiden Ahmadinejad menghadapi pelbagai sekatan ekonomi.

(2) Korea Selatan – bagi menyelesaikan ketegangan berikutan bantahan AS, Jepun dan Korea Selatan terhadap ujian peluru berpandu jarak sederhana yang dilancarkan oleh Korea Utara merentasi kedua-dua negara jirannya (Jepun dan Korea Selatan) yang secara ketenteraan berlindung di bawah sokongan Washington.

(3) Baitulmaqdis/Ramallah – untuk membuktikan kesungguhannya dalam isu menyelesaikan krisis politik dan sengketa bersenjata antara pejuang Palestin dan regim zionis yang memuncak sebelum beliau mengambil alih White House, berikutan serangan udara oleh Tel Aviv ke atas Gaza yang mengorbankan lebih 3000 nyawa rakyat awam Palestin.

(4) Havana – untuk Obama membuktikan kesungguhannya bagi memulihkan hubungan baik dengan Cuba sebagai petanda wujudnya dimensi baru hubungan politik yang lebih baik antara AS dan Cuba selepas berakhirnya era perang dingin, yang beliau anggap sebagai tidak lagi relevan untuk Washington mengekalkan dasar embargonya terhadap Havana.

(5) Amerika Selatan – mengapa Barrack Obama tidak ke Venezuela dan Chile secara rasmi bagi memulihkan hubungan diplomatik yang cukup buruk antara AS dengan kedua-dua negara latin itu ketika era kepimpinan Bush?

Saya mengutarakan perbandingan ini supaya Nasharuddin selaku seorang pemimpin, tidaklah semborono dan menggunakan matematik murahannya untuk mengaitkan ketakutan PM terhadap media antarabangsa sebagai punca Datuk Seri Najib tidak mengadakan lawatan ke seluruh dunia kecuali di empat tempat Bangkok, Jakarta, Menado dan Singapura.

Untuk pengetahuan Nasharuddin, di Malaysia sendiri, terdapat semua wakil agensi media dunia dan pembekal maklumat melalui rangkaian wire seperti CNN, BBC, Reuters, Al-Jazeera, AFP, APTV yang mampu mengemukakan persoalan tersebut kepada Najib pada bila-bila masa dan kemudian penyebaran berita itu boleh diketahui oleh 3 billion penduduk dunia dalam tempoh 24 jam sama ada menerusi rangkaian berita BBC atau CNN, atau membaca petikan yang dilaporkan oleh lebih 10,000 media cetak dan elektronik yang melanggani perkhidmatan maklumat melalui agensi wire.

Tidak ada sebarang majlis yang dihadiri oleh PM, arahan dikeluarkan untuk menghalang kehadiran media antarabangsa atau pekeliling dikeluarkan untuk mengharamkan mereka dari bertanya soalan mengenai Altantuya.

Sebelas media antarabangsa yang disebut oleh Nasharuddin bukanlah hantu yang perlu ditakuti oleh Datuk Seri Najib. Sekiranya media antarabangsa mempunyai fikiran yang berkecamuk dan cetek seperti Nasharuddin, mereka tidak perlu menunggu PM berada di Washington, London, Paris, Berlin, Toronto, Dubai atau Madrid untuk mengemukakan soalan mengenai Altantuya.

Wartawan media barat kelas satu, sekiranya mempunyai agenda dan menganggap isu Altantuya adalah isu yang paling besar bagi Najib, mereka akan mengejarnya hingga ke Menado, bandar terpencil di Indonesia ketika PM menghadiri persidangan tiga segi mengenai perlindungan terumbu karang yang diadakan baru-baru ini.

Untuk makluman Nahsaruddin, bukanlah satu protokol, sama ada di negara ini atau di negara lain di seluruh dunia, bahawa seorang PM yang dilantik perlu mengadakan lawatan diplomatik ke luar negara terutama mengunjungi negara-negara yang dianggap mempunyai hubungan politik yang baik atau buruk dengan negara tersebut.

Jadi saya anggap kenyataan Nasharuddin yang mengatakan PM takut ke luar negara kerana isu Altantuya adalah tidak berasas langsung. Malah saya fikir, Nasharuddin yang sedang ketakutan sekiranya media antarabangsa tidak menanyakan isu Altantuya kepada Datuk Seri Najib sekaligus Pas akan terlepas peluang untuk mempolitikkan pertanyaan media antarabangsa itu sebagai bahan baru ketika pembangkang kehilangan idea untuk melakukan serangan politik sensasi terhadap PM.

Nasharuddin, saya nasihatkan, jangan jatuhkan standard IQ dan intergriti saudara ke tahap ahli politik kedai kopi, dengan membuat satu analisa yang cetek, hodoh dan bodoh – apabila mengaitkan PM dan lawatan luar negara dengan Altantuya.

Menjadi orang nombor dua bererti Pas memiliki seorang pemimpin yang berpandangan luas, mempunyai iltizam Islam yang lebih sejagat dan tidak hanya duduk menganga, menanti peluang media asing memburuk-burukkan pemimpin negara untuk dijadikan modal politik dan peluang untuk beliau melarikan diri dari memikirkan masalah sebenar seorang Nasharuddin yang menjadi Timbalan Presiden Pas, sebuah parti yang kini berdepan dengan isu rasuah, isu fungus dan virus pro Anwar dan kecamukkan fikiran hingga tidak dapat melihat isu Islam yang lebih sejagat semata-mata kerana otaknya menjadi sempit dan pikun oleh kemelut politik tanah air.

Menjadi orang nombor dua, dan untuk kekal sebagai orang nombor dua dan memastikan Muktamar 1982 yang mahukan kepimpinan ulama diteruskan memerlukan Nasharuddin membuktikan dirinya tidak mengeluarkan soalan atau isu, bertaraf politik kedai kopi.

Ataupun memang Nasharuddin pemimpin kedai kopi?

Pembunuh Bersiri dan Politikus Licik: Anwar Ibrahim Satu Perbandingan

Filed under: Kritikus... — zra1516 @ 10:37 am

Dalam skala yang digunapakai oleh pakar forensik serta psikatris dalam menganalisa profil pembunuh bersiri, 22 skala diwujudkan bagi menentukan tahap bahaya profil seseorang pembunuh bersiri, merujuk kepada modus operandi yang membabitkan gandingan pemikiran dan tindakan emotif penjenayah tersebut terhadap mangsa. 

Skala ini digunapakai di Amerika Syarikat – ternyata sejak ia diwujudkan, asas bagi pihak polis menjalankan siasatan homicide dan pembunuhan bersiri menjadi lebih terarah, spesifik dan akhirnya membantu satu profil yang tidak pernah dilihat atau bersembunyi dari khalayak umum dibentuk, diadaptasi dan akhirnya menjadi satu karektor yang disebarkan kepada masyarakat awam. Berdasarkan kepada informasi binaan profil tersebut, masyarakat akan dapat menggunakan garis panduan ini untuk membantu polis mengenalpasti individu yang berada dalam skop pemburuan.

Saya ringkaskan,  skala 1 ditujukan kepada pembunuh biasa yang bertindak dalam keadaan terdesak dan biasanya kurang mampu mengendalikan pemikiran ketika berhadapan dengan ancaman atau rasa panik.

Skala 1 dianggap sebagai skala rutin yang membabitkan golongan yang cuai dalam mengendalikan pergaulan. Manakala skala tertinggi iaitu 22, dikaitkan dengan personaliti atau profil yang lebih kompleks. Profil ini adalah gandingan keupayaan fikiran yang sistematis dan sangat terancang dalam konteks mengendalikan penghapusan atau pelenyapan identiti selepas melakukan jenayah pembunuhan bersiri. Biasanya ciri-ciri yang sama akan dikekalkan dan pembunuhan akan berlaku dalam kawasan yang radiusnya hanya membabitkan sebuah pekan atau pertempatan.

Selain kepintaran kerana memiliki bentuk fikiran yang sistematis, pembunuh bersiri pada skala 22 yang dianggap paling berbahaya ini memiliki naluri yang menggandingkan 3 unsur yang penting. Neorosis, psikosis dan skizofrenia. Malah di Amerika, paten bagi profil ini bertambah dari semasa ke semasa bergantung kepada penemuan-penemuan kes homicide atau pembunuhan bersiri yang berubah dari masa ke masa.

Pertama sekali, saya harap pembaca tidak dikelirukan dengan penggunaan skala ini untuk saya menganalisis tahap bahaya seorang ahli politik apabila ia memiliki dua kompleksiti personaliti yang memungkinkan dirinya menjadi profil politik yang boleh mencetuskan kecelaruan bersiri terhadap masyarakat.

Jenayah dalam konteks perbandingan ini bukanlah jenayah yang saya ingin takrifkan sebagai pembunuh bersiri dalam akta jenayah tetapi skala ini boleh digunapakai untuk masyarakat menilai implikasi dan bahaya yang boleh dicetuskan oleh seorang politikus licik  yang diluar kesedaran kita mempunyai gandingan profil pemikiran yang sistematis dalam merancang strategi politiknya dan didorong pula oleh libido gelap dalam dunia personalitinya yang sukar dijangka tetapi secara harafiahnya libido psikologi ini boleh mencetuskan porak-poranda dikalangan masyarakat.

Analisa ini saya rujuk penuh kepada perkembangan dalam Pakatan Rakyat membabitkan Anwar Ibrahim sebagai profil politik yang saya takrifkan sebagai memiliki sistem pemikiran politik yang terancang dan pada masa yang sama memiliki libido psikologi yang boleh mencetuskan kesan perpecahan sosial yang tidak dapat dikesan oleh masyarakat secara rambang kecuali sekiranya perspektif psikologinya dianalisis dan dikaji dan kemudian diukur pada skala kesannya terhadap masyarakat yang mungkin menjadi mangsa strategi bersiri yang dirancang bagi mencapai libido politiknya.

Anwar Ibrahim tampil dengan wajah seorang mangsa politik 1998 dengan rekod kononnya beliau dianiaya dan menjadi korban politik Tun Mahathir dalam krisis kepimpinan Umno dan politik negara 11 tahun lalu.

Anwar menggunakan rekod penahanannya di penjara diatas tuduhan yang menyebabkan dia dipenjara selama 6 tahun melalui satu perbicaraan yang dimanipulasikannya sebagai satu konspirasi untuk membunuh kerjaya politiknya.

Strategi ini berkesan kerana persekitaran masyarakat yang berada dalam atmosfera Malaysia yang dikuasai oleh satu sistem masyarakat yang simpatik, melodrama dan mudah dipengaruhi oleh nilai-nilai kemanusiaan yang sekiranya secara strategik dilobi dan dipolitikkan melalui pemikiran yang terancang akan mampu membuat seorang ahli politik menguasai minda masyarakat dengan mencetuskan kekeliruan kepada naluri mereka.

Dalam kes ini, Anwar berjaya menjadikan masyarakat bersikap prejudis terhadap penahanan, pertuduhan dan hukuman yang dikenakan terhadap beliau, lalu secara sistematis menyusun hujah-hujah yang terancang, signifikan dan relevan bagi menjerat emosi masyarakat untuk merasa simpati dan melihat beliau sebagai mangsa politik yang terkorban akibat konspirasi sistem kehakiman.

Ketika ditahan, Anwar memainkan isu kesihatannya terutama masalah tulang pinggangnya sebagai hujah untuk menggambarkan kerajaan bersikap zalim dengan enggan membenarkan beliau berlepas ke luar negara untuk menjalankan rawatan dibawah seorang pakar yang berpusat di Jerman.

Anwar ketika melawat dan menziarahi majlis pengkembumian ibunya berjaya memberi aksi yang sangat melodrama dan meninggalkan impak kepada masyarakat melalui pemikirannya yang sistematis dalam merancang suasana yang boleh mempengaruhi naluri kemanusiaan mereka yang melihat keadaan beliau.

Ini berbeza sama sekali dengan aksi Anwar, ketika mengalami kecederaan di leher akibat terjatuh dari kuda, ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri. Waktu itu Anwar dari seorang aktivis rakyat yang membesar dalam Abim tiba-tiba menjadi seorang peminat kuda (barangkali sebagai cara mendampingi Tun Mahathir yang terlebih dahulu ketika itu meminati aktiviti rekreasi berkuda).

Anwar ketika itu, walaupun tidak dapat menoleh ke kiri atau ke kanan akibat kecederaan yang agak menimbulkan kesan jenaka itu, kelihatan sangat berkeyakinan dan sihat, malah melaksanakan segala tugas-tugas rasminya sebagai TPM tanpa sedikit pun mengharapkan simpati masyarakat untuk menghargai kerja-kerjanya yang dilaksanakan ketika beliau mengalami masalah tersebut.

Kelicikan dan strategi pemikiran yang sistematis Anwar Ibrahim berpolitik, lebih ketara apabila beliau dibebaskan dan kembali aktif dalam politik sebagai penasihat PKR sekaligus menjadi mastermind dalam pakatan pembangkang.

Ketika ini, pemikiran strategiknya digunakan untuk meletakkan Pas dan DAP dalam satu perangkap politik. Walaupun terdapat percanggahan pendapat dan berbeza idealism tetapi mereka masih mampu duduk bergandingan secara jitu untuk membentuk barisan pembangkang yang sangat efektif di Parlimen dalam konteks memainkan isu-isu rakyat dengan menggunakan sentimen bagi mempengaruhi masyarakat untuk melihat parlimen bukan lagi sebagai konteks institusi tertinggi dalam politik negara tetapi sebagai gelanggang beliau membangunkan strateginya untuk memenuhi libido politik peribadi.

Malah kekuatan mental Anwar dalam merancang strategi politik dengan mencantumkan pemikiran yang efisyen dari segi strategi dan dipandu pula oleh libido politiknya yang mempengaruhi masyarakat dan pemimpin pembangkang untuk melihatnya sebagai pejuang, meletakkan beliau sebagai orang PKR yang mampu menentukan pendirian politik rakan PR nya dalam DAP mahupun Pas.

Anwar menggunakan karektor kononnya beliau mampu menguasai politik negara sekalipun PR hanya menguasai 1/3 kerusi parlimen dengan mencetuskan fenomena 16 September 2008 sebagai agenda pertama untuk menanam keyakinan kepada masyarakat bahawa beliau adalah ahli politik yang mampu melakukan sesuatu yang luar biasa bagi merombak sistem politik Malaysia selepas pilihanraya walaupun PR hanya memenangi lebih sedikit daripada 1/3 kerusi parlimen.

Anwar berusaha keras untuk menarik hampir 40 ahli politik dalam BN agar menyertai PR. Beliau  menggunakan isu krisis ketidakyakinan terhadap kepimpinan BN pada waktu itu sebagai asas keputusan pilihanraya yang boleh mengubah pihak pembangkang menjadi kerajaan dengan membentuk satu imej kepada rakyat bahawa percaturan beliau memujuk dan menawarkan potensi politik yang lebih adil boleh dilaksanakan tanpa perlu pilihanraya dijalankan.

Walaupun Anwar gagal, keberaniannya untuk melakukan perkara tersebut berjaya meletakkan dirinya sebagai ahli politik yang luar biasa dan dalam tempoh waktu beliau berkempen, Anwar hampir berjaya menyakinkan  masyarakat bahawa PR akan membentuk kerajaan pada 16 September dengan kehadiran 40 ahli parlimen BN ke dalam PR.

Anwar melancarkan strategi menawan parlimen tanpa pilihanraya secara strategik dan beliau membina imejnya sebagai ahli politik yang mampu mencetuskan reformasi baru di parlimen di mana sebuah pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan apabila seorang pemimpin bernama Anwar Ibrahim kononnya mampu mengheret 40 ahli parlimen BN secara serentak untuk berganding dengan pembangkang dan menumbangkan kerajaan BN.

Anwar Ibrahim sedar apa yang dicanangkannya ketika itu tidak akan berlaku. Namun strateginya adalah untuk membina profil diri, yang beliau adalah seorang pemimpin PR yang mempunyai aspirasi yang murni untuk menguasai kerajaan, yang dianggapnya lemah dan tidak berkeupayaan memacu ekonomi negara yang kebetulan pada waktu itu selepas pilihanraya ke 12, sedang berdepan dengan krisis sub-prima di AS dan Eropah yang turut menjejaskan perkembangan ekonomi setempat.

Anwar Ibrahim juga menggunakan fenomena penguasaan pembangkang di 5 buah negeri sebagai asas rakyat memberi isyarat dan beliau hanyalah menjalankan tanggunjawab untuk melaksanakan pengambil-alihan parlimen atas nama kepentingan negara.

Dalam kaedah sains forensik yang meneliti dan mengkaji profil seorang pembunuh bersiri, biasanya libido keganasan seorang penjenayah akan disembunyikan di sebalik penampilan, karektor atau watak yang manusiawi bagi membolehkan dirinya langsung tidak disyaki.

Penjenayah walaupun berada dalam persekitaran mangsa, namun gandingan pemikiran strategik dan keupayaan mengalihkan libido jenayahnya dengan sikap prihatin, berbudi, bersimpati dan menentang kekejaman, akan membuatkan masyarakat dan polis langsung tidak akan meletakkan beliau dalam senarai yang disyaki.

Anwar bukan sahaja mampu menguasai PKR dengan teknik pemikiran sistematis dan pengalihan libidonya dari bentuk keinginan untuk berkuasa kepada keinginan untuk membela rakyat namun sebagai ketua pembangkang, Anwar berjaya menggunakan karektor ini untuk menyusup masuk pengaruhnya ke dalam DAP dan Pas.

Anwar bijak kerana strategi keperibadiannya.  Di mata umum beliau menampilkan dirinya sebagai orang yang tidak terlalu berpolitik dalam PR tetapi kekal sebagai juara rakyat yang mewakili pembangkang dalam menentang segala perkara berkaitan kepimpinan dan dasar BN  yang dianggapnya sebagai tidak bersifat menguntungkan rakyat.

Anwar juga menjadikan dirinya sebagai pemimpin pembangkang yang memiliki sokongan pelbagai kaum malah mampu menyatukan dua rakan partinya yang bertentangan idealisme dalam satu pakatan pembangkang yang komprehensif dan kelihatan memiliki persefahaman yang amat rigid.

Keupayaan Anwar mempengarhui DAP dan Pas bagi membantu beliau memotretkan dirinya sebagai the leader cukup menguntungkan profil dirinya hingga dia terlihat bebas daripada sebarang syak wasangka walaupun kedudukannya sebagai ketua pembangkang adalah punca sentimen perkauman, penentangan terhadap Istana Perak dan pembabitannya dalam kes lompat parti dua anggota PKR di Perak yang memilih untuk menjadi calon bebas dan menyokong BN.

Malah, dengan segala macam krisis dalaman yang tercetus di dalam PR, beliau menghindarkan dirinya untuk berada dalam kemelut tersebut dan paling bijak apabila strateginya mengena dan beliau dilihat bukan sebagai punca DAP bergolak dalam isu kejatuhan pakatan tersebut, hingga BN mengambil alih kuasa pemerintahan  di Perak melalui pengisytiharan Sultan Perak bahawa BN memiliki majoriti 31 kerusi dan berhak membentuk kerajaan negeri.

Lebih dramatik, ketika diserang oleh Karpal Singh selaku Pengerusi DAP yang menyifatkan Anwar sebagai dalang politik wang berikutan strateginya untuk membeli sokongan hampir 40 calon BN dalam agenda 16 September, Anwar dengan sifat sangat berhemah dan berpekerti mulia membalas serangan Karpal Singh, yang meminta beliau bertaubat, dengan jawapan yang meyakinkan masyarakat bahawa dirinya sangat toleran, tidak mudah tersinggung malah dengan mesra mengatakan kemarahan Karpal adalah sesuatu yang peribadi dan boleh diselesaikan.

Pengaruh personaliti Anwar yang menggandingkan pemikiran strategik dan memindahkan libido politiknya kepada karektor yang penyabar dan tenang membuatkan Karpal Singh akhirnya ditentang dan dikritik malah tidak menerima sebarang sokongan daripada kepimpinan tertinggi DAP hingga Karpal menyifatkan DAP lebih mendengar cakap Anwar berbanding dirinya selaku Pengerusi parti tersebut.

Ini menjadikan Karpal makin terasing dan tersepit di tengah-tengah konflik politik anak-beranak yang pada waktu itu dikaitkan sebagai krisis dalaman tidak rasmi DAP, dimana isu siapa yang akan menguasai DAP, sama ada Lim Guan Eng anak Lim Kit Siang atau Jagjit Singh Deo anak Karpal, menjadi semakin jelas.

Dalam kes ini, reputasi Karpal terjejas teruk manakala Guan Eng dan Kit Siang memperkasakan diri kerana disifatkan sebagai komponen kepimpinan DAP yang mampu mengekalkan hubungan baik dengan PKR dan PR sekaligus menjadikan Guan Eng calon kepimpinan masa depan yang sesuai dalam usaha PR untuk menakluk pilihanraya ke 13.

Dalam forensik psikologi, bagi memahami profil pembunuh bersiri, kaedah yang digunakan oleh Anwar Ibrahim biasanya diletakkan di paras skala 16-22 yang merangkumi :

(1) Mempunyai pemikiran sistematis dan sudah dirancang secara rapi dan boleh digunapakai secara spontan dalam apa juga keadaan walaupun dalam suasana tertekan tanpa merobah konsep pemikiran itu.

(2) Konsistensi perwatakan Anwar yang hanya memaparkan karektor luarnya dengan memfokuskan kepada aspek pemikiran strategik menjadikan libido politiknya yang ingin berkuasa atas kepentingan peribadi dapat dibendung dan dikawal secara sistematis sekaligus tidak akan menimbulkan sebarang syak bahawa Anwar memiliki niat lain yang lebih bersifat peribadi .

Dalam Pas pula, Anwar berjaya mengheret sekumpulan pemimpin yang secara strategik telah disasarkan oleh beliau sebagai kelompok yang mampu dipengaruhi dan sesuai untuk berkongsi strategi politiknya.

Golongan yang dimanipulasi dan dijadikan mangsa tidak akan sedar bahawa mereka sebenarnya adalah sasaran Anwar sebagai alat untuk membayangi dan melindungi libido politiknya. Anwar menggunakan sekutunya dalam DAP dan fraksinya dalam PAS sebagai bukti idealisme dalam pemikiran strategiknya, walaupun dalam banyak perkara ikatan PKR dan Pas di peringkat atasan sangat terbatas. Jadi Anwar memerlukan kelompok baru untuk mengambil alih kepimpinan Pas bagi menjadikan golongan ini berada dibawah telunjuknya.

Pada masa ini hubungan PKR dan Pas,  dalam PR  hanya terikat dengan perjanjian jual beli sokongan dan pembahagian wilayah pilihanraya untuk membolehkan kedua-dua parti menguasai kawasan dan negeri yang strategik bagi menumbangkan BN.

Anwar secara bijaksana menyusun satu konspirasi yang sistematis – dimana rakyat dan PR yang berada dibawah telunjuknya selaku mastermind, kelihatan mampu bersatu untuk menumbangkan kerajaan BN dengan gambaran, pembangkang dari 3 parti berbeza sanggup mengenepikan perbezaan mereka semata-mata untuk rakyat.

Matlamat sebenar mereka adalah bertukar-tukar sokongan secara strategik bagi membolehkan setiap parti memiliki negeri sendiri untuk diperintah melalui keputusan pilihanraya ke 12, sebelum satu agenda selanjutnya dirancang sebagai gelombang ke 2 pakatan rakyat untuk menakluk parlimen dan membentuk kerajaan pusat pada pilihanraya akan datang.

Kini, perpecahan dalam DAP dilihat sebagai perpecahan antara gandingan Kit Siang dan Guan Eng sebagai satu keluarga yang ingin memonopoli kepimpinan DAP manakala imej gandingan Karpal serta Jagjit Singh Deo adalah musuh dalaman parti, bagi mencapai agenda tersebut.

Manakala dalam Pas, Husam Musa dilihat sebagai pengikut Anwar yang cuba menjadikan Pas parti yang lebih liberal dan mampu diterima DAP  sekaligus menghakis pengaruh golongan ulama fundamental yang berpegang kepada pembinaan negara Islam sebagai dasar utama Pas yang dilihat oleh Anwar sebagai batu penghalang untuk membentuk PR yang lebih solid menjelang pilihanraya ke 13.

Strategi Anwar ialah membentuk satu generasi kepimpinan baru yang mampu melunturkan nilai-nilai Islam dalam Pas supaya kedudukan pengundi Cina terhadap PR lebih meyakinkan manakala Anwar tidak bimbang dengan DAP berikutan kebijaksanaan Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang dalam menyembunyikan agenda cauvinis mereka yang sebelum ini dibimbangi dan dicurigai oleh pengundi Melayu.

Ini analisis saya dan kaedah perbandingan ini diharap tidak ditafsir oleh saudara Anwar Ibrahim sebagai menyamakan dirinya dengan pembunuh bersiri yang diprofilkan berdasarkan skala 1-22 dalam sains forensik jenayah moden, kerana kaedah ini saya gunakan hanyalah untuk melihat satu persepsi tanda aras bagaimana kayu ukur implikasi bahaya dari personaliti yang menggunakan pemikiran strategik dan sistematis dalam melaksanakan kehendak libido berlaku dalam dua pentas yang berbeza tetapi melalui satu pendekatan yang hampir serupa.

Analisis saya diharapkan tidak menjadikan saya orang yang ketiga selepas Tun Mahathir dan Datuk Anifah Aman yang sudahpun disenaraikan oleh Anwar sebagai orang yang diseretnya ke mahkamah. Saya bukan takut tetapi adalah menjadi tanggungjawab bagi saya untuk mengemukakan satu analisis kepada masyarakat agar dapat menilai keadaan sebenar dan menggunakan hujah perbandingan ini sebagai satu kaedah ilmiah bagi membolehkan ‘tanda aras ‘ profil seseorang itu boleh diukur melalui personalitinya; menggunakan kaedah meneliti struktur minda yang sebenarnya digerakkan sebagai pelindung personality yang menyimpan libido psikologi politik yang berbeza dengan ketrampilan karektor secara luaran.

Theme: Rubric. Blog at WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.